Sahabat Intim Blog Ini

Friday, October 29, 2010

INGAT MAIN PAINTBALL KE? POLIS APA NIE!

PASIR GUDANG – Seorang wanita terkejut selepas melihat suaminya terbaring di depan pagar berlumuran darah sementara seorang anggota polis berdiri di: sampingnya, sebaik pulang dari tempat kerja, kira-kira jam 6 petang, kelmarin.

Seperti lagak dalam drama, suaminya yang ketika itu masih sedarkan diri menunjukkan dan berkata bahawa bahagian belakang pinggangnya cedera parah terkena tembakan.

Wanita terbabit yang enggan namanya disiarkan tidak menyangka hasrat suaminya yang ingin keluar menjala ikan berakhir dengan tragedi ditembak kerana dikatakan melarikan diri daripada pihak berkuasa.

Menurutnya, suaminya yang ketika itu menunggang motosikal bersama beberapa rakan, melarikan diri daripada ditahan kerana tidak memakai topi keledar dan hanya mempunyai lesen L serta cukai jalan tamat tempoh.

“Ketika saya pulang makan tengah hari di rumah, suami ada memberitahu dia ingin keluar menjala ikan bersama rakan dan saya pergi semula ke tempat kerja memandu kereta sendiri.

“Betapa terkejutnya saya sebaik pulang dari tempat kerja apabila melihat suami terbaring berlumuran darah di depan mata kerana ditembak seperti lagak dalam drama yang ditonton di televisyen,” katanya, semalam.

Dia yang masih bersedih dengan tragedi yang menimpa suaminya, bimbang dengan masa depan empat anaknya yang masih kecil kerana keadaan suaminya yang dirawat di hospital masih belum stabil serta belum sedarkan diri.

Wanita itu juga mempertikaikan kenapa suaminya ditembak, sedangkan banyak cara lain boleh digunakan untuk menangkap suaminya jika benar dia melarikan diri kerana ketakutan kerana melakukan kesalahan jalan raya.

“Saya tidak berpuas hati kerana suami saya ditembak seperti penjenayah bahaya, sedangkan dia cuma melarikan diri kerana menunggang motosikal dengan tidak memakai topi keledar dan cukai jalan mati serta hanya ada lesen L.

“Saya bimbang jika apa-apa berlaku kepada suami kerana anak kami empat orang masih kecil dan perlukan kasih sayang ayah; saya tidak boleh bayangkan apa akan terjadi jika apa-apa berlaku kepada suami saya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Roslan Zainuddin ketika dihubungi berkata, perkara itu akan disiasat secara terperinci.

Namun beliau enggan mengulas lanjut. -SH

Monday, October 25, 2010

CALON PAS GALAS, SAYA AKAN BALAS!


Calon PAS Galas jelaskan tuduhan khalwat adalah fitnah semata-mata. Beliau akan balas dengan doakan pemfinah akan diampuni Allah.

Tidak sampai 24 jam selepas diumumkan bertanding dalam pilihan raya kecil DUN Galas, calon PAS Dr Zulkefli Mohamad menjadi sasaran media rasmi Umno - Umno Online - yang melaporkan bahawa beliau pernah ditangkap berkhalwat.

Media rasmi Umno yang memetik laporan beberapa blog mendakwa Dr Zulkefli pernah ditangkap khalwat dengan 'isterinya' sekarang, Ramelah Mat Jusoh.

Dalam reaksinya terhadap laporan itu, Dr Zulkefli yang juga pemangku Yang Dipertua PAS Gua Musang menafikan perkara itu.

Malah, katanya, Ramelah yang dilaporkan itu adalah ibunya.

Dr Zulkefli, sebaliknya menjelaskan isterinya bernama Zainab Jalar.

"Fitnah semata-mata, - boleh buat semakan di mana-mana pejabat agama di Kelantan dan seluruh Malaysia," katanya dalam jawapannya melalui SMS kepada Malaysiakini.

Selain mendakwa Dr Zulkefli pernah ditangkap berkhalwat, Umno Online juga memperlekehkan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang sebelum ini mengenakan syarat untuk menjadi calon adalah bukan perokok dengan memberikan gambaran seolah-olan beliau adalah perokok.

"Saya tidak merokok. Semoga Allah mengampuni dosa mereka yang membuat fitnah," kata Dr Zulkefli.

Friday, October 22, 2010

SMASH ROSLAn & LAMUNAN RASa BUAT UMNO TERHENTI MATI

MIMPI BUSRO AKIBAT TIDUR TAK BASUH KAKI
Roslan SMS :-

Para perwakilan di Perhimpunan Agung Umno sedang sibuk membahaskan ucapan dasar Presiden mereka. Lazimnya siapa yang mendapat peluang bercakap akan menggunakan sebaik mungkin peluang itu untuk menarik perhatian para pimpinan. Moga-moga adalah harapan ia naik ke atas lantaran puji dan puja yang diberikan kepada pimpinan. Kalau belum jadi calon boleh jadi calon kalau belum jadi menteri boleh jadi menteri syaratnya kipaslah sekuat-kuat kipas.

Ramai-ramai perwakilan yang berucap semalam sata tertarik dengan ucapan wakil dari negeri yang Umno tak memerintah iaitu Selangor. Selangor semalam diwakil ADUN Paya Jaras yang juga Ketua Umno Subang, Mohd Bushro Mat Johor.

Untuk menarik perhatian pimpinan dan para perwakilan Bushro menyulamkan perbahasannya dengan anologi mimpi.

Dalam mimpi ini saya menaiki kereta buatan nasionaldan apabila tiba di satu persimpangan kenderaan saya dihalang oleh sekumpulan besar binatang, saya ingatkan kambing tetapi rupa-rupanya ia adalah babi yang tidak terkira banyaknya.

Perjalanan kemudian diteruskan lagi saya pandang kiri dan kanan banyak sekali rumah-rumah urut manakala apabila tiba di perkampungan Melayu saya mahu menghilangkan dahaga tetapi yang dijual bukan sahaja air mineral tetapi arak.

Begitulah kira-kira ucapan Bushro konon nak menggambarkan betapa teruknya Selangor kini di bawah pimpinan Pakatan Rakyat. Seolah babi berleluasa diternak, seolah rumah urut dilesenkan merata-rata seolah arak dijual berleluasa sehingga ke kampong-kampung Melayu.

Dalam erti kata lain kembalilah pada Umno, Selangor akan bersih dan selamat.

Membaca laporan tentang ucapan Bushro itu saya juga turut mahu mengelamun:

Dalam lamunan saya, saya menumpang kereta kawan kerana minyak terlalu mahal, tol bersepah-sepah tak mampu nak menanggungnya apa lagi beli kereta sendiri, bonus pun tak dapat. Tiba dipersimpangan terserempak dengan deretan rumah kos murah yang rata-rata didiami orang Melayu, walau pemimpin Umno menghambat orang Melayu jadio global dan glokal, orang Melayu masih bertenggek di rumah-rumah kos murah sahaja.

Tiba-tiba juga saya ternampak dicelah deretan rumah kos murah untuk orang miskin itu, tersergam mahligai indah tiga tingkat bagaikan istana, malah mengalahkan Istana Mestika di Shah Alam. Kata orang ini istana bekas ADUN Umno, naik sedikti sampai ke Seksyen 7 Shah Alam tersergam pula istana lain katanya juga milik bekas pemimpin nombor satu Selangor. Orang kampong bergelut berpuluh tahun di sawah, dikebun, dilaut mencari rezeki pemimpin ku yang hebat tak sampai dua penggal boleh bina istana berpuluh juta ringgit.

Saya kemudian ke Lapangan Terbang Subang, manalah tahu boleh dapat tiket murah dari penerbangan bajet. Nak bawa keluarga bercuti, destinasi tempatan pun tak mengapa. Saya diberitahu ada pemimpin Umno bekas ketua negeri semasa berkuasa dulu berbelanja lebih RM300 ribu dengan isteri anak dan kroninya ke Disneyland guna wang anak syarikat kerajaan negeri walau syarikat tersebut sedang menanggung kerugian.

Saya tekan ATM di lapangan terbang itu nak keluarkan saki baki duit simpanan saya. Saya diberitahu ada bekas MB Umno tak perlu tekan-tekan diusungnya berpuluh kilo wang tunai berbagai matawang sehingga ditangkap oleh pihak berkuasa Australia, aduhai hebatnya pemimpin Umno ku.

Bila berjalan keluar, saya tersepak batu, ahhhh rupanya saya bukan bermimpi macam Bushro, ini kenyataan, ini jenayah Umno pada rakyat Selangor selama mereka memerintah dulu. Meninggalkan pemimpin kecil seperti Bushro demam dan mimpi yang bukan-bukan sedangkan hakikatnya jembalang dan mambang adalah dari bikinan tangan Umno sendiri bukan orang lain.

Itulah Bushro, kata orang tua-tua kalau nak tidur kena cuci kaki terlebih dahulu, tengok akibatnya kan dah mimpi yang bukan-bukan!

POSTED BY PAS CAWANGAN RASA

Sunday, October 17, 2010

BURUKNYA PERANGAI SEORANG PM, UBAHSUAI RUMAH RM65JUTA!

Kediaman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Isteri Datin Seri Rosmah Mansor akan diubah suai dengan belanja RM65 juta. Menurut Ahli Parlimen Bukit Bendera Liew Chin Tong, kerja-kerja pengubah suaian akan bermula tahun depan dan selesai pada tahun berikutnya.

Sri Perdana di Putrajaya mula di bina pada tahun 1997 dengan kos RM24 juta dan siap dua tahun kemudiannya. Bangunan ini diubah suai buat kali pertama pada tahun 2005 yang menelan belanja hampir RM6 juta. Keperluan untuk sekali lagi melakukan pengubah suaian kepada Sri Perdana dengan kos RM65 juta dipertikaikan, khususnya apabila rakyat dinasihatkan supaya berbelanja secara berhemah. Pengubahsuaian Seri Perdana dengan peruntukan yang begitu tinggi dianggap satu lagi pembaziran dana rakyat.

Mengulas isu yang sama Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata, apabila masuk sahaja Perdana Menteri baru semua nak ubah mengikut citarasa masing masing. Ini pembaziran dengan RM65 juta untuk ubah suai Sri Perdana ini satu tindakan yang tidak bertanggungjawab kerana negara amat memerlukan kewangan itu untuk membangunkan modal insan dan sebagainya.

"Duit itu boleh digunakan dengan cara yang lebih bermakna. Kita lihat bajet itu pun tetap juga merupakan satu bajet defisit ini bererti perbelanjaan seperti itu sebenarnya boleh dikurangkan untuk mengurangkan defesit.

"Inilah keutamaan pemimpin Umno-BN untuk kepentingan mereka sendiri, keselesaan sendiri ikut citarasa masing masing tanpa memikirkan rakyat jelata yang menghadapi kesusahan untuk membiayai kehidupan seharian. Ramai yang tidak berkerja dan hutang piutang. Tetapi RM65 juta digunakan untuk ubahsuai Sri Perdana ini tindakan yang tidak wajar sama sekali," katanya.

Wednesday, October 6, 2010

LEMBAGA BACUL SUDAH MUNCUL

Kenapa Rahimi Baru Muncul?

MUNGKIN banyak orang tidak faham kenapa tiba-tiba muncul lelaki bernama Rahimi Osman dengan kenyataan kononnya dia dipaksa menanda tangani surat akuan sumpah (SD) yang dikatakan berpihak kepada Anwar Ibrahim dengan mengaitkan Rosmah Mansor dan Najib Razak dalam kes liwat itu? Kenapa setelah lebih setahun perbicaraan baru hari ini lelaki yang kelihatan seakan-akan jambu ini muncul?

Yang menjadi tanda tanya juga kenapa sidang akhbar beliau diganggu oleh sekumpulan orang yang dikatakan penyokong Anwar. Akibat gangguan itu menyebabkan sidang akhbar itu terganggu dan dibatalkan.

Kenapa ini berlaku disaat-saat ini. Jika difahami kepada tema sidang akhbar itu jelas ianya cuba memburukkan Anwar. Kononnya Anwar telah memaksa Rahimi agar membelanya. Moral cerita Rahimi itu juga menunjukkan Anwar terjempit dan sanggup menggunakan jalan yang salah.

Dari sudut lain kemunculan lelaki bernama Rahimi itu ia boleh mengeruhkan semula keadaan yang hampir jernih. Selama ini persepsi umum terhadap penglibatan Rosmah dan Najib dalam isu kes liwat ini sudah pun reda. Dengan keluarnya lelaki berkenaan tiba-tiba orang teringat semula.

Apakah sebenarnya yang diburu oleh Rahimi? Apakah dia juga dipaksa agar berbuat begitu seperti mana pengakuannya dipaksa menanda tangani dua surat akuan bersumpah itu? Nampaknya tuduhan liwat ke atas Anwar yang dalam proses perbicaraan kini penuh dengan kemisterian.

Sunday, October 3, 2010

UMNO BENDOL HARAM 50 TAHUN

IPOH 3 OKT: Kerajaan Umno Barisan Nasional bukan sahaja gagal membezakan antara sumber halal dan haram , malah gagal mengasingkan sumber kewangan dari sumber dana halal dan haram sepanjang lebih 50 tahun memerintah negara ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri ( Adun) Titi Serong, Khalil Idham Lim, berkata kerajaan Umno BN menerima apa sahaja sumber kewangan dari sektor perjudian mahupun arak melalui kutipan cukai ke dalam perbendaharaan negara.
"Sudah lebih 50 tahun BN memerintah Pulau Pinang dan Malaysia, ternyata mereka gagal membezakan dan mengasingkan wang judi dengan wang halal," kata Timbalan Yang Dipertua PAS Parit Buntar itu dalam laman blognya.
Beliau merujuk kecaman pimpinan Umno yang mengkritik kerajaan Pulau Pinang kononnya memberi sumbangan wang hasil judi berjumlah RM100 kepada warga emas beragama Islam, sedangkan dakwaan itu tidak benar.
Sebaliknya, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang baru dua tahun memerintah, sudah mengasingkan dana yang diterima daripada kelab lumba kuda untuk kebajikan masyarakat bukan Islam manakala sumber halal kepada umat Islam.
Khalil secara sinis menyindir perbuatan pimpinan Umno yang sedaya upaya cuba merendah-rendahkan bantuan kebajikan kepada warga emas itu sehingga ditempelak bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainol Abidin yang menyatakan, penerima bantuan tidak bersalah dalam konteks itu.
Mohd Asri sebelum ini menyeru Umno supaya tidak menakut-nakutkan warga Pulau Pinang dengan dakwaan kerajaan negeri menipu sumber kewangannya bagi membiayai program membantu golongan miskin termasuk umat Islam.
Hakikatnya, Khalil berkata, wang kutipan hasil judi bagi Malaysia dalam tempoh setahun berjumlah RM2.3 billion, sekaligus mengesahkan kenyataan Ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad bahawa Umno sebenarnya “bapa judi” sebenar.
“Demikianlah siri sandiwara pemimpin Umno yang semakin “nazak” dari persada politik tanah air. Saya yakin Umno akan ditolak orang Melayu sendiri berkat kejujuran Kerajaan Pulau Pinang untuk menolong warga miskin yang sekian lama diabai,” katanya