Sahabat Intim Blog Ini

Wednesday, June 27, 2012

ALHAMDULILLAH BEKAS PENGARAH DI SABAH MASUK PAS BAH !

TERKINI!!!Bekas Pengarah Jabatan Perpaduan Sabah masuk PAS
BEAUFORT: PAS Sabah mencatatkan sejarah tersendiri apabila bekas Pengarah Jabatan Perpaduan Negeri Sabah dan Labuan, Ahmad Kambar (baju hijau) menyertai parti itu dan menerima bendera PAS sebagai simbolik panji-panji bagi membebaskan negeri ini daripada cengkaman Umno Barisan Nasional. Beliau menerima bendera berkenaan daripada Ketua Pemuda PAS Sabah merangkap Yang Dipertua PAS Kawasan Beaufort, Lahirul Latigu di kediamannya, dekat Lumadan, di sini sambil disaksikan Ketua Pemuda PAS Kawasan Azlan dan ahli jawatankuasanya. Ahmad berkata, beliau menyertai PAS atas pilihan sendiri dan yakin bahawa PAS bukan hanya sebuah parti politik semata malah bertindak sebagai badan dakwah dan tarbiyah yang memberi penekanan berdasarkan agama Allah. "Kehidupan kita ini merupakan kehidupan yang bermakna dan kita perlu membawa ummah ini kearah Islam. "Kita juga perlu untuk menjaga nasib rakyat dan mendidik rakyat untuk takut kepada Allah semata-mata,” kata beliau ketika ditemui selepas itu. Beliau yang juga pernah menjawat Pengarah Dakwah Bersepadu Negeri Sabah dan Penolong Pengarah Perancangan dan Penyelidikan di Ibu Pejabat Jabatan Perpaduan Negara serta berperanan penting dalam Jawatankuasa PsyWar semasa usaha Kerajaan Persekutuan menjatuhkan Kerajaan Sabah di bawah Parti Bersatu Sabah (PBS) pada awal 90an. “Saya melihat banyak kelompongan dalam Umno dan BN. Mereka bercakap soal pembangunan tetapi apa yang berlaku di Sabah jauh dari apa yang mereka perkatakan. “Masalah asas seperti elektrik, jalanraya pun masih banyak belum selesai seperti di kawasan pedalaman di Parlimen Sipitang ini. Kampung Weston contohnya walaupun mempunyai jumlah pengundi yang besar majoriti muslim tetapi tidak mendapat bekalan air bersih yang sewajarnya. Ini cukup memalukan,” ujarnya dalam nada kecewa. Beliau turut bertekad untuk memastikan PAS lebih dikenali ramai terutama di kawasan sekitar Sipitang dan seluruh Sabah. “Sebab itu saya tekad. Rakyat pun sudah mula membuka mata dan sudah dapat menerima PAS terutamanya di Lumadan, salah satu Dun di bawah Parlimen ini,” jelasnya. Beliau yang juga merupakan bapa saudara kepada Lahirul turut yakin dengan berdasarkan perkembangan terkini akan lebih ramai lagi bekas pegawai-pegawai tinggi kerajaan Sabah yang akan menyertai perjuangan PAS dan Pakatan Rakyat. Kedah La

Monday, June 25, 2012

KSN BARU BERJIWA BN MELAMPAU ?

Ali Hamsa tidak layak jadi KSN - bekas Speaker Harakahdaily, 24 Jun 2012 IPOH: Kenyataan Ketua Setiausaha Negara yang baru, Datuk Dr Ali Hamsa disifatkan sebagai sungguh memalukan. Oleh itu, beliau yang baru dilantik sebagai Ketua Setiausaha Negara tidak layak memegang jawatan itu, kata bekas Speaker DUN Perak, V Sivakumar (gambar kiri) dalam kenyataannya. Bagi beluau, kenyataan yang menyokong Barisan Nasional secara terbuka membuktikan beliau bukan seorang yang neutral. Sebagai seorang penjawat awam tertinggi di negara beliau harus mengetahui tentang prinsip ‘neutraliti’ yang didokong oleh kakitangan awam, katanya. Tetapi, beliau telah membuat satu kenyataan yang bercanggah dengan etika penjawat awam. Ketua Setiausaha Negara yang baru mungkin tidak tahu peranan dan tanggungjawab beliau kepada rakyat. "Oleh itu, saya menyeru beliau supaya membaca kenyataan berikut yang mungkin tidak diketahui olehnya sebelum menjawat jawatan yang tinggi itu," kata beliau dalam kenyataannya. “Persons working in the State services (State servants) are required to act in the course of their duties in a politically neutral manner. This includes the requirement to act impartially and to implement the Government's policies. "The requirement that State servants must be apolitical when carrying out their duties, functions and powers. It is a principle that underpins the continuing employment status of State servants and enables State servants to provide consistent services (including policy development) for the government of the day. This means, essentially, that State servants must keep their jobs out of their politics and their politics out of their jobs.” Dalam kenyataannya, Ali telah menggesa kakitangan awam supaya setia kepada kerajaan dan tidak mudah diperbodohkan oleh "janji kosong" pembangkang. "Kenyataan ini adalah satu kenyataan politik," kata Sivakumar. Beliau tidak boleh membuat ungkapan seperti itu yang membuktikan beliau adalah penyokong kuat kerajaan Barisan Nasional. Beliau telah melanggar etika penjawat awam dengan berkempen pilihanraya secara terbuka untuk Barisan Nasional. Beliau berkata, "Sebagai kakitangan awam, kita perlu taat kepada Raja dan kerajaan. Ianya penting supaya kita sedar peranan sebagai kakitangan awam dan melaksanakan tugas kita dengan sempurna," Setiap rakyat Malaysia harus taat kepada Raja, Perlembagaan Persekutuan dan Negeri, Jalur Gemilang, Lagu Negaraku dan Rukun Negara, katanya. "Tetapi, sesuatu kerajaan itu adalah dipilih melalui proses pilihanraya. Tidak ada sebab kita ‘mesti’ taat setia kepada kerajaan yang memerintah," katanya. Apabila sesuatu kerajaan yang memerintah telah keluar dari landasan kebajikan, amalan korupsi berleluasa, rakyat merana kerana masalah sosio-ekonomi, penyelewengan dibuktikan dan sebagainya, maka adalah wajar untuk menukar kerajaan yang memerintah. Rakyat boleh memilih satu kerajaan baru melalui proses pilihanraya. Penjawat-penjawat awam yang juga merupakan ‘rakyat yang berhak mengundi’ boleh membuat pilihan mereka tanpa sebarang desakan dan paksaan daripada mana-mana pihak, tambahnya. Bagi Sivakumar, seorang Ketua Setiausaha Negara tidak boleh mengugut kakitangan kerajaan untuk menyokong Barisan Nasional. Beliau telah terang-terang menonjolkan diri sebagai penyokong Barisan Nasional. "Beliau harus meletak jawatan dengan segera kerana rakyat akan hilang kepercayaan terhadap pentadbiran beliau yang nyata sekali menuju satu hala," katanya. Kenyataan beliau juga, kata Sivakumar, adalah bertentangan dengan amalan demokrasi. Penjawat awam mempunyai hak sebagai warganegara untuk menentukan kerajaan yang memerintah melalui pilihanraya. Ketua Setiausaha Negara tidak boleh mempengaruhi undi penjawat-penjawat awam yang lain. “Itu bukan kerja dia, gaji dia dibayar oleh rakyat Malaysia, tidak kira dari penyokong Barisan Nasional atau penyokong Pakatan Rakyat,” tambahnya. Oleh yang demikian kakitangan awam harus setia kepada rakyat yang memilih sesuatu kerajaan. Beliau juga ada menyebut ‘Janji Kosong pembangkang’ dalam kenyataan media yang dibuat olehnya. "Ini adalah satu kenyataan yang tidak boleh diungkapkan oleh seorang yang memegang jawatan Ketua Setiausaha Negara. “Mana dia tahu pembangkang buat janji kosong? Pembangkang belum memerintah negara ini untuk membuktikan kewibawaannya,” katanya. Beliau telah tersalah langkah membuat kenyataan media yang ‘kurang arif’ itu. Kata Sivakumar, beliau harus sedar bahawa kerajaan boleh berubah tetapi kakitangan awam akan terus menjawat jawatan mereka. Penjawat awam adalah jentera pelaksana polisi awam yang digariskan oleh mana-mana pihak yang menjadi kerajaan melalui mandat yang diberi oleh rakyat. Apabila Ketua Setiausaha Kerajaan telah membuat satu pendirian pro Barisan Nasional, beliau tidak layak memegang jawatan itu lagi. "Apa akan berlaku apabila Putrajaya ditawan oleh Pakatan Rakyat, sedangkan Ketua Setiausaha Negara adalah orang kuat dan setia kepada Barisan Nasional? Ini akan menimbulkan banyak masalah kepada kerajaan baru yang dipilih oleh rakyat melalui proses pilihanraya," katanya.

Thursday, June 14, 2012

DASHAT ! BELANJA LAWATAN 12 HARI RM3,000,000 !

Najib ke UK, AS telan belanja RM3 juta Lawatan Datuk Seri Najib Razak ke United Kingdom dan Amerika Syarikat pada bulan Mei lalu memakan belanja wang rakyat hampir RM3 juta. Dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat kepada Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz berkata, lawatan ke London, UK untuk menghadiri jamuan makan Putera Charles pada 13 hingga 15 Mei memakan belanja RM849,175. Katanya, lawatan kerja Najib ke Amerika pula untuk menghadiri meysuarat Global Science and Innovation Advisory Council di New York pada 15 hingga 18 Mei menelan belanja RM1.606 juta. Manakala belanja para pegawai yang mengiringi lawatan peribadi Perdana Menteri ke Washington pada 19 hingga 24 Mei pula adalah RM452,985. “Sepanjang tempoh lawatan peribadi, kerajaan hanya membiayai perbelanjaan pegawai kerajaan yang mengiringi YAB Perdana Menteri,” kata Nazri.

Wednesday, June 13, 2012

TANAH TELAH DIMILIKI SEBELUM BELIAU ! SEBELUM HASAN ISA LAH!

Aktiviti pembalakan di Gunung Angsi, dipantau ketat kerajaan kerana ia milik syarikat swasta SEREMBAN, 13 Jun 2012 – Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan, Menteri Besar Negeri Sembilan hari ini menjawab aktiviti pembalakan secara haram di Hutan Simpan Ulu Bendul, Gunung Angsi, di sidang media ringkas selepas mesyuarat EXCO mingguan, di Wisma Negeri Seremban, hari ini Kebanyakan rakyat negeri ini menyalah anggap bahawa Kerajaan Negeri tidak prihatin terhadap aktiviti pembalakan yang dijalankan oleh syarikat yang dilihat mengeluarkan hasil balak di kawasan tersebut. Menurut Menteri Besar, Kerajaan Negeri tidak mempunyai kuasa untuk menghentikan kegiatan pembalakan di kawasan dimaksudkan kerana rezab tanah telah dimiliki oleh syarikat yang membeli kawasan tersebut hasil dari lelongan Dana Harta. Sebelum ini tanah itu telah dimiliki oleh beberapa syarikat sebelum beliau menjadi Menteri Besar negeri ini. Apabila mentadbir kerajaan Negeri, beliau mendapati syarat pemilikan tanah tersebut terlalu longgar, namun sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, Kerajaan Negeri mengarahkan agar syarikat itu mengambil permit bagi aktiviti pengeluaran balak dan mengusahakan kawasan tersebut sebagai ladang kelapa sawit. Selain, syarikat tersebut perlu membayar permit kepada Jabatan Hutan Negeri yang sentiasa memantau kegiatan pembalakan di kawasan tersebut. Menteri Besar turut kesal dengan apa yang berlaku sebelum ini dan sedikit sebanyak ianya merosakkan eko sistem alam sekitar dan berharap syarikat terbabit tidak menyalahi permit pembalakan. Perkara ini sama berlaku di Bukit Mantin yang melibatkan kawasan seluas 3,000 ekar dan Kerajaan Negeri semakin tegas menangani kegiatan ini dan sentiasa mengawal melalui Jabatan Perhutanan Negeri. Kemudahan Pengangkutan Awam dan Pembuangan Sistem Pepejal Hasil dari penyelidikan yang dijalankan selama tiga bulan, daripada 50 laluan bas, separuh mengalami kemerosotan mutu perkhidmatan dan perkara ini amat merisaukan kerajaan. Dari respondan yang diterima, mereka sukar melakukan aktiviti tepat pada waktunya kerana jadual perjalanan bas tidak menentu di samping keadaan bos yang kian uzur. Menurut Menteri Besar, faktor kewangan bukan lagi punca masalah perkhidmatan bas ini kerana Jabatan Pengangkutan Awam Darat Negara diwujudkan kepada mereka yang memerlukan bantuan terutamanya dari segi pusingan modal dan penyelenggaraan kemudahan tersebut. Kerajaan Negeri bersedia bertemu dengan pengendali perkhidmatan pengangkutan awam terutamanya bas henti-henti untuk mengetahui punca sebenarnya. Ini adalah selaras dengan dasar Kerajaan Negeri mengurangkan masalah rakyat seterusnya meningkatkan mutu kesejahteraan. Begitu juga dengan masalah pembuangan sistem pepejal yang menjadi tanggungjawab SWM ketika ini. Kerajaan Negeri memandang serius dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) perlu memantau keadaan ini dari masa ke semasa agar tidak membawa masalah kepada rakyat negeri ini. Negeri Sembilan akan menjadi sebuah negeri maju dari segi dasar Pembangunan, dasar kesejahteraan rakyat, dasar pendidikan, dasar ekonomi dan sebagainya.

Monday, June 11, 2012

ANAK TUN AKUI CERAMAH UMNO SEPARUH BOHONG !

Anak bekas Timbalan Perdana Menteri, Tamrin Tun Ghafar Baba mengakui ceramah-ceramah anjuran Umno sejak zaman beliau lebih 50 peratus kandungannya "bohong" dan trend itu terbawa-bawa sehingga ke hari ini, dedah beliau dalam ceramahnya di Pentas Pakatan Rakyat, Padang Bola PPR Batu Muda, Batu Caves malam tadi. Tamrin yang masih menjadi ahli Umno sah menyifatkan pelbagai isu bobrok yang melanda kepimpinan Najib Tun Razak adalah bukti Umno kini tidak upaya untuk membendung kerosakan dalam parti itu. Rakyat kian cerdik memerhati dan akan membuat pilihan tepat dalam PRU-13 nanti dengan menolak Umno-BN. "Saya menyeru rakyat Malaysia agar lakukan perubahan drastik dalam PRU-13 nanti. Kita perlukan kerajaan baharu yang lebih telus dan amanah. Cukuplah 54 tahun Umno-BN memerintah dan mengaut kekayaan negara untuk kepentingan mereka dan kroni mereka," tegasnya. Turut berceramah pada malam tadi ialah anak bekas Timbalan Perdana Menteri, Tamrin Tun Ghafar Baba; Ahli Parlimen Batu, Tian Chua; Ahli Parlimen Teluk Intan, Manoharan; bekas Timbalan Menteri Koperasi, Tanah dan Wilayah, Dato' Dr Tan Kwee Kwong, Pengarah Pilihan Raya Pemuda PAS Pusat yang menggantikan Salahuddin, Sany Hamzan dan Yang Dipertua PAS Batu, Ishak Surin. Program anjuran PAS Kawasan Batu dengan kerjasama PAS Cawangan PPR Batu Muda. Dicatat oleh Tarmizi Mohd Jam di Isnin, Jun 11, 2012

Friday, June 8, 2012

KHALED MENTERI PENGAJIAN HIDUNG TINGGI

Penuntut-penuntut Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor juga dijadikan mangsa politik dangkal dan sempit pemimpin UMNO, meskipun mereka mendakwa memperjuangkan bangsa Melayu dan Ugama Islam.. Setelah pelajar UNISEL yang kebanyakkannya berbangsa Melayu dijadikan mangsa politik mereka kini penuntut-penuntut Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) juga menerima nasib yang sama.. Menurut seorang siswa yang baru mendaftar di kolej tersebut, perkara itu diberitahu dalam satu taklimat kepada pelajar pada malam Rabu lalu. Siswa yang enggan didedahkan namanya itu berkata hampir 500 orang pelajar dalam taklimat itu diberitahu bahawa pinjaman PTPTN itu dibekukan kerana KUIS berada di bawah kerajaan Selangor. PTPTN: Pelajar Kuis juga dibekukan SHAH ALAM - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyekat dananya bukan sahaja kepada penuntut Universiti Selangor (Unisel), malah turut membabitkan penuntut-penuntut Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis). Pengerusi PTPTN, Datuk Ismail Mohamed Said yang dihubungi Sinar Harian Online semalam mengesahkan kemudahan kewangan PTPTN turut dibekukan kepada pelajar Kuis buat sementara waktu seperti arahan yang dikeluarkan ke atas Unisel. "Ya, pembekuan PTPTN tetap dilakukan (dikenakan) kepada Kuis. "Alasannya juga sama seperti yang dikenakan terhadap Unisel," kata beliau dalam satu kenyataan SMS. Terdahulu ketika dihubungi, Ismail juga berkata, PTPTN dibekukan sementara ke atas Unisel kerana mahu memberi laluan kepada Kerajaan Negeri Selangor yang dipimpin oleh Pakatan Rakyat (PR) menjalankan manifesto mereka dalam penghapusan PTPTN dan pemansuhan yuran pengajian terhadap institusi pengajian tinggi awam (IPTA). Ismail juga menafikan sekat kemudahan pinjaman kepada pelajar-pelajar Unisel itu berlandaskan politik. Katanya, PTPTN tidak menyekat dana tersebut disebabkan agenda politik tetapi ingin memberi peluang kepada Kerajaan Negeri Selangor melaksanakan rancangan mereka mahu memperkenalkan pendidikan percuma dan berhasrat mahu menghapuskan PTPTN jika PR memerintah nanti. "Kami bagi peluang pada PR melaksanakan apa yang dirancang oleh mereka dan bukan atas sebab agenda politik. "Kami nak mereka buktikan kerajaan Selangor boleh melaksanakan sistem pendidikan percuma dan tanpa pinjaman PTPTN kepada pelajar baru mereka nanti," katanya. Kelmarin, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Kerajaan Persekutuan tidak ada hak untuk menyekat permohonan pinjaman PTPTN pelajar-pelajar baru yang akan mendaftar di Unisel dan tidak wajar mengheret pelajar yang tidak bersalah ke kancah politik. Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli pula mencabar Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin memberi kenyataan sama ada tindakan menyekat pinjaman PTPTN kepada pelajar Unisel ini adalah arahan beliau sendiri. Sehubungan itu, Ismail yang juga Ahli Parlimen Kuala Kurau berkata, beliau akur dengan arahan Menteri Pengajian Tinggi itu untuk menyekat PTPTN dan memberi peluang kepada kerajaan Selangor membuktikan kebolehan mereka. "Saya akur arahan Khaled untuk menyekat dana PTPTN terhadap Unisel dan dengan niat bagi peluang kepada PR laksanakan apa yang mereka tuntut sekarang," katanya. Dalam pada itu, Khaled berkata, pihak pembangkang yang sebelum ini bersuara mahu menyediakan pendidikan percuma dengan memansuhkan PTPTN, kini seolah-olah "mendesak" mahukan kemudahan itu dikekal dan diteruskan. Sinar Harian

Tuesday, June 5, 2012

SKANDAL BANK NEGARA ? DASYATNYA

Skandal Wang Asing BNM 1992-93: Ziarah Semula Dr. Rosli Yaakop, 05 Jun 2012 Pada hari Rabu, 30 Mei 2012, awal pagi, saya menerima satu pesanan ringkas yang berbunyi: “Salam Dr. Rosli. Kaifahal? Saya Syed Mikael dari Penang Institute. Berhajat besar utk menjemput tuan hadir memberi pdgn dlm satu forum khas bertajuk “Bank Negara Forex Scandal: When Government Becomes Speculator.” Forum ini bakal diadakan pada 2.30 ptg, Sabtu ini 2 Jun 2012 di Dewan Sri Pinang, Padang Kota Lama, Pulau Pinang. Selain tuan, CM Lim Guan Eng dan DS Anwar Ibrahim turut jd panelis. Ini adalah permintaan pribadi DSAI kpd tuan. Harap dapat hadir.” Apabila membaca mesej itu saya menjadi kelam kabut (tetapi saya tahu ayat terakhir itu adalah tambahan dengan maksud tidak sopan kalau saya menolak). Pertama, saya memang sudah ada program tetap di hujung minggu. Setiap minggu, kecuali ada hal yang lebih utama, mulai petang hari Khamis sehinggalah ke petang hari Ahad, saya mesti berada di Rembau – turun padang. Kedua, pada hari Jumaat, 1 Jun, saya mesti hadir bersama-sama rombongan dari Rembau ke program “Himpunan Hijau ke Putra Jaya” di Alor Star, Kedah. Ketiga, pada hari Ahad, 3 Jun, saya mesti kembali ke Rembau kerana majlis perkahwinan anak buah (anak adik) saya. Saya tahu ibu saya akan sedih jika saya tidak bersama di majlis itu. Keempat, masa yang ada memang suntuk dan amat sukar bagi saya untuk membuat persediaan, tambahan lagi, ini bukan subjek yang mudah. Kelima, maudhu’ yang akan dibicarakan sudah lama saya tinggalkan. Kali terakhir saya berbicara mengenainya ialah pada April 2006 bila pemberita akhbar Malaysiakini menemubual saya mengenainya. Betul, saya ada menulis mengenainya tetapi saya kena mentelaah kembali tulisan-tulisan itu kerana banyak perinciannya yang saya telah lupa. Keputusan saya: saya kena tolak undangan. Namun, hati saya terus berbolakbalik di antara hendak kata ia atau tidak. Saya akhirnya menalipon Syed Mikael menyatakan, dengan hati yang berat dan rasa terbeban, “setuju.” Perkiraan saya ialah saya memang akan ke utara dan program mingguan di Rembau pun telah dibatalkan kerana ramai ahli yang akan ke Kedah menyertai perhimpuan hijau dan setelah berjanji kepada ibu, saya akan berada di Rembau pada pagi Ahad itu, Insya Allah. Saya dan isteri ke Pulau Pinang pada hari Khamis 31 Mei bertolak dari Subang Jaya pada pukul 5 pagi dan sampai di Pulau Pinang pada pukul 8.30 pagi. Kami menginap di Hotel Equitorial. Berbekalkan sedikit maklumat yang saya telah kumpulkan sebelum bertolak, saya memerapkan diri di bilik hotel, mentelalah bahan yang saya bawa dan melayari internet untuk bahan tambahan dalam menyediakan satu power point presentation untuk dibentangkan di dalam forum. Isteri saya merungut kerana saya tidak membawa beliau bersiar-siar di Pulau Pinang. Hendak menziarahi saudara mara pun terpaksa dilupakan. Dia reda sedikit bila pada sebelah senjanya, kami keluar makan malam di restoran Pak Su di Sungai Dua dan makan durian dari dusun Pak Su sendiri yang turut dijaja di situ. Kembali ke hotel saya terus menyambung kerja hingga lewat malam. Sesudah subuh, hari Jumaat, 1 Jun, dalam hujan yang lebat, kami memandu kereta ke Alor Setar. Program di Alor Setar memang menyemarakkan semangat perjuang tetapi meletihkan. Bila kembali dari Alor Setar pada dinihari, Sabtu 2 Jun, saya menginap di Hotel Penaga, di Hutton Lane. Se awal selepas sembahyang subuh, saya menyambung kerja menyiapkan ppp. Ianya siap pada pukul 12.30 petang dan terus saya emelkan kepada Syed Mikael kerana saya telah berjanji akan emel kepada beliau pada sebelah pagi. Saya terlewat. Saya tiba di Dewan Sri Pinang pada pukul 2.00 petang. Forum bermula pada kira-kira pukul 3.30 petang kerana DSAI yang berkereta dari Kuala Lumpur terperangkap di dalam kesesakan lalu lintas di Lebuhraya Utara-Selatan. Perjalanan mengambil masa lima setengah jam berbanding 3-4 jam jika tiada kesesakan. Kepada kira-kira 400 hadirin dan hadirat di majlis forum itu saya memberitahu ada sekurang-kurang lapan isu utama yang mengundang jawapan berkaitan dengan tajuk forum itu (forum diadakan dalam Bahasa Inggeris). Saya kongsi isu-isu dan jawapan yang saya kemukakan di forum itu dengan pembaca Harakah. Pertama, wajarkah Bank Negara Malaysia (BNM) berspekulasi di pasaran pertukaran wang asing? Tidak. BNM tidak boleh sama sekali terlibat di dalam kegiatan spekulasi di dalam pasaran wang kerana risiko kerugian daripada kegiatan ini amat tinggi. Fungsi sebenar BNM adalah sebaliknya, iaitu, memerangi kegiatan spekulasi. Di dalam pasaran pertukaran wang asing khususnya, fungsi teras BNM ialah menjaga dan melindungi nilai Ringgit Malaysia (MYR) berbanding nilai matawang asing khususnya matawang rakan dagang utama negara seperti Dolar Amerika (USD), Ringgit Singapura, Paun British (GBP), Deutch Mark (DM), Yen, Swiss Franc, French Franc dan sebagainya. BNM mesti melindungi MYR dari serangan spekulatif dan menjaga nilai pertukaran MRY supaya sentiasa stabil dan pasaran wang setiasa cukup kecairan. Kedua, bilakah BNM mula terlibat di dalam kegiatan spekulasi di dalam pasaran pertukaran wang asing? BNM mula melibatkan diri di dalam kegiatan spekulasi di pasaran pertukaran wang apabila Tan Sri Jaffar Hussien (arwah) dilantik Gabenor pada tahun 1985. Gabenor-Gabenor sebelum beliau – Tun Ismail Ali (arwah) dan Tan Sri Aziz Taha (meletak jawatan) – semuanya menentang kegiatan spekulasi matawang. Malah, mereka sentiasa mempertahankan BNM sebagai badan yang harus bebas dari campur tangan pemerintahan. Kerana tidak rela dijadikan “budak suruhan” kepada Menteri Kewangan yang mengarahkan Tan Sri Aziz berbuat sesuatu yang bertentangan dengan prinsip dan etika bank pusat, beliau memilih meletakkan jawatan. Mungkin, antaranya, beliau enggan berspekulasi di pasaran wang asing. Isyarat bahawa BNM akan bersepekulasi di pasaran pertukaran wang asing disebut di dalam satu syarahan yang disampaikan oleh TSJH di Delhi dalam tahun 1989. Beliau menyebut bahawa beliau telah menambahkan dimensi ketiga dan keempat kepada pengurusan rizab BNM, iaitu, mengoptimamkan keuntungan dan membangunkan kemahiran berurusniaga di dalam pasaran wang asing. Sebelum ini, teras utama pengurusan rizab adalah menjaga dan melindunigi nilai MYR dan mengekalkan kecairan di dalam pasaran. Sejak dari itu bermulalah penglibatan BNM dalam kegiatan spekulasi di pasaran wang asing dalam skala besar dengan tujuan menjana keuntangan maksimam sehingga mengkesampingkan teras utama pengurusan rizab. BNM bukan lagi berspekulasi di dalam pasaran untuk menjaga nilai ringgit tetapi berjudi dengan harapan mendapat untung besar dan segera. Bila ada pihak yang bertanya kenapa BNM berspekulasi secara besar-besaran sedangkan tidak ada mana-mana bank pusat yang berbuat demikian, maka TSJH sering memberi alasan “untuk mempertahankan nilai ringgit dan mengawal inflasi.” Ini terbukti falsu kemudiannya apabila kerugian besar akibat berjudi terdedah dan nilai pertukaran asing MYR merudum dalam tahun 1997-98 diserang spekulator. Ketiga, Berapa besar dana digunakan BNM untuk berjudi di dalam pasaran pertukaran asing? Kerana ketiadaan penyiasatan, jumlah dana terlibat sukar diperinci. Tetapi, pakar-pakar pasaran memang mengetahui bahawa pada satu ketika BNM (sebelum skandal terdedah) adalah pemain terbesar di dalam pasaran pertukaran wang asing di dunia. Lawannya hanyalah George Soros, “penyangak matawang.” Akhbar Reuter pernah melaporkan bahawa BNM adalah “sebuah kuasa yang dominan di dalam pasaran pertukaran wang sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Bahawa, BNM telah menjana keuntungan yang agak lumayan dari kegiatan itu sejak sebelum tahun 1992-93, telah mendorong BNM untuk bermain di dalam pasaran pertukran asing dalam skala yang semakin besar.” Pedagang-pedagang matawang asing biasanya berjual beli dalam lot USD1 juta, USD5 juta dan paling tinggi USD 10 juta. Tetapi BNM berniaga dalam lot USD 50 juta dan kadang-kadang dalam lot USD1 bilion (dalam istilah pasaran, ini dipanggil satu ela) dalam sehari. Amat jarang sekali peniaga matawang asing berjual beli dalam lot yang besar. Penanding yang paling hampir kepada BNM dalam kegiatan jual beli di dalam pasaran pertukaran asing ini ialah pengurus-pengurus dana Jepun. Itu pun mereka berani bermain paling tinggi dalam lot USD50 juta dan setakat sekali atau dua kali setahun. BNM bermain dalam lot-lot besar ini setiap hari. Ertinya, BNM memang berjudi di dalam pasaran, satu aktiviti yang tidak ada kena-mengena langsung dengan fungsi “mempertahankan nilai ringgit dan mengawal inflasi.” Strategi BNM ialah membeli dahulu sesuatu matang wang dalam jumlah beberapa bilion USD dan setelah urusan pertama ini selesai (selang beberapa minit sahaja), ia akan membeli beberapa billion USD lagi. Ini menjana kejutan di dalam pasaran dan pedgang-pedagang lain menjadi panik dan akan tergesa-gesa membeli matawang berkenanan. Akibatnya, harga akan naik dan ketika itulah BNM menjual pegangannya dan menjana keuntungan lumayan. Akhirnya, pedagang-pedagang lain akan tahu helah ini dan bila mereka tahu, mereka akan bertindak balas. Maka bertemulah buku dengan ruas. Dalam tahun 1992, BNM berjudi di dalam Paun British (GBP). Ia membeli dengan jangkaan GPB akan naik nilai. Pada masa yang sama, George Soros membuat “short selling” ke atas GBP (jual dulu dan beli kemudian) kerana dia menjangka nilai GBP akan jatuh di masa hadapan. Jangkaan soros tepat. Nilai GBP jatuh. BNM rugi USD5.5 bilion dan Soros untung USD1.7 bilion. TSJH berbohong dengan mengumumkan bahawa BNM hanya rugi di atas kertas sebanyak RM9.3 bilion. Hanya kemudian (dalam tahun 1993) beliau mengakui BNM rugi RM10.1 bilion. Pakar-pakar membuat anggaran bahawa kerugian sebesar itu hanya boleh terjadi kalau BNM berspekulasi dalam pasaran sebanyak US27-33 bilion. Jumlah ini 5 kali ganda jumlah rizab BNM pada masa itu dan lebih besar dari nilai asset BNM, iaitu, USD20.7 bilion ketika itu, bermakna BNM sudah bankrap. Ini bukan hendak menjaga nilai ringgit dan mengawal inflasi, ini berjudi sakan. Perjudian BNM di dalam pasaran pertukaran wang asing ini telah dikesan oleh bank pusat Amerika (Federal Reserve Bank) dan Gabenornya pada masa itu, Alan Greenspan telah menggesa BNM menghentikan segera perbuatan itu. Tetapi, BNM buat pekak badak. Ia terus bermain judi dan akhirnya rugi besar lagi dalam tahun 1993. Akhbar “Malaysia Business” melaporkan bahawa pada kemuncaknya, BNM pernah berspekulasi di dalam pasaran pertukaran wang asing sehingga RM270 bilion (USD90-100 bilion). Pedagang-pedagang matawang asing BNM amat agresif dan digelar “pembuli pasaran” (market bully). Mereka seolah-oleh diberi oleh bos mereka cek kosong, berbelanja ikut suka. Yang sebenarnya, yang berjudi itu seorang sahaja, iaitu Nor Mohamed Yakcop. Khabarnya (berita yang hangat di kalangan kakitangan BNM), apa yang beliau buat ialah beliau berjual beli menggunakan komputer orang lain - pegawai-pegawai di bawah beliau. Beliau akan bergerak dari satu komputer ke satu komputer sehingga pasaran melihat BNM mempunyai ramai pedagang matawang asing yang agresif walhal yang agresif hanya seoarng sahaja. Beliau selalu datang mesyuarat lambat dan ketika mesyuarat sedang berjalan, keluar pergi ke kamar dagangan (dealing room). Beliau membuat laporan palsu kepada Gabenor tetapi kerana dia licik, maka Gebenor percaya semua laporan sehinggalah “nasi telah menjadi bubur” barulah Gabenor sedar orang yang dipercayainya selama ini telah bermain kayu tiga dengan beliau, buat cerita dongeng. Keempat, berapa besarkah kerugian yang ditanggung BNM akibat dari perjudian itu? Memang sukar diketahui dengan tepat tanpa penyiasatan. YB Lim Kit Siang pernah menyebut di parlimen bahawa jumlah kesemua kerugian ialah RM30 bilion, satu jumlah yang amat menggerunkan. Inilah jumlah kerugian yang paling kerap disebut di kalangan pemain pasaran. BNM mengakui kerugian sebanyak RM10.1 bilion dalam tahun 1992 dan RM5.7 bilion dalam tahun 1993. Jumlahnya RM15.8 bilion, kira-kira setengah dari anggaran pakar. Jumlah yang diakui oleh BNM itu memang secara muslihat direndahkan. Sebahagian kerugian itu disorokkan melalui menilai semula pegangan emas BNM pada harga pasaran yang telah menjadi lebih tinggi berbanding harga mula-mula ia dibeli dan menilai pelaburan BNM dalam saham tersenarai dan beberapa lagi harta yang lain. BNM juga menggunakan “creative accounting” bagi menyorok kerugian. Kerugian telah ditukarkan menjadi “harta” dengan mencipta istilah baru perakaunan, iaitu, “deferred expenditure” atau “perbelanjaan tertunda” – wang telah dibelanjakan dahulu tetapi akan dibayar secara ansuran kemudian. Ini adalah penipuan. TSJH, seorang akauntan bertauliah, telah menderhakai profesyen beliau sendiri. Kelima, siapakah yang bertangungjawab di atas kerugian? BNM berjudi sakan di pasaran pertukaran matawang asing semasa Tun Daim Zainuddin (TDZ) menjadi Menteri Kewangan. Semua orang maklum, TDZ ini seorang spekulator besar dalam pasaran saham. Beliau menjana kekayaan melalui spekulasi di pasaran saham. Dengan nada angkuh beliau pernah dilaporkan berkata: “Apa yang saya jana di pasaran saham itu hanyalah duit poket saya.” Diyakini bahawa arahan “pergi buat duit di pasaran pertukaran asing” kepada BNM datangnya dari TDZ dan tentunya direstui oleh Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad (TMM). Umum mengetahui kedua-dua mereka rapat, bagaikan isu dengan kuku. Arahan itu dilaksanakan kerana BNM memiliki seorang Gabenor yang berwatak “Yes Man” bukan macam Tun Ismail Ali dan Tan Sri Aziz Taha. Harus diingat TDZ – kerana gagal menundukkan Tan Sri Aziz Taha dengan arahan tidak munasabah - telah berjaya menekan Tan Sri Aziz sehingga beliau meletak jawatan. Gabenor TSJH pula mempunyai “Yes Man” lapisan kedua, iaitu, Nor Mohamed Yakcop. Pada peringkat BNM, kerugian gergasi ini adalah tanggungjawab TSJH dan Nor Mohamed Yakcop sepenuhnya. Mereka, walaubagaimana pun mengambil arahan daripada dan membuat laporan terus kepada TDZ dan TMM mengenai permainan mereka di pasaran matawang ini. Pegawai tinggi BNM yang lain tidak tahu apa-apa. Timbalan Gabenor pada masa itu, Tan Sri Dr. Lin See Yan diketepikan. Sesungguhnya, mereka berdua telah terpesong jauh dari batasan (went overboard) dalam memperjudikan harta BNM di pasaran pertukaran asing. Mereka bukan berspekulasi tetapi berjudi secara cuai dan tidak bertanggung jawab dengan tidak mengendahkan langsung tentang keselamatan harta BNM dan harta negara. Mungkin mereka bernafsu besar untuk mengalahkan Goerge Soros yang dikenali sebagai “raja perompak” (robber baron) itu bertujuan memenangi hati bos mereka bahawa mereka mempunyai kepakaran tanpa tolok banding di dalam urusniaga matawang asing. Jadi, empat orang adalah orang yang harus dipertanggungjawabkan sepenuhnya di atas kerugian gergasi yang ditanggung BNM akibat perjudian di pasaran pertukaran asing – Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad, Menteri Kewangan, Tun Dain Zainuddin, Gabenor, Tan Sri Jaffar Hussein dan Nor Mohamed Yakcop. Bila Dato Sri Anwar Ibrahim mengambil alih sebagai Menteri Kewangan dalam tahiun 1991, BNM memang sudah terperangkap di dalam perjudian di pasaran. Beliau dinafikan maklumat mengenai keterdedahan BNM dalam pasaran pertukaran asing – berapa besar pelaburan, untung atau rugi, semuanya disembunyikan dari beliau. Beliau mendapat maklumat serpihan dari pihak ketiga. Beliau, seperti yang diakui. pernah meminta maklumat terperinci dari Gabenor TSJH tetapi beliau disuruh pergi memintanya daripada Perdana Menteri. Bila DSAI dilantik Menteri Kewangan, kerugian telah menggunung - “nasi telah menjadi bubur.” Apa yang boleh beliau buat hanyalah memberhentikan pendarahan dan itu beliau telah berjaya buat. Beliau “membuang” Gabenor dan Nor Mohamed Yakcop dari BNM pada pertengahan tahun 1994 selepas pembentangan laporan Tahunan BNM 1993 yang mendedahkan kerugian dari spekulasi wang asing itu. Beliau juga melarang sama sekali BNM dari bersepekulasi di pasaran matawang asing. Larangan ini berkuatkusa hingga kini. Penganalisis merasakan beliau akhirnya membayar kos yang tinggi atas tindakan beliau itu – difitnah, dibuang kerja dan dipenjara 6 tahun. Orang yang memberi arahan supaya BNM berspekulasi di pasaran wang asing adalah TMM dan TDZ dan “kerja kotor” diserahkan kepada TSJH dan NMY untuk melaksanakannya. Jadi, TSJH dan NMY mempunyai pelindung. Sebab itu mereka bebas, tidak didakwa langsung. Keenam, Kenapakah orang yang bertanggungjawab dibiarkan lepas-bebas? Nor Mohamed Yakcop dipaksa meletak jawatan pada Julai 1994, satu hukuman yang amat ringan berbanding jenayah yang telah beliau lakukan terhadap negara. Malah, beliau kemudiannya diberi habuan lebih besar – kembali ke BNM dan menjadi menteri kabinet. TSJH juga dipersilakan meletakkan jawatan tetapi dengan segera beliau dilantik menjadi Timbalan Pengerusi PNB sebagai habuan. Sejak dari itu, beliau hidup murung – jarang mendapat liputan media - dan dua tahun kemudian beliau menginggal dunia akibat penyakit barah. Perdana Menteri dan TDZ pula tida siapa yang berani sentuh. Buat penyiasatan mereka tidak mahu. Mereka tidak lut undang-undang. Ketujuh, kenapakah skandal kerugian pertukaran asing BNM tidak disiasat? Ini adalah kerana, pertama, pemimpin tertinggi negara nampaknya terlibat dan bersekongkol dalam perjudian ini. Kedua, penyiasataan mungkin mendedahkan banyak kepincangan dan perkara buruk yang boleh membawa kacau bilau politik kepada golongan berkuasa. Ketiga, perincian-perincian skandal ini mungkin terlalu mengerikan (too gruesome) kepada umum dan boleh menyebabkan malu besar kepada golongan berkuasa, sekiranya didedahkan. Keempat, wujud unsur-unsur jenayah di dalam skandal berkenaan yang boleh menyebabkan orang bertanggungjawab masuk penjara bukan masuk kabinet seperti yang berlaku sekarang. YB Lim Kit Siang telah mencadangan di Parlimen supaya Suruhanjaya PenyiasatanDiraja ditubuhkan untuk menyiasat skandal kerugian pertukaran asing ini tetapi cadangan tidak langsung diendahkan. Kelapan, patutkah PR (jika memerintah) menyiasat kembali skandal ini? Di Mongolia, dua orang bekas Gabenor dan tiga orang kakitangan bank pusat negara itu telah didakwa dimahkamah atas tuduhan kecuaian dan melebihi kuasa sehingga menyebabkan kerugian USD90 juta di pasaran pertukaran asing. TSJH dan NMY telah melakukan kesalahan yang lebih besar dan menyebabkan kerugian gergasi, maka sudah sewajarnya mereka di bawa ke muka pengadilan. Mereka mestilah disiasat. Jenayah yang terlibat termasuklah kecuaian, menyalahgunakan kuasa, memalsukan akaun, memesongkan maklumat, pecah amanah, konspirasi dan rasuah. Aktiviti spekulasi yang dibuat sebenarnya berlawan dengan prinsip-prinsip utama bank pusat. Bank pusat sepatutnya membanteras spekulasi. Manakan boleh BNM melibatkan diri di dalam kegiatan spekulasi di pasaran matawang asing secara besar-besaran? Kerugian wang rakyat terlalu besar untuk dilupakan begitu sahaja. Maka wajiblah kerajaan PR menubuhkan Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat skandal ini walaupun ia telah terlewat 20 tahun. Penulis mengucapkan terima kasih kepada Penang Institute kerana memberi ruang kepada penulis untuk berkongsi maklumat dengan orang ramai.