Sahabat Intim Blog Ini

Friday, September 3, 2010

SELAMATKAN RUMAH ALLAH DI TAMAN SETIAWANGSA

KUALA LUMPUR 2 Sept. – Surau An Nur di Jalan 4A, Taman Setiawangsa di sini sudah berusia lebih 20 tahun.

Pada 10 tahun pertama kewujudannya, semua urusan fardu ain dan fardu kifayah masyarakat Islam di kawasan itu dilakukan di surau itu dari solat lima waktu, solat Jumaat sehinggalah ke pengurusan jenazah.

Hanya selepas Masjid Muaz bin Jabal yang terletak kira-kira satu kilometer dari situ siap dibina kira-kira 10 tahun lalu, barulah ‘beban’ surau An Nur berkurangan.

Kehadiran para jemaah yang terdiri daripada penghuni kawasan perumahan berhampiran, selain orang luar yang singgah sekali sekala berjaya mengimarahkan surau berkenaan sehingga ke hari ini.

Bagaimanapun, jemaah di situ mula bimbang apabila timbul ura-ura yang surau itu akan dirobohkan kerana tapak surau itu adalah milik Kementerian Pelajaran.

Tapak itu juga merupakan bekas tapak beberapa blok rumah panjang tetapi sudah dirobohkan sejak lebih setahun lalu dan surau itu dikatakan bakal menerima nasib yang sama.

Malah, telah ada notis daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta makluman daripada pegawai DBKL sendiri bahawa surau berkenaan akan dirobohkan bila-bila masa sahaja.

Namun, bagi ahli jawatankuasa surau tersebut, usaha merobohkan surau itu didakwa disebabkan hasil desakan pihak-pihak tertentu yang mahu mengaut keuntungan dari tanah itu.

Pihak terbabit mendakwa kewujudan Masjid Muaz bin Jabal tidak jauh dari surau itu sudah memadai bagi kegunaan penduduk Islam di kawasan itu.

Tinjauan Utusan Malaysia ke lokasi surau berkenaan mendapati, rumah ibadat itu memang menjadi tumpuan ramai para jemaah untuk menunaikan solat.

Sepanjang pemerhatian, jemaah yang hadir bukan sahaja penduduk sekitar tetapi juga orang ramai yang mempunyai urusan di kawasan berhampiran.

Surau yang boleh memuatkan jemaah kira-kira 400 jemaah pada satu-satu masa itu walaupun kelihatan agak usang, tetapi dilengkapi ruang solat yang selesa, bilik air dan sebagainya.

Difahamkan, surau berkenaan juga menjadi landmark terutama kepada orang luar yang jarang berkunjung ke Taman Setiawangsa.

Dalam pada itu, Utusan Malaysia dimaklumkan, beberapa alasan telah diberikan oleh pihak yang mahu surau berkenaan dirobohkan.

Antaranya ialah di kawasan itu akan diwujudkan pembangunan baru yang merangkumi pembinaan padang dan stadium mini untuk pelajar-pelajar sekolah berhampiran.

Selain itu, Masjid Muaz bin Jabal juga dikatakan mampu memberi keselesaan kepada jemaah untuk beribadat dan akan merapatkan hubungan sesama penduduk.

Ahli Jawatankuasa Surau An Nur, Abdul Salim Nawawi, 46, berkata, usaha mempertahankan surau berkenaan adalah bagi memudahkan penduduk sekitar terutama warga emas untuk beribadat.

Katanya, selain penduduk di taman berkenaan terutama di Jalan 2A, 3A, 4A dan 5A, surau berkenaan turut menjadi tumpuan beberapa penghuni perumahan bertingkat seperti Apartmen Tiara, Apartmen Andika, Apartmen Putri dan Apartmen Mahsuri.

Beliau berkata, penduduk tidak pernah menghalang sebarang pembangunan dilakukan di tapak berkenaan lebih-lebih lagi untuk kepentingan pelajar-pelajar sekolah yang merupakan generasi pelapis masa depan.

"Tetapi apa yang diharapkan ialah agar pihak yang bertanggungjawab dapat memberi mereka ruang kepada mereka untuk terus mempertahankan surau berkenaan.

"Kami tidak mungkin mampu menghalang mereka daripada merobohkan surau ini tetapi kami merayu agar dipertimbangkan permohonan kami agar surau ini dapat terus dikekalkan," katanya.

Abdul Salim berkata, jika tidak dapat dikekalkan di tapak sedia ada, penduduk merayu mereka diberikan tanah yang paling hujung seluas 5,000 kaki persegi untuk didirikan surau yang baru.

Utusan Malaysia difahamkan, pelbagai cara telah dilakukan oleh mereka bagi menghalang surau berkenaan daripada dirobohkan.

Selain DBKL, Ahli Parlimen Setiawangsa, Datuk Zulhasnan Rafique, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan serta Kementerian Pelajaran, mereka turut menghantar surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran agar mempertimbangkan permohonan mereka untuk terus mengekalkan surau berkenaan di situ.

Namun, sehingga kini, tiada sebarang reaksi diterima daripada semua pihak berkenaan, sekali gus menimbulkan persoalan, adakah rayuan mereka tidak sampai ke pengetahuan pihak berkenaan.

No comments: