Tajuk Artikel : Penduduk tertekan bekalan air kotor
Sumber / Tarikh : Sinar Harian Online 30 Julai 2008 – Rabu
BUKIT BERUNTUNG - Bekalan air yang tidak bersih, keruh, bau lumpur dan klorin membuatkan penduduk sekitar kawasan perumahan Widuri serta Kesumba berasa tertekan dengan masalah tersebut, malah lebih merumitkan lagi apabila bekalan air yang diterima mereka setiap hari kerap kali terputus. Pengerusi Persatuan Penduduk Widuri, Ahmad Nasir Mohd Salleh, 41, ketika ditemui memberitahu, keadaan itu telah berlarutan selama tujuh tahun dan penduduk sudah tidak mampu lagi bertahan dengan kualiti air yang teruk itu. "Sumber air yang diperoleh penduduk di kedua-dua kawasan ini adalah dari Sungai Selangor yang terletak berhampiran dan diusahakan oleh pemaju untuk menyalurkannya kepada penduduk tanpa sebarang bayaran bulanan. "Dengan keadaan air yang sebegini, kadang-kala bersih dan kadang-kala kotor, penduduk lebih rela membayar bekalan air tersebut seperti penduduk lain yang memperolehnya daripada Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) daripada menggunakan air yang kotor untuk kegunaan harian seperti mandi, makan, minum dan sebagainya," katanya. Beliau mendakwa, sebuah tangki yang dibina atas inisiatif pemaju terletak berhampiran dengan kawasan perumahan penduduk menjadi punca masalah ini apabila tangki tersebut tidak mendapat kelulusan pihak berkuasa kerana tidak dibuat sebagaimana sepatutnya. Oleh yang demikian, Syabas menolak untuk menyalurkan bekalan air ke kawasan ini kerana masalah tersebut. “Penduduk tidak ada masalah jika terpaksa mengeluarkan belanja untuk memasang meter individu di rumah masing-masing, tetapi pemaju perlu menyediakan tangki dahulu kerana itu adalah tanggungjawab mereka. "Gangguan bekalan air juga kerap berlaku di kawasan ini, kadang kala memakan masa lebih kurang dua hingga tiga hari dan ini mengganggu keselesaan penduduk untuk membuat kerja-kerja rumah. Lebih buruk lagi, sekiranya ada kematian atau kenduri kahwin atau pun kecemasan seperti kebakaran dan sebagainya.” jelasnya ketika ditemui dekat sini Sinar Harian turut mendapatkan penjelasan daripada Pengerusi Persatuan Penduduk Kesumba, Harun Mohd Lip, yang memberitahu, penduduk di kedua-dua kawasan perumahan ini rasa tertekan dengan masalah yang dihadapi. "Setiap kali berlaku gangguan air, penduduk akan mengambil inisiatif sendiri dengan menghubungi pihak-pihak tertentu untuk memaklumkan mengenai masalah tersebut. Selalunya, alasan yang akan diberikan adalah enjin untuk mengepam air dari sungai rosak menyebabkan bekalan air tergendala," katanya. Menurut beliau, pemaju pernah mencadangkan agar penduduk mendapat bekalan air dari Syabas dengan menggunakan meter pukal sementara menunggu pihak pemaju membina tangki air daripada bahan konkrit dan mengikut ciri-ciri yang ditetapkan. Walau bagaimana pun, sebahagian penduduk tidak bersetuju dengan cadangan tersebut dan mahu meter individu dipasang untuk mengelakkan pelbagai masalah lain timbul akibat menggunakan meter pukal. “Banyak masalah yang timbul nanti bila guna meter pukal seperti pemilik rumah yang tidak tinggal kawasan perumahan di sini, pertikaian bil air yang diterima pasti akan berlaku, malah kami juga bimbang jika pemaju tidak membayar kepada Syabas, penduduk juga yang akan menjadi mangsa,” jelasnya. Justeru, kedua-dua pengerusi persatuan penduduk tersebut memutuskan mengadakan perbincangan bersama penduduk masing-masing untuk mendapatkan keputusan mengenai perkara tersebut dalam masa terdekat ini. Sementara itu, Sinar Harian mendapatkan penjelasan daripada wakil syarikat pemaju yang merupakan kontraktor untuk menguruskan tempat pam air ke kawasan berkenaan. Bagaimana pun, tiada sebarang komen yang diberikan dan meminta Sinar Harian merujuk ke pejabat pemaju menerusi nombor telefon pejabat yang diberikan, namun panggilan yang dibuat tidak berjawab.
1 comment:
Dapatkan pandangan sebenar dari ahli PAS kita di Kesumba jangan pakai UMNO bulat-bulat. Sampai sekarang masih ditakuk lama tiada perubahan.
Post a Comment