Sahabat Intim Blog Ini

Tuesday, September 28, 2010

ORANG HILANG , LAPORAN POLIS HILANG ?

KUALA LUMPUR 29 SEPT : Polis tidak menerima laporan berhubung kehilangan usahawan India, Allal Kanthan Muthuraja sebaliknya hanya menerima laporan berkaitan penipuan yang didakwa dilakukan oanggota polis Bukit Aman bagi "membebaskan" usahawan dari Chennai itu 29 Mac lepas.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Hussin Ismail menolak dakwaan keluarga mangsa kononnya polis tidak bertindak sewajarnya untuk menyiasat kehilangan usahawan berusia 34 tahun itu sejak awal tahun ini.

"Kita sahkan ada terima laporan pada 29 Mac lepas di Balai Polis Klang oleh abang mangsa, Dr Kasi Viswanathan, berhubung penipuan yang didakwa dilakukan oleh "Polis Bukit Aman" yang meminta sejumlah bayaran bagi membebaskan usahawan India itu. Jadi pada masa itu kita siasat kes tersebut di bawah penipuan.

"Polis kemudian bertindak dan menyiasat kes tersebut sebagai orang hilang apabila satu laporan dibuat oleh isterinya, Usharani pada 8 Sept lepas," katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman di sini hari ini.

Beliau berkata walaupun pada awalnya kes itu disiasat bagi kes penipuan,
namun pada masa yang sama polis telah berusaha untuk menjejaki usahawan itu.

"Pegawai penyiasat telahpun cuba mengesan Muthuraja, namun tidak berhasil, sehinggalah pada 8 Sept lepas, apabila satu laporan dibuat tentang kehilangan Muthuraja, barulah kita siasat lebih mendalam lagi dengan kaitannya dengan siasatan kes jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya serta tiga individu lain," katanya.

Beliau meminta ahli keluarga Muthuraja agar memberi ruang kepada polis menjalankan siasatan kes itu secara terperinci dan meminta mereka mendapatkan sumber yang sahih untuk mengetahui sebarang perkembangan terkini terhadap siasatan itu.

"Untuk mengelakkan daripada mendapat maklumat daripada individu-individu atau mana-mana pihak yang tiada kaitan dengan kes ini, kita telah melantik pegawai penghubung untuk menyalurkan sebarang maklumat kepada keluarga mangsa," katanya.

Hussin berkata ekoran laporan kehilangan usahawan itu, polis telah menahan dua lelaki tempatan secara berasingan iaitu di Taman Wilayah, Selayang dan Kampung Laksamana, Batu Caves sejak 10 hari lepas.

Ketika diminta mengulas tempoh tahanan reman lima suspek kes pembunuhan Sosilawati yang tamat Jumaat ini, Hussin berkata polis belum membuat sebarang keputusan sama ada menyambung reman atau tidak kelima-lima suspek terbabit.

(Bernama)

Monday, September 27, 2010

PROJEK PPR KANTOI , ADUN KUNAK TUDING SPNB

KEGAGALAN Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) menyiapkan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Kunak yang belum siap meskipun pembinaannya sudah dimulakan sebelum pilihan raya umum 2008, menyebabkan Adun Kunak, Datuk Nilwan Kabang menuding jari kepada SPNB kerana ‘Buta Pentadbiran’.

Ketua AMK PKR Kunak, Citra Masadi dalam kenyataannya melalui SMS dan telefon membidas Nilwan yang tidak tahu pentadbiran kerajaan dan akhirnya melemparkan batu kepada SPNB namun tidak sempat menyembunyikan tangan ketika menjolok sarang tebuan!.

“Sebagai Wakil Rakyat, beliau harus tahu setiap projek pembangunan yang bakal, sedang dan akan dilaksanakan di Kunak dengan meminta semua pihak yang terlibat memberikan data dan taklimat atau turun padang meninjau masalah yang mendapat keluhan rakyat,” kata Citra yang menyifatkan kenyataan Nilwan di Rumah Terbuka Aidil Fitri di Dewan Masyarakat Kunak sebagai ‘YB Hilang Akal’.

Citra membidas kenyataan terbuka Nilwan yang menyebut bahawa beliau sudah berbincang dengan Pegawai Daerah Kunak supaya surat amaran dihantar kepada pemaju yang dilantik Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) yang gagal menyiapkan projek penting berkenaan dalam tempoh yang ditetapkan sehingga memberi imej tidak baik kepada kerajaan dan beliau sebagai wakil rakyat.

“Jika Nilwan tidak lagi mampu mentadbir urus semua projek di Kunak dan Pegawai Daerah tidak tahu siapa pengendali projek di Kunak, sebaiknya mereka meletakkan jawatan daripada makan gaji buta,” ujar Citra yang menegaskan bahawa pihaknya telah beberapa kali menimbulkan isu PPR pada pilihanraya umum 2008, namun malangnya Nilwan hanya berjanji kosong ketika itu.

Kata Citra, kini sudah jelas dan ketara bahawa Nilwan tidak tahu apa-apa dan bersikap melepaskan batuk ditangga kerana merasakan pilihanraya semakin hampir dan beliau tidak mampu menunaikan janji kepada rakyat.

Dalam pada itu, menurut laporan bernama Nilwan menyalahkan SPNB yang tidak memaklumkan kepada beliau berhubung projek PPR sehingga menyulitkan beliau menghadapi tohmahan rakyat.

"Ini menjadi permasalahan kepada kita kerana SPNB memberikan projek itu terus kepada syarikat pemaju tanpa memaklumkan kepada Pejabat Daerah. Saya tanya Pejabat Daerah, Pejabat Daerah tidak tahu. Saya tanya Jabatan Kerja Raya (JKR), JKR pun tidak tahu. Masalahnya, kalau kita nak memantau projek itu, kita nak rujuk kepada siapa?" kata Nilwan kepada Bernama.

Tuesday, September 21, 2010

JOM RUMAH TERBUKA PEMUDA PAS PUSAT DI KG SHAARI DI NEGERI JOHOR BAHRU


Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) akan menganjurkan Rumah Terbuka Eidul Fitri 1431 peringkat pusat yang mana kali ini akan diadakan di Markas PAS Kaw. Simpang Renggam, Kg. Shaari, Simpang Renggam Johor.
Semua pihak termasuk media dijemput hadir untuk memeriahkan suasana.

Apa-apa pertanyaan, hubungi:
Fadhil Osman
Pegawai Media, Dewan Pemuda PAS Pusat

Sunday, September 19, 2010

PERASAN TAK? UMNO JILAT LUDAHYA SENDIRI

Dulu bukan main, semua bantah. Semuanya tak betul. Cadangan agar 16 September dijadikan hari cuti bersempena Hari Malaysia ditentang pemimpin UMNO habis-habisan. Konon tidak sesuailah, muslihat untuk membeli ‘perasaan’ rakyat Sabah dan Sarawak lah, hipokritlah dan macam-macam lagi. Bila Najib isytiharkan 16 September sebagai cuti, semua senyap. Mungkin mulut penuh dengan ludah-ludah lama yang kini ditelan kembali. Kui Kui Kui ~!!


1- ARKIB UTUSAN: 02/09/2008 - Cuti 16 September tidak wajar dipolitikkan

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Noraini Ahmad ketika dihubungi berkata, cadangan pemberian cuti umum pada 16 September tidak sesuai kerana negara ini sudah pun mempunyai cuti kemerdekaan iaitu pada 31 Ogos. ”Lagi pun negara ini sudah mempunyai terlalu banyak cuti umum, bagi saya memadai dengan cuti 31 Ogos,” katanya. Jelas beliau, pemberian cuti umum yang terlalu banyak tidak elok untuk produktiviti pekerja dan ia sudah memadai dengan cuti umum yang sedia ada.


2- ARKIB: 04/09/2008 – Cuti 16 September hanya muslihat Anwar

KUALA LUMPUR 3 Sept. – Langkah Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menggembar-gemburkan bahawa tarikh 16 September wajar diisytiharkan sebagai cuti umum merupakan satu bentuk muslihat untuk membeli ‘perasaan’ rakyat Sabah dan Sarawak.

Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP), Datuk Liew Vui Keong berkata, Anwar cuba menarik perhatian masyarakat di kedua-dua negeri itu dengan sengaja menjadikan tarikh kemasukan Sabah dan Sarawak ke dalam Persekutuan sebagai agenda perjuangannya.

Beliau bagaimanapun yakin rakyat Sabah dan Sarawak matang untuk menilai perilaku Anwar yang disifatkannya sebagai semakin terdesak dalam usahanya menarik Ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menyertai pembangkang.


3-ARKIB: 03/09/2008 – Anwar ‘terlalu teruja’ tarikh 16 September (oleh lidah pengarang Utusan)

Apabila pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh berakhir pada 26 Ogos lalu dan disusuli dengan majlis angkat sumpah oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ahli Parlimen kawasan itu dua hari kemudian, ramai yang berpendapat maka redalah sedikit arena politik negara.

Mereka ingin melupakan seketika soal politik, tetapi malang sekali, ketika kita berada dalam bulan penuh keberkatan ini masih ada pemimpin politik yang terus berpolitik 24 jam.

Ini jelas apabila Anwar secara tiba-tiba mencadangkan supaya lima negeri yang kini dikuasai pembangkang menjadikan 16 September sebagai cuti umum – kononnya atas alasan, ia hari bersejarah memandangkan hari penubuhan Malaysia. Sebenarnya, Anwar dan 16 September tidak boleh dipisahkan.

Oleh itu sempena Ramadan, Anwar tidak mahu rakyat lupa tarikh tersebut, beliau mahu rakyat sentiasa ingat bahawa 16 September ada impian pembangkang yang harus dilunaskan. Anwar benar-benar teruja dengan 16 September, beliau sudah tidak sabar lagi untuk ke Putrajaya biar apa cara politik sekalipun


4 - ARKIB : 03/09/2008 – Shabery anggap Pas hipokrit

KUALA LUMPUR 2 Sept. – Kerajaan Pas Kelantan tidak seharusnya bersikap hipokrit apabila hendak menjadikan 16 September sebagai cuti umum, kata Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini menyatakan Kelantan setuju dengan cadangan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadikan 16 September iaitu tarikh ulang tahun penubuhan Malaysia sebagai cuti umum.

Ahmad Shabery berkata, adakah dengan sekadar mempertikaikan tarikh tersebut sebagai cuti umum, kesilapan masa lampau Pas Kelantan yang menentang usaha Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman dan pemimpin terdahulu dapat dilupakan begitu sahaja.

Katanya adakah orang seperti Tunku Abdul Rahman tidak cukup semangat Malaysianya hanya kerana tidak mengisytiharkan cuti pada masa tersebut.

Tuesday, September 7, 2010

SELANGOR TERUS MAKMUR, KERAJAAN & SWASTA BERSYUKUR

Bantuan Khas Aidilfitri RM1 Ribu
Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan memberi bantuan khas Aidilfitri kepada kakitangan anak syarikat milik kerajaan negeri termasuk semua anak syarikat di bawah tadbir urus Menteri Besar Diperbadankan (MBI).
Beliau berharap bantuan ini dapat meringankan beban kakitangan jentera kerajaan negeri, selain sebagai menghargai usaha membantu menyebar agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) sejak 2 tahun lepas.
Khalid menyampaikan berita gembira untuk segenap kakitangan MBI ketika menghadiri majlis berbuka puasa bersama media di Kelab Shah Alam.
Majlis yang dihadiri kira-kira 200 pengamal media termasuk media arus perdana, bertujuan menghargai jasa dan peranan mereka.
"Kita sudah cadangkan kepada semua anak syarikat dalam MBI untuk memberikan wang Hari Raya sekurang-kurangnya sebanyak RM500 setiap warga kerja dan untuk syarikat MBI kita telah bersetuju untuk memberikan wang, bukan bonus tapi wang hari raya sejumlah RM1,000 satu warga kerja" kata Khalid.
Sebelum ini, Abdul Khalid mengumumkan semua kakitangan kerajaan negeri bakal menerima bantuan khas hari raya RM500 sebelum 1 Syawal sebagai persediaan untuk menyambut Aidilfitri bulan ini.
Sekalipun berdepan pelbagai sekatan peruntukan, bantuan RM500 ini setara dengan jumlah yang diberi kerajaan Persekutuan kepada kakitangan kerajaan.
Kerajaan negeri mahu kerjasama dan mempertingkat hubungan baik dengan pengamal media supaya rakyat mendapat maklumat perkembangan semasa pentadbiran Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor, khususnya pembaharuan di negeri ini.

Sunday, September 5, 2010

ORANG KAFIR BUAT IKLAN HARI RAYA ISLAM , TV3 KENA TAUBAT?

[UM] KUALA LUMPUR 5 Sept. - Sistem Televisyen Malaysia Berhad (TV3) hari ini memohon maaf kepada seluruh masyarakat Islam kerana penyiaran iklan yang dikatakan mempunyai unsur-unsur yang boleh memesong akidah terutama kanak-kanak.

Sehubungan itu, iklan tersebut yang ditayangkan sejak Khamis lalu telah pun dihentikan penyiarannya semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Datuk Seri Farid Ridzuan ketika dihubungi hari ini berkata, bagi pihak TV3 beliau meminta maaf kepada masyarakat Islam terutama penonton TV3 di atas kesilapan yang tidak disengajakan itu.

"Sebagai orang yang bertanggungjawab meluluskan iklan itu, tidak terlintas di fikiran saya untuk menyinggung perasaan mana-mana pihak sebaliknya hanya melihat itu sebagai daya kreativiti pengarahnya.

"Dalam iklan selama seminit itu, ia menggambarkan impian seorang kanak-kanak dengan beca ajaibnya sesuai dengan tema TV3 tahun ini iaitu Sinari Lebaran,'' katanya.

Sejak Khamis lalu, TV3 menyiarkan iklan sempena hari raya yang menggambarkan seorang 'Pak Haji' mengajak kanak-kanak menaiki beca ajaib sehingga melintasi bulan.

Ia seolah-olah menyamai watak Santa Claus menaiki kereta salju yang dipacu oleh sekawan rusa kutub membawa hadiah Hari Natal untuk kanak-kanak.

Iklan tersebut juga menampilkan babak kemunculan pelita melalui bunga teratai yang dikatakan menyamai fahaman agama Buddha.

Iklan tersebut diterbitkan oleh Pengarah Kreatif TV3, Douglas Khoo Hong Seng dengan kos penerbitan RM200,000 dan banyak menggunakan teknik janaan pengimejan komputer (CGI).

Menurut Farid, dengan mengambil kira rungutan dan rasa tidak senang penonton, iklan tersebut telah pun dihentikan pada pukul 9 malam tadi selepas lima kali disiarkan.

''Walaupun iklan itu baru lima kali ditayangkan, kami telah pun menarik penyiarannya demi memelihara keharmonian dan menghargai pandangan penonton.

"Sebagai sebuah stesen televisyen yang sentiasa cuba memberikan yang terbaik kepada penonton, komen-komen begini sedikit sebanyak membantu kami untuk tidak melakukan kesilapan lagi," katanya.

Farid berkata, disebabkan kesuntukan masa, mulai esok sebagai menggantikan iklan tersebut, TV3 akan menyiarkan iklan raya tahun lalu iaitu 'Ikan di laut, asam di darat' arahan Allahyarham Yasmin Ahmad.

Sementara itu, Douglas ketika dihubungi mengenai iklan daripada idea kreatifnya itu akur dengan apa juga keputusan pihak TV3.

Katanya, sebagai Pengarah Kreatif TV3 beliau cuba melahirkan sesuatu yang menarik sesuai dengan tema kali ini iaitu Sinari Lebaran dengan menggambarkan keriangan kanak-kanak.

"Semasa membuat iklan ini, apa yang saya fikir hanyalah untuk melahirkan Melayu milenium dan tidak pernah terlintas untuk menyinggung perasaan orang Islam.

"Saya cuma mahu gambarkan impian dan keriangan kanak-kanak itu dengan beca ajaibnya untuk mencapai apa yang difikirkan kerana saya rasa ia cantik dan sesuai.

"Saya benar-benar menyesal atas apa yang berlaku dan saya memohon maaf kepada masyarakat Islam di atas kesilapan yang tidak disengajakan,'' katanya.

Beliau berkata, komen dan pandangan pelbagai pihak akan dijadikan panduan dalam menghasilkan sesuatu karya pada masa depan.

Iklan Sinari Lebaran yang menelan kos sebanyak RM200,000 menjalani penggambaran tiga minggu lalu di Bukit Broga, Semenyih, Negeri Sembilan.

Penggambaran selama seminggu itu mengabadikan babak beca ajaib dari Pulau Pinang, Perak dan Bukit Broga dengan menggunakan CGI dengan lagu latar hari raya ciptaan komposer Jerry dan Bijay dan dinyanyikan oleh Atilia.

Friday, September 3, 2010

SELAMATKAN RUMAH ALLAH DI TAMAN SETIAWANGSA

KUALA LUMPUR 2 Sept. – Surau An Nur di Jalan 4A, Taman Setiawangsa di sini sudah berusia lebih 20 tahun.

Pada 10 tahun pertama kewujudannya, semua urusan fardu ain dan fardu kifayah masyarakat Islam di kawasan itu dilakukan di surau itu dari solat lima waktu, solat Jumaat sehinggalah ke pengurusan jenazah.

Hanya selepas Masjid Muaz bin Jabal yang terletak kira-kira satu kilometer dari situ siap dibina kira-kira 10 tahun lalu, barulah ‘beban’ surau An Nur berkurangan.

Kehadiran para jemaah yang terdiri daripada penghuni kawasan perumahan berhampiran, selain orang luar yang singgah sekali sekala berjaya mengimarahkan surau berkenaan sehingga ke hari ini.

Bagaimanapun, jemaah di situ mula bimbang apabila timbul ura-ura yang surau itu akan dirobohkan kerana tapak surau itu adalah milik Kementerian Pelajaran.

Tapak itu juga merupakan bekas tapak beberapa blok rumah panjang tetapi sudah dirobohkan sejak lebih setahun lalu dan surau itu dikatakan bakal menerima nasib yang sama.

Malah, telah ada notis daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta makluman daripada pegawai DBKL sendiri bahawa surau berkenaan akan dirobohkan bila-bila masa sahaja.

Namun, bagi ahli jawatankuasa surau tersebut, usaha merobohkan surau itu didakwa disebabkan hasil desakan pihak-pihak tertentu yang mahu mengaut keuntungan dari tanah itu.

Pihak terbabit mendakwa kewujudan Masjid Muaz bin Jabal tidak jauh dari surau itu sudah memadai bagi kegunaan penduduk Islam di kawasan itu.

Tinjauan Utusan Malaysia ke lokasi surau berkenaan mendapati, rumah ibadat itu memang menjadi tumpuan ramai para jemaah untuk menunaikan solat.

Sepanjang pemerhatian, jemaah yang hadir bukan sahaja penduduk sekitar tetapi juga orang ramai yang mempunyai urusan di kawasan berhampiran.

Surau yang boleh memuatkan jemaah kira-kira 400 jemaah pada satu-satu masa itu walaupun kelihatan agak usang, tetapi dilengkapi ruang solat yang selesa, bilik air dan sebagainya.

Difahamkan, surau berkenaan juga menjadi landmark terutama kepada orang luar yang jarang berkunjung ke Taman Setiawangsa.

Dalam pada itu, Utusan Malaysia dimaklumkan, beberapa alasan telah diberikan oleh pihak yang mahu surau berkenaan dirobohkan.

Antaranya ialah di kawasan itu akan diwujudkan pembangunan baru yang merangkumi pembinaan padang dan stadium mini untuk pelajar-pelajar sekolah berhampiran.

Selain itu, Masjid Muaz bin Jabal juga dikatakan mampu memberi keselesaan kepada jemaah untuk beribadat dan akan merapatkan hubungan sesama penduduk.

Ahli Jawatankuasa Surau An Nur, Abdul Salim Nawawi, 46, berkata, usaha mempertahankan surau berkenaan adalah bagi memudahkan penduduk sekitar terutama warga emas untuk beribadat.

Katanya, selain penduduk di taman berkenaan terutama di Jalan 2A, 3A, 4A dan 5A, surau berkenaan turut menjadi tumpuan beberapa penghuni perumahan bertingkat seperti Apartmen Tiara, Apartmen Andika, Apartmen Putri dan Apartmen Mahsuri.

Beliau berkata, penduduk tidak pernah menghalang sebarang pembangunan dilakukan di tapak berkenaan lebih-lebih lagi untuk kepentingan pelajar-pelajar sekolah yang merupakan generasi pelapis masa depan.

"Tetapi apa yang diharapkan ialah agar pihak yang bertanggungjawab dapat memberi mereka ruang kepada mereka untuk terus mempertahankan surau berkenaan.

"Kami tidak mungkin mampu menghalang mereka daripada merobohkan surau ini tetapi kami merayu agar dipertimbangkan permohonan kami agar surau ini dapat terus dikekalkan," katanya.

Abdul Salim berkata, jika tidak dapat dikekalkan di tapak sedia ada, penduduk merayu mereka diberikan tanah yang paling hujung seluas 5,000 kaki persegi untuk didirikan surau yang baru.

Utusan Malaysia difahamkan, pelbagai cara telah dilakukan oleh mereka bagi menghalang surau berkenaan daripada dirobohkan.

Selain DBKL, Ahli Parlimen Setiawangsa, Datuk Zulhasnan Rafique, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan serta Kementerian Pelajaran, mereka turut menghantar surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran agar mempertimbangkan permohonan mereka untuk terus mengekalkan surau berkenaan di situ.

Namun, sehingga kini, tiada sebarang reaksi diterima daripada semua pihak berkenaan, sekali gus menimbulkan persoalan, adakah rayuan mereka tidak sampai ke pengetahuan pihak berkenaan.

Thursday, September 2, 2010

RM70,000,000 MIKROKREDIT UNTUK SELANGOR

Skim Mikrokredit Selangor Dilancar Hari Ini

SHAH ALAM 2 Sept - Skim Mikrokredit Selangor (Skimsel) yang dilancarkan oleh Menteri Besar hari ini akan memberi manfaat kepada kumpulan pertama seramai 50 penerima pinjaman yang akan menerima pembiayaan modal perniagaan sebanyak RM3,000 dengan tempoh bayaran maksima selama 12 bulan.

Skimsel yang dikendalikan oleh Yayasan Dar Al Qard Al Hasan Selangor telah disempurnakan penubuhannya pada 8 Julai lalu.

Antara lain skim ini bertujuan untuk membantu golongan miskin memperolehi dana bagi menjalankan perniagaan sebagai salah satu usaha membebaskan mereka dari kitaran kemiskinan.

Kerajaan negeri Selangor telah memperuntukkan sebanyak RM70 juta untuk tujuan membiayai skim ini. RM50 juta adalah untuk masyarakat luar bandar dan baki RM20 juta untuk masyarakat bandar.

Exco Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Datuk Dr Hassan Ali dalam satu kenyataan media berkata, di peringkat awalnya skim ini akan beroperasi di kawasan Sabak Bernam.

"Menjelang akhir tahun 2010, skim ini akan diperluas ke Kuala Selangor, Hulu Selangor, Kuala Langat, Hulu Langat dan Sepang. Bagi masyarakat bandar, jadual perlaksanaan skim yang sama sedang disiapkan oleh pasukan pengendali yang diterajui oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Wanita, Rodziah Ismail," kata beliau.

Skimsel tidak memerlukan cagaran, tidak dikenakan faedah dan penerima pinjaman tidak akan diheret ke mahkamah.

Menurut Dr Hassan pengalaman mengendalikan skim yang serupa mendapati bahawa kesepakatan kumpulan-kumpulan kecil yang dimestikan bermesyuarat setiap minggu telah menyaksikan pembayaran balik mencecah seratus peratus.

Di pihak kerajaan negeri majlis pelancaran ini menjadi satu lagi mercu tanda komitmen kerajaan negeri untuk membantu golongan miskin secara terus.

Dr Hassan berkata majlis pelancaran ini menjadi bukti betapa kerajaan negeri begitu komited untuk mengagih-agihkan kekayaan negeri Selangor kepada semua golongan rakyat terutamanya golongan miskin.

"Merekalah yang menjadi kumpulan tumpuan kepada usaha pembangunan yang kini rancak dijalankan. Prinsip ini sesuai dengan falsafah pembangunan kerajaan negeri iaitu Merakyatkan Ekonomi Selangor," kata kenyataan itu lagi.

Majlis pelancaran Skim Mikrokredit Selangor akan diadakan di Masjid Makrufiah, Parit Baru, Sabak Bernam.

Seramai 1,500 tetamu dijangka hadir termasuk ketua jabatan di peringkat negeri dan daerah, ahli Exco, ADUN dan Ahli Parlimen, JKKK, Nazir serta Pengerusi Masjid dan Surau serta pemimpin masyarakat di peringkat akar umbi.

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan memberi ucapan amanat pelancaran diikuti dengan penyampaian Skimsel.

Selepas itu satu taklimat khas Skimsel akan diadakan diikuti dengan majlis tahlil dan doa selamat serta ceramah motivasi Ramadan dan majlis berbuka puasa.