Sahabat Intim Blog Ini

Friday, August 20, 2010

MAHKAMAH RAYUAN ADALAH SALAH APABILA MEMUTUSKAN MAHKAMAH TIADA BIDANG KUASA - KARPAL

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan menangguhkan keputusan ke atas rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap keputusan Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan beliau memberikannya kenyataan saksi termasuk saksi utama, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Hakim Besar Malaya, Tan Sri Ariffin Zakaria menangguhkan keputusan selepas mendengar hujah peguam perayu, Karpal Singh (gambar) dan Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden yang mewakili responden, Peguam Negara. Pada prosiding semalam, Ariffin mengetuai tiga panel hakim bersama Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri James Foong dan Datuk Seri Md Raus Shariff.

Karpal dalam hujahnya berkata, pihak pembelaan sepatutnya diberikan akses kepada kenyataan berhemah Mohd Saiful Bukhari mengikut Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah kerana beliau memberitahu polis bahawa perlakuan seks adalah dipersetujui bersama dan bercanggah dengan keterangannya dalam Mahkamah Tinggi bahawa ia tidak dipersetujui bersama. Beliau berkata, Mahkamah Rayuan adalah salah apabila memutuskan mahkamah itu tidak ada bidang kuasa mendengar dan menetapkan rayuan dan memutuskan rayuan perayu adalah rayuan ‘interlokutori’ yang berlaku semasa perbicaraan.

"Hakim tersilap apabila menyatakan rayuan itu bukanlah satu rayuan interlokutori, tetapi pada hakikatnya perintah Mahkamah Tinggi perintah terakhir yang menyelesaikan hak pihak itu dan boleh membuat rayuan," kata Karpal.

Pada 25 Jun lalu, Hakim mahkamah Rayuan, Datuk Sulong Matjeraie, Datuk Ramly Ali dan Datuk Zaharah Ibrahim mengekalkan mereka tiada kuasa mendengar dan melayan rayuan itu kerana keputusan Mahkamah Tinggi bukanlah yang terakhir. Panel tiga hakim itu menolak rayuan ketua pembangkang dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang disampaikan pada 12 Mei lalu, menafikannya daripada akses kepada kenyataan Mohd Saiful Bukhari, yang dicatatkan polis.

No comments: