Saya juga diundang menghadiri majlis pelancaran rasmi TIBAI iaitu singkatan kepada perkataan 'TOLAK INDIVIDU BERNAMA ANWAR IBRAHIM' yang akan dirasmikan oleh pembodek terbesar negara Datuk Paduka Haji Ibrahim Ali, Presiden PERKASA pada 22 April 2012, bertempat di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur.
Maaf kepada Majlis Syura TIBAI, saya tidak dapat memenuhi undangan itu kerana saya tidak berkenan dan tidak mahu menambahkan lagi dosa saya kepada Allah, kerana di dalam majlis TIBAI ini nanti tentunya akan dinodai oleh mereka-mereka yang tidak takut berdosa kepada Tuhan akibat keghairan meluap-luap mereka untuk menyerang dan mengaibkan air muka orang lain.
Di dalam agama yang tidak dianuti oleh Senator Nallakarupan, Islam melarang keras tanpa ada kompromi sekiranya kita berkelakuan lebih buruk mencaci, menghina dan mengaibkan orang yang dianggap buruk oleh kita. Banyak potongan ayat Al-Quran dan Al-Hadis yang diImani oleh Zahid Md Arip, Ezam Mohd. Nor, Zaharin Hashim, Zulkifli Nordin, Ibrahim Ali termasuk serikandi idola mereka Umi Hafilda yang melarang umat Islam supaya menjauhi daripada perebuatan keji dengan menghina dan mengaibkan peribadi orang lain.
Lagi banyak kutukan dewata kita terhadap individu Islam yang dihina itu, maka bertambahlah pahala yang dperolehi oleh orang yang diaibkan itu. Pahala yang ada pada kita akan berpindah kepada orang yang kita aibkan itu! Takkan Zul Nordin dah kabur mata dengan hukum feqah ini?
Apakah Mursyidul Am Majlis Syura TIBAI, Saudara Zahid Md Arip iaitu cucu kepada Tun Ghafar Baba tidak terasa berdosa untuk mensyubhatkan diri ke lembah dosa yang amat keras balasannya di akhirat kelak? Apakah anggota Majlis Syura TIBAI ini ada kekebalan di sisi Allah untuk terus membiadapkan diri mereka sehingga terlupa bahawa diri masing-masing juga memiliki sifat-sifat mazmumah, malah mungkin lebih tinggi darjat dosanya dengan insan yang ditibai itu?
Kepada mereka, secara tulus saya ingatkan supaya diri kita jangan jadi 'hampas' semata-mata tingginya keinginan untuk menjadi pembodek yang hina dina. Jika kita membariskan kesalahan orang lain dan mendedahkannya kepada umum, apakah kita tuli bahawa di dalam rumah kita juga tidak kurang, malah lebih berganda perbuatan-perbuatan munkar dan kekejian yang wajib dibanteras?
Jika di dalam UMNO disaratkan dengan insan-insan yang oportunis seperti ini termasuk kaki ampu dan kaki kipas serta yang tidak takut kepada dosa, maka dibimbangi semakin hampirlah kita di perkuburan untuk ditalkinkan.
Saya berpendapat di dalam sepak terajang berpolitik janganlah kita ghairah sangat untuk mencari-cara keaiban peribadi orang lain. Permainan politik sedemikian menjadikan diri kita lebih hina, kerana tak pasal-pasal orang lain akan menilai akhlak dan akal budi kita, saling tak tumpah persis pecacai UMNO yang hina dina. Apabila kita gemar menjadi pecacai menghina orang lain, tentu ramai yang akan berkata bahawa yang menghina itu lebih hina dari orang yang dihinanya. Sebagai orang UMNO, saya berhak untuk menyatakan rasa malu sekiranya UMNO menghalalkan perbuatan keji yang berdosa ini.
Bukankah banyak kebijakan lain yang boleh kita lakukan untuk menghambat hati rakyat supaya selesa dengan UMNO? Bukankah di dalam UMNO ramai juga yang berjiwa Islam, tetapi apakah kita hanya berbangga dengan ilmu Islam yang dimiliki sedangkan kemunkaran berlambak di depan mata tidak dipedulikan.
Ulamak-ulamak yang berada di dalam UMNO hendaklah benar-benar ikhlas dan tuntas untuk melihat kebejatan yang menjadi virus dan racun kepada parti yang menjadi teras kepada pemerintahan negara ini agar tidak dipendekkan jangka hayatnya. Melontarkan banyak keaiban Anwar janganlah sampai mengundang keaiban pemimpin kita turut terlondeh. Jika kita marah kerana aib pemimpin kita dilondehkan, eloklah kita segera muhasabah diri dan perbetulkan alignment sendiri yang kelihatan rosak.
TIBAI yang dilancarkan nanti lebih merupakan 'HIMPUNAN AIBKAN MANUSIA PECACAI AMPU SEMALAYSIA' atau singkatannya HAMPAS. Wallahu'alam!
Posted by Abdul Rahman Hashim
No comments:
Post a Comment