anbia@hmetro.com.my
KUALA LUMPUR: Dua anggota polis yang memberkas dan merampas dadah jenis syabu seberat 900 tan di Rompin, Sabtu lalu, wajar diberi penghargaan tertinggi kerana sanggup menolak sogokan RM500,000 daripada ahli sindiket pengedar dadah terbabit selepas dua anggota mereka ditangkap.
Sumber berkata, ketika ditahan, kedua-dua anggota sindiket pengedaran dadah itu yang berusia 55 dan 49 tahun disyaki cuba memindahkan dadah berkenaan menggunakan sebuah lori ais.
Menurutnya, ketika kejadian jam 6.30 pagi, dua anggota polis berusia 30-an itu melihat sebuah lori mencurigakan berhenti di bahu jalan di lokasi kejadian sebelum dua suspek di belakang lori terbabit ditahan.
“Pihak polis menjalankan siasatan mendapati dua suspek berkenaan berasal dari Lembah Klang. Anggota polis terbabit mengarahkan pintu belakang lori itu dibuka bagi memastikan muatan dibawa.
Menurutnya, seorang lagi bagaimanapun ditahan dua jam kemudian dengan bantuan anggota dari balai polis berhampiran, manakala seorang melarikan diri.
“Pemeriksaan ke atas lori dipandu suspek, polis menemui bungkusan plastik berisi serbuk kristal dipercayai dadah syabu lebih 900 kilogram,” katanya.
Difahamkan, suspek yang masih bebas cuba mendapatkan bantuan dua lagi rakan lain yang datang menaiki kenderaan pacuan empat roda berhampiran lokasi kejadian.
“Kehadiran dua suspek dalam keadaan mencurigakan menyebabkan polis cuba memeriksanya.
“Kedua-dua mereka berjaya ditahan kira-kira jam 9 pagi ketika cuba memecut kenderaannya sebaik menyedari anggota polis menghampirinya.
“Hasilnya polis berjaya memberkas dua suspek terbabit yang berusia 34 dan 55 tahun berasal dari Plentong dan Skudai, Johor. Difahamkan suspek berusia 55 tahun itu abang kepada suspek pertama yang memandu lori berisi muatan syabu berkenaan,” katanya.
Menurutnya, ketika hendak dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut, suspek berusia 55 tahun itu sempat menawarkan wang rasuah sebanyak RM10,000 yang disimpan dalam poket seluarnya ketika itu.
“Suspek turut berjanji akan menyerahkan wang tunai sebanyak RM500,000 lagi sekiranya dua anggota polis yang menahannya bersetuju melepaskannya serta dua ahli sindiket lain yang ditahan.
“Bagaimanapun, dua anggota polis berkenaan termasuk seorang konstabel tidak menghiraukan pujukan itu sebelum bertindak menahan suspek serta membuat laporan di Balai Polis Cenderawasih atas dakwaan cuba memberi rasuah,” katanya.
Difahamkan, polis turut merampas pelbagai peralatan elektronik termasuk alat penentu lokasi global (GPS) yang dipercayai digunakan sindiket dadah berkenaan untuk beroperasi selain mengelakkan kegiatan mereka dikesan.
“Siasatan kini sedang dilakukan mengikut Akta Dadah Berbahaya dan ketiga-tiga suspek turut disiasat mengikut Seksyen 39B akta sama,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan menyifatkan nilai rampasan dadah syabu itu tidak mungkin mencecah sehingga RM1 bilion.
Bagaimanapun, katanya, nilai sebenar rampasan itu tidak dapat dipastikan.
Musa berkata, polis sedang menyiasat dari mana bekalan dadah hampir satu tan itu diperoleh.
“Tiga suspek ditahan semalam (kelmarin) dikehendaki polis berhubung beberapa kes dadah,” katanya.
No comments:
Post a Comment