Sahabat Intim Blog Ini

Wednesday, April 29, 2009

PAC Dapati Wujud Penyelewengan Terhadap Tanah Milik Negeri

HULU SELANGOR, 23 April - Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam (PAC) Negeri Selangor hari ini mendakwa wujudnya penyelewengan oleh pengurusan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) terdahulu terhadap tanah milikan kerajaan negeri seperti yang berlaku di Hutan Simpan Rantau Panjang (Batu Arang).
PAC Selangor menerusi pengerusinya, Lee Kim Sin berkata penyelewengan jelas berlaku apabila tanah yang diberikan kepada pihak swasta untuk diusahakan tidak mendatangkan keuntungan malah merugikan kerajaan negeri.
Katanya, mengikut laporan yang diterima pihaknya mendapati masalah utama berkaitan tanah milik kerajaan negeri itu disebabkan kadar pajakannya yang terlalu rendah.
“Bayangkan untuk tempoh satu hingga enam tahun, kadar pajakan hanya RM10 (setahun) untuk satu hektar,” katanya jumlah itu hanya akan dinaikkan menjadi RM13 selepas tempoh enam tahun.
Menurutnya, hasil kutipan dari tanah yang dipajak itu juga tidak mencecah RM1 juta dan merugikan kerana membabitkan keluasan tanah yang besar.
“Keputusan yang dibuat pihak PKPS semasa dipimpin oleh bekas Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Mohamad Khir Toyo jelas tidak memikirkan tentang kepentingan negeri,” katanya.
Adun kawasan Kajang ini berkata kepada pemberita semasa membuat lawatan ke Hutan Simpan Rantau Panjang, di sini petang tadi.
Turut bersama dalam lawatan itu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sekinchan, Ng Suee Lim, Adun Damansara Utama, Dr Cheah Wing Yin, Adun Sijangkang, Dr. Ahmad Yunus Hairi, Pengurus Besar PKPS Bahagian Perkhidmatan Korporat, Nordin Darhan dan Timbalan Pengurus Besar PKPS, Bahagian Pembangunan Perniagaan, Aqmal Azam Ahmad.
Beliau bersama anggota PAC yang lain turut melahirkan rasa kesal apabila pembangunan hutan simpan ketika di bawah pimpinan PKPS terdahulu tidak dilaksanakan dengan baik malah katanya ianya tidak diselaras dengan dasar yang diwartakan.
Ditanya mengenai tindakan yang akan diambil PAC selepas ini, beliau berkata pihaknya akan meminta laporan yang terperinci lagi.
“Sekiranya tindakan undang-undang perlu kita akan arahkan pihak perundangan negeri untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap mereka yang bertanggungjawab,” katanya.
Sementara itu, Suee Lim yang ditanya berhubung projek penghutanan semula di negeri ini berkata barisan pimpinan PAC yang ada sekarang ini akan terus memantau kerja-kerja penambahbaikan hutan simpan.
“Saya berharap usaha ini akan berjaya mendatangkan keuntungan kepada kerajaan negeri dan juga rakyat kerana banyak tanah-tanah PKPS di negeri ini yang terbengkalai dan diabaikan,” katanya yang bersetuju jika ada usahasama dilakukan tapi masing-masing mendapat keuntungan dari kerjasama itu. - MURIZA ABDUL HAMID

Monday, April 27, 2009

PERLUKAH KITA TAHU SIAPA LANUN DI SOMALIA?

KETIKA dunia tertumpu kepada pergolakan di Iraq, Afghanistan dan Sri Lanka, ada satu lagi peperangan yang seakan-akan tiada pasang surutnya - ancaman lanun di perairan Somalia.Lanun ganas ini terbukti jauh berbeza daripada gambaran filem 'The Pirates of the Caribbean’ yang masih segar dalam ingatan ramai. Jika dalam filem itu, karektor lanun comot dan senjatanya sekadar meriam dan pistol, lanun sebenar di Somalia bukan calang-calang. Biarpun tanpa kapal mewah atau pakaian seragam khas, mereka sebaliknya sarat dengan kelengkapan persenjataan serba canggih, termasuk Sistem Kedudukan Global (GPS).Tidak hairanlah, kapal yang menggunakan laluan Teluk Aden sepanjang 3,300 kilometer yang disifatkan perairan paling bahaya di dunia, dengan mudah ditawan lanun moden ini.Serangan mereka pula semakin menjadi-jadi dan sejak 1 Mac lalu saja, sebanyak 25 serangan dicatatkan, termasuk tujuh kapal dirampas. Malah, sebanyak 293 serangan lanun dilaporkan di seluruh dunia sejak 2008, tetapi kejadian di sekitar Teluk Aden itu menyaksikan peningkatan hampir 200 peratus berbanding 2007.Sebut apa saja, kapal dagang dan kapal layar membawa muatan daripada kelengkapan tentera, minyak mentah, bijirin dan hasil bumi lain, semuanya sudah ditawan lanun kulit hitam ini. Ancamannya sebegitu serius sehinggakan tiada siapa pun pernah menyangka pada tahun ini, masyarakat antarabangsa boleh mengisytiharkan peperangan ke atas lanun. Berikutan itu, barisan armada tentera laut Britain yang dibantu tentera lebih 12 negara, termasuk Amerika Syarikat dan China, diberi tugas menangani barisan lanun moden ini.Saban hari kita dipaparkan dengan kekejaman mereka, tetapi tidak ramai yang tahu kisah duka di sebalik kemunculan lanun ini. Jika diimbas, zaman ‘keemasan’ lanun itu sekitar 1650 hingga 1730. Namun, tidak ramai yang tahu, idea memaparkan lanun sebagai kelompok kejam adalah sebahagian propaganda kerajaan Britain. Ketika itu, ramai penduduk yang maklum, lanun itu sebaliknya menjadi mangsa kekejaman dan penindasan pemilik kapal dagang seperti dinyatakan pakar sejarah Barat, Marcus Rediker dalam bukunya ‘Villains of All Nations.’Di Somalia, cerita itu juga tidak bezanya. Dunia menggelarkan mereka lanun, tetapi penduduk tempatan melihat mereka sebagai wira mempertahankan tanah air dan keadaan ini ketara pada 1991 selepas kejatuhan kerajaan dipilih rakyat. Lebih malang, selain keadaan politik tidak stabil, kira-kira sembilan juta penduduknya dihimpit kesengsaraan, termasuk kelaparan.Negara Barat yang sepatutnya membantu, sebaliknya menjadikan penderitaan mereka sebagai peluang merompak hasil negara itu daripada bekalan makanan dan sumber lautan sehinggalah menghumbankan sisa nuklear di perairan negara itu.Satu demi satu kapal Eropah yang tidak dikenali, mulai muncul di kawasan perairan itu dan membuang bertong-tong sisa nuklear ke dalam laut. Berikutan itu, penduduknya jatuh sakit dan mengalami ruam, loya serta kecacatan bayi.Buktinya ketara selepas kejadian tsunami 2005 apabila beratus-ratus tong sisa itu terdampar di pantai dengan lebih 300 orang mati akibat radiasi.Ini diakui sendiri Wakil Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke Somalia, Ahmedou Ould-Abdallah, yang dipetik media antarabangsa, baru-baru ini.“Ada pihak yang sengaja membuang sisa nuklear, plumbum serta logam berat seperti raksa. Sebahagian besarnya sisanya dari hospital serta kilang di Eropah. Tugas pembuangan itu diserahkan kepada sindiket mafia Itali yang mengenakan bayaran khidmat murah dan bertindak rakus membuang sisa itu dengan cara mudah.”Apabila ditanya apakah reaksi kerajaan Eropah, Ahmedou berkata: “Tiada apa. Tiada pembersihan, tiada wang ganti rugi atau sebarang langkah mengelak perkara itu berulang lagi.”Kapal Eropah ini turut merompak hasil utama penduduk Somalia iaitu hasil laut mereka. Selepas perairan sekitar benua Eropah kekeringan hasil tangkapan laut, mereka beralih ke perairan Afrika itu untuk merompak hasil ikan tuna, udang dan udang karah yang bernilai lebih RM1 bilion.Ini menyebabkan nelayan tempatan merana, hilang punca rezeki serta kelaparan. Mereka bertindak mengusir kapal dagang yang membuang sisa nuklear atau sekurang-kurangnya mengenakan ‘cukai’ ke atas mereka. Peranan ini dipikul kumpulan yang dikenali sebagai ‘Sukarelawan Pengawal Pantai Somalia.’ Malah, hasil tinjauan media bebas Somalia, WardheerNews, mendapati 70 peratus penduduk menyokong kumpulan itu yang menyifatkan kegiatan lanun itu sebagai antara cara mempertahankan tanah air.Ini diakui sendiri seorang ketua lanun, Sugule Ali yang menegaskan mereka bukanlah perompak atau lanun.“Lanun sebenar adalah mereka yang datang merampas punca pendapatan kami serta membuang sisa nuklear di sini.”Sukar sebenarnya bagi kita untuk menelah naluri insan dilabelkan sebagai lanun oleh media Barat, sebaliknya dianggap wira oleh rakyat tempatan, apa lagi selepas saban hari dipaparkan dengan jenayah dilakukan mereka ini.Apa yang pasti, seperti juga di kebanyakan negara lain yang bergolak, konflik dan ancaman yang berlaku itu hasil ‘cop jari’ kuasa Barat. Kini dengan kehadiran armada tentera laut negara asing di Somalia, ramai yang menunggu nasib kelompok lanun itu selepas ini biarpun hakikatnya ia tidak mungkin menamatkan terus ancaman mereka.Info: Lanun di Somalia• Somalia terbabit dalam perang saudara sejak 1991• Kebanyakan lanun itu dikatakan berusia antara 20 hingga 35 tahun• Tiga kumpulan iaitu:o Bekas nelayan - perancang utama kerana mahir selok belok perairan sekitaro Bekas anggota militia - tenaga penting kerana pengalaman memerangi kumpulan panglima perango Pakar teknikal - mahir soal komputer dan tahu mengendalikan peralatan teknologi serba canggih seperti telefon satelit dan persenjataan• Sebahagian besar kapal ditawan di laluan perkapalan Teluk Aden yang terletak di antara Yemen (utara), Somalia (di selatan) dan di timur Laut Arab.• Laluan itu sepanjang 3,300 kilometer yang juga kawasan laut paling bahaya di dunia• Kira-kira 20,000 kapal melalui Teluk ini untuk ke dan kembali dari Terusan Suez• Membawa barangan seperti berjuta-juta tan minyak mentah, bijirin dan arang batu• Purata wang tebusan kira-kira AS$2 juta (RM7.24 juta)• 25 serangan ke atas kapal, tujuh dirampas sejak 1 Mac lalu• 293 serangan lanun di seluruh dunia sejak 2008 dan kejadian di Teluk Aden meningkat hampir 200 peratus berbanding 2007Sumber : Utusan Malaysia , 21/04/09Siapakah lanun yang sebenarnya?Berita di atas adalah gambaran yang jauh berbeza daripada yang dihidangkan oleh media Barat yang tidak henti-henti melontarkan propaganda menyerang kelompok lanun di Somalia. Seharusnya, setiap pembaca yang meneliti media massa yang dikuasai oleh pihak kafir perlu menilai mengapa fenomena lanun ini muncul di Somalia dan mengapa mereka merampas kapal yang lalu lalang di perairan mereka.Somalia adalah salah satu negara yang dilanda perang saudara sejak awal tahun 1990an dan tidak mempunyai kerajaan yang rasmi. Oleh itu, Somalia juga tidak mempunyai askar, polis, angkatan laut, kastam dan lain-lain badan berkuasa mereka sendiri. Oleh kerana Somalia tidak mempunyai badan-badan berkuasa mereka sendiri, ini telah memudahkan kapal-kapal pihak asing seperti Eropah dan Amerika untuk melakukan jenayah di perairan Somalia. Antaranya membuang sisa radioaktif dan beracun dan juga menangkap ikan di kawasan perairan Somalia, sedangkan sumber kekayaan tersebut adalah milik rakyat Somalia. Oleh itu, berdasarkan laporan di atas, kemunculan lanun yang merampas kapal-kapal dagang yang melalui perairan Somalia dianggap sebagai suatu yang sah oleh rakyat negara tersebut.Sekiranya mereka dihukum sebagai lanun di lautan, maka dunia mestilah juga menghukum kapal-kapal Eropah dan Amerika Syarikat sebagai lanun yang lebih besar lagi kerana merampas kekayaan hasil laut Somalia dan membuang sisa dan bahan lupus yang merbahaya di perairan Somalia dan menimbulkan masalah kesihatan bagi penduduk Somalia.Perlu diingat bahawa Somalia telah lama menjadi mangsa perkotak-katikan kuasa-kuasa besar dunia disebabkan oleh kedudukannya yang strategik di Laut Merah dan merupakan pintu masuk Terusan Suez. Somalia pernah dicerobohi askar Amerika Syarikat pada awal tahun 1990an seperti yang digambarkan oleh filem Hollywood ‘Black Hawk Down’. Namun begitu, askar AS kemudiannya dihalau keluar oleh militia Somalia. Baru-baru ini pula, tentera Ethiopia menceroboh masuk ke Somalia dengan sokongan Amerika Syarikat untuk menyingkirkan kerajaan di sana.Penceroboh ini masuk ke Somalia, membunuh manusia yang tidak bersenjata dan mengebom masjid tanpa provokasi, namun, tidak pula dilihat sebagai suatu yang salah di mata dunia.Selama mana media dunia masih dikawal oleh kafir Barat, selama itulah penyimpangan politik akan terus berlaku dan selama itulah juga umat manusia umumnya dan umat Islam khususnya akan terus ditipu dan diperdaya

Wednesday, April 15, 2009

Wajib Berdakwah Walau Diri Belum Sempurna!

Ramai orang mengetahui bahawa tugas berdakwah adalah wajib ke atas setiap individu. Walau bagaimanapun,
masih ramai yang tidak mahu melibatkan diri dalam kerja-kerja dakwah disebabkan oleh beberapa kekeliruan.
Antara kekeliruan yang sering timbul adalah menanti kesempurnaan diri sebelum memulakan dakwah. Hal ini
menyebabkan sebahagian daripada umat Islam tidak mahu mengajak kepada makruf dan mencegah kemungkaran
kerana merasakan amalannya belum cukup mantap dan dirinya masih diselimuti dengan banyak kelemahan.

Berhubung dengan isu ini, Imam Said bin Jubair berkata: “Jika seseorang tidak mahu mengajak kepada yang
makruf dan mencegah kemungkaran sehingga keadaan dirinya sempurna, maka tidak akan ada seorang pun
yang akan mengajak kepada yang makruf dan mencegah kemungkaran.” Imam Malik amat bersetuju dengan
kenyataan Imam Said bin Jubair ini dan sebagai tanda sokongannya, beliau menambah: “Dan siapakah antara
kita yang lengkap dan sempurna?”

Sebahagian umat Islam tidak mahu berdakwah kerana merasakan dirinya belum mengamalkan segala ilmu yang
sudah diketahui. Mereka juga khuatir tidak dapat melaksanakan perkara yang diseru. Berhubung dengan ini, Imam
al-Hasan berkata: “Siapakah antara kita yang telah melaksanakan segala yang diserukan? Syaitan amat menyukai
jika manusia terpedaya dengan sikap ini sehingga akhirnya tidak ada sesiapa pun yang mahu mengajak kepada
yang makruf dan mencegah kemungkaran.”

Secara dasar,kewajipan berdakwah dituntut ke atas setiap individu yang mukalaf dan berdaya. Syarat berdaya atau
mampu perlu difahami dengan betul. Hakikatnya, Islam mengakui tahap kemampuan setiap individu adalah berbeza.
Justeru Nabi bersabda: “Barangsiapa antara kamu yang melihat kemungkaran hendaklah dicegah dengan tangannya.
Jika tidak berdaya hendaklah dicegah dengan kata-katanya dan jika tidak berdaya hendaklah dicegah dengan hatinya
dan mencegah dengan hati adalah tanda selemah-lemah iman.” Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Muslim.

Berhubung dengan mencegah kemungkaran, kadar minimum yang dituntut adalah mengingkarinya dengan hati. Di
dalam kitab Dalil al-Falihin disebutkan: “Mencegah kemungkaran dalam hati bermaksud membencinya dengan hati
disertai dengan azam untuk mencegahnya dengan lisan ataupun perbuatan apabila dia mampu. Membenci maksiat
dengan hati hukumnya adalah wajib ke atas setiap individu dan sesiapa yang menyetujui suatu kemungkaran bererti
dia bersekongkol dengannya.”

Iman memerlukan bukti dan salah satu buktinya adalah membenci maksiat. Tanpanya, iman akan berkecai dalam
hati seseorang. Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan sabda Nabi berhubung dengan perkara ini yang bermaksud:
“(Jika hati seseorang tidak membenci kemungkaran), tidak ada selepas itu iman walaupun sebesar biji sawi.”

Hati yang tidak membenci kemungkaran akan binasa. Sahabat nabi bernama Abdullah ibn Masud pernah menegaskan:
“Binasalah mereka yang tidak dapat membezakan yang makruf dan mungkar dengan hatinya.”

Secara dasar, pengabaian dalam melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar mengundang azab dan seksaan daripada
Allah. Berhubung dengan ini, dalam surah al-Anfal ayat 25 Allah berfirman: “Dan peliharalah dirimu daripada seksaan yang
tidak khusus menimpa ke atas mereka yang zalim dari kalangan kamu sahaja. Dan ketahuilah Allah maha keras seksaannya.
”Ayat ini menjelaskan, apabila azab menimpa disebabkan kemungkaran yang berleluasa, ia tidak hanya menimpa ke atas
mereka yang melakukan maksiat, ia juga menimpa ke atas mereka yang soleh yang mengabaikan dakwah.

Ayat ini disokong oleh beberapa hadis Nabi yang antaranya diriwayatkan oleh Imam Muslim yang bermaksud: “Zainab binti
Jahsy bertanya kepada Nabi, “adakah kita akan dimusnahkan sedangkan golongan yang soleh masih ada dikalangan kita?”
Nabi menjawab, “Ya.. apabila kekejian berleluasa.”

Dalam riwayat lain oleh Imam Tarmizi, Nabi bersabda: “Apabila manusia melihat kezaliman dilakukan oleh seseorang yang
zalim dan mereka tidak mencegahnya, tidak berapa lama lagi azab daripada Allah akan menimpa ke atas mereka semua.”

Imam Bukhari pula meriwayatkan sabda Nabi yang bermaksud: “Perumpamaan mereka yang memelihara batas-batas agama
Allah dengan golongan yang melanggarnya adalah seperti sebuah kapa yang dipenuhi penumpang pada bahagian atas dan
bawahnya. Golongan yang berada dibahagian bawah, apabila ingin mengambil air terpaksa menaiki bahagian atas kapal bagi
mendapatkannya. Akhirnya penumpang bahagian bawah berkata, ‘alangkah baiknya jika kita tebuk saja lantai kapal ini untuk
mendapatkan air dan dengan cara demikian kita tidak lagi menyusahkan rakan-rakan kita pada bahagian atas.’ Jika penumpang-
penumpang pada bahagian atas tidak mencegah perbuatan rakan-rakan mereka di bawah, mereka semua akan tenggelam.
Jika mereka mencegah, kesemua mereka akan selamat.”

Monday, April 13, 2009

HATI-HATI PENIPU BESAR ADA DI BUKIT BERUNTUNG!


Lima lelaki ditipu penjaga stor kereta



BUKIT BERUNTUNG – Bukan sahaja kempunan memiliki kereta idaman, malah wang deposit berjumlah melebihi RM22,000 lesap sekelip mata. Itulah malang menimpa lima lelaki yang tertipu dengan kata-kata dan tawaran istimewa oleh seorang pemuda berumur 30-an yang hanya bergelar penjaga stor kereta terpakai milik sebuah bank. Mangsa, Mohd Medor Abdul Kadir, 33, berkata, dia tidak menyangka pertemuan yang bermula di kedai makan di Jalan Inai, di sini bersama pemuda terbabit rupanya berakhir dengan kerugian. Menurutnya, suspek bijak menggunakan peluang meyakinkan dirinya dengan membuat tawaran istimewa bagi menjual kereta yang ditarik bank itu daripada pelanggannya. “Pemuda itu menawarkan pelbagai jenis kenderaan keluaran tempatan dan import dengan harga murah.

@buletinrakyat: berhati-hatilah bila berurusan di Bukit Beruntung nie.. nama aje beruntung tetapi ramai penduduknya tidak ada pekerjaan dan sentiasa mencari peluang untuk membuat pendapatan.. sampaikan semalam ada aduan ke pihak polis mengenai kejadian samun wargaemas oleh pendatang asing (indonesia) yang menyebabkan kehilangan wang/barang kemas lebih RM60,000... Diharap pihak berkuasa tempatan membuat kajian tentang keadaan sosio-ekonomi penduduk disekitar Bukit Beruntung dan Bukit Sentosa ini, dimana majoritinya adalah penduduk di kumpulan pertengahan dan rendah pendapatannya, memungkinkan banyak masalah setempat seperti penganguran, jenayah dan penyakit masyarakt lain. Dimana ahli majlis yang dilantik, adakah mereka semua menjalankan tanggongjawab masing2? Rakyat sedang menunggu selepas setahun pentadbiran kerajaan baru ini.

Sunday, April 12, 2009

SKANDAL BALKIS TERBONGKAR !

Saya ingin menarik perhatian semua mengenai kenyataan ataupun tuduhan Khir Toyo bahawa Pakatan Rakyat yang menyebabkan beliau kalah...anda rasa orang boleh percaya ke, boleh terima ke tuduhan ini.
Berapa kerat sangat lah perwakilan UMNO yang dapat mengikuti Sidang Pendengaran ini, apatah lagi ianya lansung tidak mendapat tempat di media arus perdana.
Khir toyo juga dengan sombong dan angkuhnya mengatakan bahawa beliau tidak bersalah....laporan dari Malaysiakini: "Bagaimanapun, bekas menteri besar Selangor itu bertegas bahawa beliau tidak bersalah kerana siasatan pihak polis mendapati beliau dan pertubuhan tersebut, tidak melakukan sebarang kesalahan.
Bekas presiden Balkis, Datin Seri Zaharah Kechik, yang juga isteri Dr Mohd Khir, dilaporkan telah mengadakan mesyuarat tergempar pada 11 Mac tahun lalu untuk membubarkan pertubuhan itu dan menutup akaunnya sehari kemudiannya.
Siasatan awam kemudiannya diadakan untuk menyiasat perkara itu tetapi Dr Mohd Khir hari ini berkata, adalah tidak masuk akal bagi kerajaan Selangor mengadakan siasatan tersebut, sedangkan tiada seorang daripada mereka merupakan 'penyiasat terlatih'."Mereka hanya membazirkan masa. Mereka tidak menumpukan perhatian untuk mentadbir negeri itu, walaupun sudah setahun mereka mengambil alih pentadbirannya," tambahnya."
Memang sungguh melucukan kenyataan Khir Toyo ini...pelik betul orang ni, dia benar-benar rasa dia tak bersalah...atau mungkin dia memang merasakan apa yang dia dan isterinya lakukan selama ini dengan memerah duit syarikat kerajaan negeri untuk melancong, membeli barangan dan menerima cenderahati yang mahal sebagai bukan satu kesalahan...begitulah rasanya...cuba baca entry saya yang lepas-lepas mengenai semua kenyataan yang dicakapkan oleh semua saksi yang terlibat dalam Pendengaran Awam ini.Pada hari ini iaitu hari ke 5 sesi pendengaran awam , Pengarah, Jabatan Pendaftaran Negeri Selangor En Yunus Jamil telah dipanggil menjadi saksi untuk isu pembubaran BALKIS.Untuk kita lebih menghayati kes ini sukalah saya memaklumkan bahawa BALKIS telah ditubuhkan pada tahun 1984 bermakna telah 24 tahun pertubuhan BALKIS ini telah wujud di Selangor. Fakta ini dimaklumkan oleh En Yunus setelah ditanya oleh JK SELCAT.
Isu yang dibangkitkan tadi ialah apakah pembubaran BALKIS pada 11/3/08 itu adalah sah dengan mengambil kira beberapa syarat yang perlu dipatuhi oleh Pertubuhan BALKIS menurut perlembagaan dan mematuhi undang-undang Akta Pertubuhan 1966.
Menurut En Yunus sebelum sesuatu permohonan pembubaran diterima ada beberapa proses yang perlu diteliti dan disemak dengan tepat oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Negeri (JPPN). Dokumen yang perlu ada dan perlu disemak ialah, Minit Mesyuarat, Salinan Senarai Ahli, Penyata Akaun Terakhir, Penyata dan Laporan yang diaudit. Sekiranya semua lengkap maka barulah permohonan boleh diluluskan. Soalan yang ditanya kepada En Yunus ialah:
1. Adakah beliau lihat dan semak bahawa laporan kewangan diaudit atau tidak. Ini kerana menurut fakta bersumpah yang dikatakan oleh Juruaudit Balkis ialah mereka tidak pernah menerima apa-apa laporan kewangan dari BALKIS untuk diaudit walaupun telah meminta BALKIS melakukan demikian.
Jawapan dari En Yunus ialah beliau tidak meneliti samada laporan yang diterima diaudit atau tidak, alasan yang diberikan ialah beliau menerima segalanya 'in good faith', bermaksud meletakkan kepercayaan yang penuh kepada ahli-ahli BALKIS yang menghantar laporan tersebut.
Setelah ditanya berkali-kali dengan berbagai bentuk soalan oleh JK SELCAT En Yunus akhirnya berkata bahawa "Saya telah terlepas pandang".....yakni beliau tidak melihat dan tidak menyemak samada laporan Kewangan BALKIS adalah lengkap dan telah diaudit.
Apa yang berlaku walaupun dokumen untuk permohonan BALKIS bagi membubarkan Pertubuhan mereka tidak lengkap dan tidak sah, Pengarah Pendaftar Negeri masih tetap menghantar permohonan tersebut ke Pejabat Pendaftaran di Putrajaya dan menulis bahawa "saya sokong untuk diluluskan" tanpa mengambil kira bahawa segala dokumen tidak lengkap dan tidak sah...bak kata JK Selcat..'membuta tuli'
Maka di sini YB Saari bertanya "mana yang lebih tinggi, hierarki good faith berbanding akta dan perlembagaan"...terdiam tuan pengarah...
Soalan dari YB Edward Lee Poh Lin pula "Memandangkan proses pembubaran tidak teratur dan ada masalah apakah tindakan yang boleh diambil oleh En Yunus?"
Sebelum sempat En Yunus menjawab YB Teng secara berseloroh mengatakan bahawa "soalan itu tidak adil kerana En Yunus baru tahu hari ini"...merujuk kepada kemungkinan pembubaran Balkis adalah tidak sah.
Jawapan dari En Yunus ialah selagi ahli dah luluskan maka ianya boleh diterima.
Soalan seterusnya ialah "jika persatuan tidak teratur dan tidak ikut peraturan apakah tindakan yang boleh diambil."
Mulanya En Yunus hanya menjawab bahawa beliau hanyalah pentadbir dan bukan yang membuat keputusan, yang membuat keputusan ialah di peringkat ibupejabat.
Soalan lain dari JK SELCAT ialah " Pada April 2008 JPPN Selangor hantar surat ke Putrajaya menyokong permohonan dengan alasan semua dokumen teratur dan diterima, negeri ada kuasa untuk menyatakan sokongan, hari ini pula kata Pengarah telah terlepas pandang dan dokumen pembubabaran tidak diaudit. Tidak apakah tindakan JPPN kini bila dah tahu salah?"
En Yunus juga cuba mempertahankan dirinya dengan mengatakan bahawa semakan dokumen bukan sahaja dilakukan olehnya tetapi juga disemak di pihak yang lain.
En Yunus juga disoal "adakah beliau sedar atau tidak pada 8/3/08 telah berlaku peralihan kuasa?"...beliau menjawap ya.
Seterusnya lagi beliau ditanya " apakah ada kaitan pembubaran BALKIS dengan peralihan kuasa dari BN ke PR"...beliau menggeleng.
Beliau juga menafikan yang wujud layanan istimewa terhadap BALKIS berbanding dengan pertubuhan lainnya.
En Yunus juga cuba mengelak dari menjawab dengan menyatakan tidak faham soalan YB Haniza Talha dan mengatakan soalannya berbelit-belit dan mengelirukan....ini membuat ramai yang hadir tertawa dengan jawapan yang kurang bijak tersebut kerana kami semua yang hadir dapat memahaminya dengan mudah...jawab saja ya atau tidak.
Soalan YB Haniza berbunyi: " Apakah ada sebarang perbincangan di antara Negeri dan Pusat bagaimana hendak menangani Pembubaran dan Pengecualian untuk BALKIS?...ini susulan dari surat yang dihantar oleh JPP Pusat untuk memberikan pengecualian kepada BALKIS bagi proses pembubaran BALKIS.Isu lain yang diambil kira ialah mengenai taraf ahli BALKIS pada ketika itu yang suami-suami mereka sudah tidak lagi menjadi ADUN, Ahli Parlimen atau Menteri dan apakah secara automatik seseorang yang memenui syarat keahlian boleh menjadi ahli.
Akhir sekali fakta yang paling jelas pelik ialah tarikh Mesyuarat Agong Khas yang diadakan pada 11/3/08. Sedangkan mengikut peraturan dan undang-undang Akta Pertubuhan 1966 ialah notis mesti diedarkan kepada ahli sekurangya 14 hari sebelum tarikh yang telah ditetapkan untuk bermesyuarat.
Mesyuarat mestilah diadakan pada satu tarikh dalam tempoh sebulan daripada tarikh permintaan mesyuarat tersebut.
Namun dalam kes Balkis mesyuarat telah diadakan pada 11/3/08, iaitu 3 hari selepas tumbangnya kerajaan negeri yang diketuai oleh Khir Toyo dan Barisan Nasional...apakah mungkin mereka telah mendapat inspirasi yang mereka akan kalah dan telah menghantar notis mesyuarat agong khas even sebelum PRU dijalankan????
Pelik bukan.....sungguh tergesa-gesa dan tak cukup tempoh yang ditetapkan oleh undang-undang Akta Pertubuhan.
Akhirnya Pengarah mendedahkan bahawa ketika pembubaran yang tidak sah itu dilakukan jumlah wang dalam akaun semasa BALKIS ialah RM 9,916,140.84 sen. Semuanya telah dipindahkan ke akaun BAKTI pula.
Sidang Pendengaran Awam ditangguh pada jam 11.40tgh dan akan disambung pada hari Isnin jam 10 pagi. Saksi yang sepatutnya datang pada sebelah pagi tadi ialah Puan Sri Hasbi, tapi beliau mohon untuk ditangguhkan ke tarikh lain.Jumpa lagi di hari yang lain.