KUALA LUMPUR - Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) dan Persatuan Pesara Kerajaan berterima kasih kepada kerajaan atas pemberian bantuan khas kewangan RM500 kepada penjawat awam dan golongan pesara seperti yang diumumkan hari ini.
Presiden Cuepacs, Omar Osman berkata, pemberian bantuan khas kewangan bagi Gred 1 hingga 54 dan pesara kerajaan itu akan meringankan beban mereka ketika menyambut Hari Raya Aidilfitri bulan depan.
"Kami berterima kasih kepada kerajaan atas pemberian itu, ini sebagai bantuan sumbangan perayaan yang bakal menjelang. Kami sebelum ini memohon bonus sekurang-kurang RM1,000 atau dua bulan gaji kepada semua penjawat awam," kata ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.
Beliau juga berharap kerajaan akan mempertimbangkan bonus yang lebih tinggi pada pembentangan Bajet 2011 pada 15 Okt ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu kenyataan hari ini, mengumumkan pemberian bantuan khas itu yang akan melibatkan lebih 1.24 juta penjawat awam dan dan 590,000 pesara kerajaan.
Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, keputusan itu diambil setelah mengambil kira kebajikan penjawat awam dan pesara kerajaan terutamanya bagi meringankan beban kos persediaan bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pesara Kerajaan Datuk Paduka Raja Wan Mahmood Pawanteh berkata, pihaknya amat berpuas hati kerana golongan pesara tidak dipinggirkan.
"Kita ucapkan terima kasih dan menghargai keprihatinan Perdana Menteri yang mana setiap kali pemberian bonus atau bantuan khas, kerajaan tidak melupakan golongan pesara yang telah berkhidmat kepada negara," katanya.
Raja Wan Mahmood berkata, pemberian itu menunjukkan keprihatinan Najib terhadap golongan pesara selain meringankan beban yang ditanggung oleh golongan berpendapatan rendah.
No comments:
Post a Comment