Sahabat Intim Blog Ini
Thursday, July 18, 2013
KENA BATANG HIDUNG BARU BN TEGADAH!
Satu gabungan NGO hari ini membuat laporan polis terhadap Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail yang didakwa menyalahguna kuasa dan mengamalkan pendakwaan terpilih.
Dalam laporan yang difailkan di balai polis Travers di Kuala Lumpur, NGO tersebut memberikan polis tempoh dua minggu untuk mengambil tindakan terhadap AG.
Jika tidak, NGO tersebut memberi amaran akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC).
“Kami minta polis siasat AG, mengambil tindakan terhadapnya kerana membuat pendakwaan terpilih, beliau telah menyalahguna kuasanya, mereka perlu menangkapnya serta-merta,” kata Presiden Pertubuhan Hak dan Kebajikan Rakyat (Power), S Gobi Krishnan.
Gobi membangkitkan tuduhan terhadap penulis blog Alvin Tan dan Vivian Lee serta keengganan Peguam Negara mendakwa Naib Presiden PERKASA, Zulkifli Noordin (gambar) sebagai bukti berlakunya pendakwaan terpilih.
“Kami mengalu-alukan berita pendakwaan penulis blog tersebut kerana kita tidak mahu sesiapa pun menghina mana-mana agama, tetapi AG mesti mengambil tindakan dalam semua kes (menghina agama)” katanya.
Gobi bertanya apakah satu gambar di Facebook sudah dianggap satu bukti yang cukup tetapi tidak pula video YouTube. Beliau merujuk kepada video yang didakwa menunjukkan Zulkifli menghina agama Hindu. -MR
Monday, July 15, 2013
INILAH PRESTASI MENTERI UMNO YANG DIRUNGUT TUN MAHATHIR
Menteri: Elak Makan Ayam Kalau Harga Naik
[Bernama] KUALA BESUT - Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaaan Datuk Hasan Malek hari ini mengajak orang ramai 'menukar' selera daripada memakan ayam kepada menu lain seperti ikan dan daging sebagai usaha mengekang kenaikan harga ternakan itu.
Beliau berkata langkah itu dianggap perlu memandangkan terdapat pihak tidak bertanggungjawab yang cuba mengambil kesempatan menjelang musim perayaan Hari Raya Aidilfitri dengan menaikkan harga ayam sewenang-wenangnya.
Katanya ia juga bertujuan mengajar pihak berkenaan yang cuba mengaut keuntungan supaya sedar tindakan tidak bertanggungjawab mereka tidak akan berhasil.
"Pengguna perlu guna kuasa untuk ajar pihak tidak bertanggungjawab, kalau tengok harga naik jangan beli ayam tapi beli daging pula," katanya ketika berucap pada Program Pemimpin Bersama Rakyat di Pulau Perhentian dekat sini, hari ini.
Ketika ditemui pemberita kemudiannya, Hasan mengulangi gesaan kepada peniaga supaya tidak menaikkan harga ayam sesuka hati sebaliknya menanam perasaan mendahulukan rakyat agar negara terus sejahtera.
"Saya lihat masih ada peniaga yang degil. Fikirlah balik...pada saya letaklah kepentingan negara lebih daripada lain-lain supaya kita tak jadi macam negara lain yang huru-hara.
"Kita sedang pantau dan cari punca kenaikan harga ayam adakah daripada pembekal, pemborong atau peniaga sendiri," katanya.
Selain itu Hasan berkata kira-kira 74 wakil industri termasuk pembekal ayam dan pengeluar gula memberi jaminan untuk tidak menaikkan harga barangan pada musim perayaan Aidilfitri selain memastikan bekalan mencukupi.
"Persatuan Penternak Unggas Melayu di Selangor telah memberi jaminan akan memberi sokongan kepada kementerian untuk memastikan bekalan sentiasa cukup supaya harga kekal," katanya.
Mengenai Ops Harga 2013, Hasan berkata sejak dilancar pada 6 Julai lalu hingga Khamis lepas (11 Julai) sebanyak 26,854 pemeriksaan dilakukan di seluruh negara.
Beliau berkata daripada keseluruhan jumlah pemeriksaan itu 60 kes telah dikenakan tindakan dengan jumlah rampasan bernilai RM10,071 dan kompaun RM7,150.
"Kes-kes yang dikenakan tindakan itu 59 membabitkan kesalahan tidak meletak tanda harga atau senarai harga bagi barangan yang dijual dan satu lagi kes dikenakan tindakan kerana menjual barang harga kawalan (gula kasar) melebihi harga maksimum yang ditetapkan," katanya.
P/s: Kata Menteri BN, ayam mahal makan benda lain. Menurut maklumat pengguna FB:
Harga Ayam: RM8-9/kg
Harga Daging Kotak: RM14-15/kg
Harga Ikan Kembung: RM13-14/kg
Jelas, ayam jauh lebih murah daripada ikan atau daging. Katakanlah ayam, daging, dan ikan lebih kurang sama harganya...RAKYAT NAK MAKAN APA??
Setakat ini sahaja tahap menteri BN menyelesaikan kenaikan harga barang?
Thursday, July 11, 2013
SENARIO YANG BELUM PERNAH BERLAKU !
Malaysia sedang menyaksikan senario yang tidak pernah berlaku sebelum ini apabila tiga bekas ketua hakim bersatu menentang menteri dalam negeri dan timbalannya mengenai apa yang sah di sisi undang-undang.
Beberapa alasan pelik ditawarkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan timbalannya,, Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengenai sebab mengapa kerajaan tidak mahu menggunakan pandangan yang dicadangkan tiga bekas ketua hakim, yang menjadi sebahagian anggota Suruhanjaya Inkuiri Diraja (RCI) yang menggesa keperluan badan berkecuali untuk memantau polis.
Kata Kadir, alasan paling pelik ialah penubuhan badan itu bertentangan dengan undang-undang. Bekas Editor Kumpulan New Straits Times, Datuk Kadir Jasin, turut duduk dalam RCI itu bersama tiga bekas ketua hakim berkenaan pada tahun 2004.
"Siapa lagi yang lebih tahu mengenai undang-undang?" tanyanya dalam entri terbaru blognya.
Beliau berkata, bekas Ketua Polis negara, Tun Hanif Omar turut berada dalam suruhanjaya itu bersama bekas Ketua Hakim, Tun Mohamed Dzaiddin dan Tun Salleh Abas. Turut bersama dalam inkuiri itu ialah peguam kanan yang kemudiannya menjadi Ketua Hakim, Tun Zaki Amir.
Inkuiri ini pada sembilan tahun lalu mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).
Cadangan itu mengundang banyak kritikan daripada polis sehingga Perdana Menteri pada masa itu, Tun Abdullah Badawi dengan cepat terlupa mengenainya. Sebaliknya, satu badan pengawasan dicipta - dengan seorang sahaja bertanggungjawab memantau polis.
Kemudian, 18 lagi agensi ditambah. Polis kelihatannya tidak ada masalah dengan perkara itu.
Tetapi, ia memberi sedikit masalah kepada bekas anggota inkuiri, Kadir.
"Jika kerajaan Barisan Nasional tidak berminat menubuhkan IPCMC, tolong jangan gunakan nama-nama besar Malaysia seperti Tun Mohamed Dzaidin, Tun Hanif dan Tun Zaki sebagai `kambing hitam' dan menjadi tempat orang melepas marah," kata Kadir dalam blognya.
Dalam entri terbarunya yang kelihatan agak sinis, Kadir menuding jari ke arah Zahid dan Junaidi dengan menyatakan pasangan itu percaya mereka lebih tahu mengenai undang-undang dan Perlembagaan berbanding anggota inkuiri.
Beliau berkata, jika menteri dalam negeri dan timbalannya percaya mereka lebih hebat daripada anggota inkuiri, sudah tentu mereka mendapatkan `bantuan orang yang sepatutnya berpengetahuan dalam Jabatan Peguam Negara' untuk mempertingkat rangka kerja undang-undang IPCMC."
Bekas Timbalan Ketua Wanita Umno yang juga anggota inkuiri, Datuk Kamilia Ibrahim turut mencemuh dakwaan menteri dalam negeri bahawa IPCMC tidak mengikut perlembagaan.
Dalam kenyataannya di Malaysikini, beliau yang juga seorang peguam berkata, badan seumpama IPCMC sudah ditubuhkan di United Kingdom dan Australia.
"Kenapa ia tidak boleh dilaksanakan di sini? Kita tidak boleh meminta polis menyiasat sendiri kes seperti kematian tahanan dalam lokap, salah guna kuasa atau rasuah," katanya.
"Tujuan IPCMC ialah untuk memastikan pasukan polis berfungsi dengan baik, kerana orang awam yang juga pembayar cukai mahu kepastian polis ikhlas dalam usaha memerangi jenayah, tidak berlaku rasuah dan memastikan pengurusan kerajaan yang baik," katanya. ~the malaysian insider
Kadir berkata, kesukaran perdana menteri Malaysia ialah apabila perlu berdepan dengan kepentingan diri oleh orang lain. Dalam blognya, Kadir berkata:"Lebih pun, jika Abdullah yang mengarahkan penubuhan RCI itu pun tidak menubuhkan IPCMC, kenapa pula orang menjangkakan penggantinya akan berbuat begitu?" ~the malaysian insider
Tuesday, July 9, 2013
KONTROVERSI AKTA PENINGKAN PM
Kontroversi Akta Hasutan buat Najib keseorangan
Pertikaian yang semakin berlarutan sejak beberapa lama mengenai pemansuhan Akta Hasutan 1948 sebenarnya makin memeningkan kepala Datuk Seri Najib Razak.
Bermula dengan penangkapan beberapa pemimpin dan aktivis pembangkang dibawah Akta Hasutan selepas pilihanraya umum lalu, episod mengenai mengenai akta ini, kini merebak menjadi virus yang menyakitkan bagi Najib.
Penangkapan yang berturutan dilakukan oleh kerajaan akhirnya menyebabkan pihak pembangkang mendesak Najib tidak lagi menggunakan akta itu kerana beliau sudah berjanji mahu memansuhkannya.
Sementara pihak pembangkang menuntut beliau menyatakan pendirian dan bertegas meneruskan pemansuhan akta yang dijanjikannya sejak Julai 2012 itu, desakan daripada dalam Umno pula mahukan beliau mengekalkan akta tersebut.
Pelbagai pihak dalam Umno melihat ia masih relevan untuk keharmonian dan keamanan negara.
Bermula dengan Datuk Seri Zahid Hamidi, Menteri Dalam Negeri yang bersuara lantang mahukan akta itu terus dikekalkan untuk kepentingan rakyat dan ketenteraman negara, beberapa pemimpin lain dalam Umno turut berpendirian sama dengan dengan beliau.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim yang baru dilantik menganggotai kabinet juga sependirian dengan Zahid dan tidak setuju dengan Najib yang melantiknya sebagai menteri.
Bebeberapa Ahli Parlimen juga menyatakan pendirian yang sama bahawa Akta Hasutan perlu dikekalkan.
Malah bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad juga mahu Akta Hasutan terus dikekalkan kerana berpendapat ianya merupakan suatu bentuk percegahan yang baik untuk negara berbilang kaum seperti Malaysia ini.
Malah Mahathir juga berkata, jika pun Akta Hasutan mahu dimansuhkan, kerajaan tidak harus berbuat demikian semata-mata kerana ianya dituntut oleh pihak pembangkang. Mahathir nampaknya benar-benar tidak sependapat dengan Najib.
Di peringkat akar umbi Umno dan kelompok Melayu juga ternampak gelombang yang main kuat mahukan kerajaan terus mengekalkan akta itu. Zahid terus mendapat sokongan dan pujian atas ketegasannya itu.
Setelah Mahathir juga sependirian dengannya dengan sama-sama mahu Akta Hasutan dikekalkan, geraf politik Zahid melonjak dua tiga takuk lagi.
Jika Najib mengikut arus yang mahukan akta ini terus dikekalkan, beliau tentunya akan dicop sebagai mungkir janji dan membakulsampahkan slogannya sendiri iaitu Janji Ditepati.
Reputasi dan wibawanya sebagai Perdana Menteri yang hanya mendapat sokongan 47 peratus undi rakyat, tentunya semakin bertambah buruk.Pemimpin yang memungkiri janjinya sendiri tidak akan dipercayai oleh rakyat sampai bila-bila.
Tetapi jika Najib mahu terus menunaikan janjinya memansuhkan akta itu, masalah besarnya ialah sokongan terhadapnya makin menipis.
Sehingga ini hanya Datuk Seri Nazri Aziz yang bangun mempertahankan bahawa Najib akan terus komited mahu memansuhkan Akta Hasutan dan menggantikannya dengan Akta Keharmonian Nasional.
Sebagai menteri yang bertanggungjawab mengenai undang-undang sebelum ini, Nazri bukan saja menyokong pemansuhan akta tersebut bahkan juga berpendapat Najib perlu menunaikan janjinya mengenai pemansuhan itu.
Sementara terdapat pemimpin Umno dan kerajaan yang lain cenderung untuk bersama dengan Zahid Hamidi mempertahankan akta kerana lebih suka dilihat kekal dengan perjuangan Melayu dan tidak mahu kehilangan sokongan rakyat, sebahagian yang lain pula lebih selesa berdiam diri.
Golongan ini bimbang jika menyatakan pendirian menyokong akta itu dikekalkan, ia akan dilihat seperti tidak bersama-sama dengan Perdana Menteri manakala jika menyokong pula agar akta itu dimansuhkan, risikonya ialah kehilangan sokongan rakyat dan dianggap lebih mirip kepada perjuangan pihak pembangkang.
Maka itu ramai yang memilih untuk berdiam diri asalkan perut dan jawatan terus selamat. Tidak hairan jika hanya Nazri seorang sehingga ini yang berani menyatakan pendirian berbeza.
Sementara itu, seorang menteri daripada MIC, S Subramaniam pula seperti buat-buat lupa mengenai pemansuhan Akta Hasutan dengan menyatakan ia hanyalah cadangan daripada Najib dan belum diputuskan apa-apa oleh kabinet.
Beliau juga terpaksa diingatkan kembali oleh Nazri bahawa perbincangan mengenainya sudah dibuat dalam mesyuarat kabinet dan komitmen Najib untuk memansuhkannya tidak pernah berubah.
Jelas bahawa Subramanian juga seperti terperangkap dengan dilema di antara mahu menyokong Najib ataupun mahu mengikut suara rakyat daripada kaum India yang juga mahukan akta itu dimansuhkan.
Semakin berlarutan isu dan polemik mengenai Akta Hasutan ini diperbincangkan dan selagi Najib tidak menyatakan pendirian tegasnya, selagi itulah isu ini terus menjerat Najib.
Beliau akan menjadi serba-salah untuk menentukan pendiriannya dan tidak menyangka isu pemansuhan Akta Hasutan yang tiba-tiba mewarnai atmosfera politik negara ini tidak menyebelahinya lagi.
Ketika beliau mengumumkan pemansuhannya pada Julai 2012 dulu, semua diam dan tidak membantah termasuk Zahid Hamidi tetapi kini semunya sudah berbeza.
Lebih-lebih lagi dengan pendirian Mahathir yang turut mahukan Akta Hasutan terus dikekalkan, dilema Najib lebih sukar untuk dirungkai jalan keluarnya. Najib seboleh-bolehnya akan cuba mengelak untuk berbeza pendapat dengan Mahathir, terutamanya menjelang pemilihan Umno hujung tahun ini.
Perbezaan pendapat itu jika tidak ditangani dengan baik, ia pasti akan melarat kepada pelbagai elemen lain yang boleh menjejaskan peluang Najib untuk terus kekal sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri.
Ia juga mungkin menjadi pendorong untuk terjadinya pertandingan segit dalam Umno yang akhirnya membawa kepada penyingkiran beliau daripada takhta kuasa.
Sebab itu, sejak beberapa lama isu ini berlarutan, Najib masih tidak berani menyatakan pendiriannya. Tetapi semakin lama beliau membiarkan isu ini menjadi perdebatan umum tanpa mahu menyatakan pendirian tegasnya, reputasinya di mata umum semakin tercalar.
Semakin lama berdiam diri, semakin beliau terbiar keseorangan manakala pihak pembangkang pula terus mengasaknya supaya tidak lupa pada janji yang pernah dibuatnya.
Hanya keberanian dan ketegasan Najib boleh menyelesaikan kemelut ini. -
http://shahbudindotcom.blogspot.com, 10 Julai.
Thursday, July 4, 2013
AKHIRNYA ADLI NAIK MURSI TURUN !
Ketika berita ini disiarkan, pendukung Mursi masih bertahan di Bundaran Rabiah Adawiyah. Pasukan tentera rukun kedua tentera Mesir telah mengumumkan ketidaksetujuan mereka kepada rampasan kuasa yang berlaku dan menyatakan taat setia mereka kepada Ketua Angkatan Tentera yang sah yang merupakan Presiden Dr. Mursi.
"Presiden baru" sementara Mesir, Adli Mansour telah menyampaikan ucapan sulung sebentar tadi. Beliau akan mengangkat sumpah terdekat di hadapan Anggota-anggota Hakim lain dalam tempoh sementara.
Di dalam perkembangan berkaitan, Raja Arab Saudi, Abdullah, dengan begitu cepat telah mengirimkan kawat ucap selamat kepada pejabat sementara presiden baru Mesir dan menyatakan perlantikan Adli Mansour sebagai Presiden sementara Mesir berlaku dalam saat "kritis" sejarah bangsa Mesir.
"Atas nama rakyat Arab Saudi saya mengucapkan selamat kepada anda untuk mengambil alih kepemimpinan Mesir pada saat yang kritis dalam sejarahnya," kata Abdullah dalam ucapan pertama ucapan selamat oleh pemimpin Arab untuk Adli Mansour. Demikian diberitakan pejabat berita rasmi Saudi SPA.
"Kami meminta kepada Tuhan untuk membantu anda memikul tanggung jawab untuk mencapai harapan saudara-saudara kami di Mesir," kata penguasa Sunni di negara yang kaya minyak itu dalam pesanannya semalam.
Ia juga menyampaikan pujian kepada angkatan bersenjata Mesir dan pemimpinnya Abdul Fattah al-Sisi untuk menerapkan "kebijaksanaan" dalam membantu menyelesaikan krisis dan menghindari "kesan-kesan yang tak dapat diramalkan".
Monday, July 1, 2013
TIGA BADUT DI KUALA BESUT ! LAYAK DIBALING KASUT
Tak serik-serik penipuan yang dilakukan SPR untuk menutup kegagalan sistem dakwat kekal, rakyat terus diperbodohkan lagi dengan cadangan penggunaan dakwat kekal dalam pilihanraya kecil N1 Kuala Besut di Negeri Terengganu Darul Iman.
Logik akal ialah penggunaan sistem dakwat kekal ialah untuk memastikan setiap pengundi dicalit dakwat tersebut sebagai tanda sudah mengundi, dan ia melibatkan semua pengundi pada pilihanraya umum. Dakwat seharusnya kekal selama 7 hari memandangkan hampir 300 ribu pengundi awal dan pengundi pos membuang undi mereka 5 hari sebelum hari mengundi. Maka jika sistem ini berjalan baik, mereka yang sudah mengundi samada pengundi awal atau pengundi biasa, tidak boleh mengundi kali kedua kerana dakwat masih dijari. Ini konsepnya.
Tetapi apa yang berlaku pada 5 Mei lalu ialah ratusan ribu pengundi awal telah terdedah untuk mengundi lebih dari sekali malah pengundi yang membuang undi 5 Mei juga boleh berbuat demikian kerana didapati dakwat kekal itu sebenarnya pewarna tiruan sahaja, tidak mampu kekal walau 5 minit merujuk kepada banyak kes dan laporan polis. Integriti pilihanraya hancur dan undang-undang PRU-13 dicemari dengan teruk sekali.
Kini setelah SPR hilang sepenuhnya kepercayaan rakyat dan didesak oleh majoriti rakyat supaya berundur, SPR yang sama telah cuba untuk perbodoh rakyat dengan cadangan sistem dakwat kekal di PRK K.Besut. Mana mungkin sebuah pilihanraya kecil mengamalkan sistem dakwat kekal melainkan pengundi di seluruh negara selain pengundi DUN K.Besut ditandakan dakwat kekal terlebih dahulu sehari sebelum hari pengundian N1 K.Besut.
Dengan kata lain, menandakan dakwat kekal kepada hanya sekelompok pengundi di DUN Kuala Besut sedangkan berbelas juta pengundi tempat lain bebas untuk masuk dan menyamar sebagai pengundi. Dakwat kekal untuk pilihan raya kecil adalah sangat tidak relevan lebih merbahaya!
Subscribe to:
Posts (Atom)