HULU SELANGOR, 23 April - Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam (PAC) Negeri Selangor hari ini mendakwa wujudnya penyelewengan oleh pengurusan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) terdahulu terhadap tanah milikan kerajaan negeri seperti yang berlaku di Hutan Simpan Rantau Panjang (Batu Arang).
PAC Selangor menerusi pengerusinya, Lee Kim Sin berkata penyelewengan jelas berlaku apabila tanah yang diberikan kepada pihak swasta untuk diusahakan tidak mendatangkan keuntungan malah merugikan kerajaan negeri.
Katanya, mengikut laporan yang diterima pihaknya mendapati masalah utama berkaitan tanah milik kerajaan negeri itu disebabkan kadar pajakannya yang terlalu rendah.
“Bayangkan untuk tempoh satu hingga enam tahun, kadar pajakan hanya RM10 (setahun) untuk satu hektar,” katanya jumlah itu hanya akan dinaikkan menjadi RM13 selepas tempoh enam tahun.
Menurutnya, hasil kutipan dari tanah yang dipajak itu juga tidak mencecah RM1 juta dan merugikan kerana membabitkan keluasan tanah yang besar.
“Keputusan yang dibuat pihak PKPS semasa dipimpin oleh bekas Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Mohamad Khir Toyo jelas tidak memikirkan tentang kepentingan negeri,” katanya.
Adun kawasan Kajang ini berkata kepada pemberita semasa membuat lawatan ke Hutan Simpan Rantau Panjang, di sini petang tadi.
Turut bersama dalam lawatan itu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sekinchan, Ng Suee Lim, Adun Damansara Utama, Dr Cheah Wing Yin, Adun Sijangkang, Dr. Ahmad Yunus Hairi, Pengurus Besar PKPS Bahagian Perkhidmatan Korporat, Nordin Darhan dan Timbalan Pengurus Besar PKPS, Bahagian Pembangunan Perniagaan, Aqmal Azam Ahmad.
Beliau bersama anggota PAC yang lain turut melahirkan rasa kesal apabila pembangunan hutan simpan ketika di bawah pimpinan PKPS terdahulu tidak dilaksanakan dengan baik malah katanya ianya tidak diselaras dengan dasar yang diwartakan.
Ditanya mengenai tindakan yang akan diambil PAC selepas ini, beliau berkata pihaknya akan meminta laporan yang terperinci lagi.
“Sekiranya tindakan undang-undang perlu kita akan arahkan pihak perundangan negeri untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap mereka yang bertanggungjawab,” katanya.
Sementara itu, Suee Lim yang ditanya berhubung projek penghutanan semula di negeri ini berkata barisan pimpinan PAC yang ada sekarang ini akan terus memantau kerja-kerja penambahbaikan hutan simpan.
“Saya berharap usaha ini akan berjaya mendatangkan keuntungan kepada kerajaan negeri dan juga rakyat kerana banyak tanah-tanah PKPS di negeri ini yang terbengkalai dan diabaikan,” katanya yang bersetuju jika ada usahasama dilakukan tapi masing-masing mendapat keuntungan dari kerjasama itu. - MURIZA ABDUL HAMID
No comments:
Post a Comment