Saksi: Ubah-suai rumah RM6.5 juta dibayar tunai
Mantan Menteri Besar Selangor Dr Mohd Khir Toyo membelanjakan RM6.5 juta bagi mengubah-suai rumahnya daripada rekabentuk asal Itali tropikal kepada konsep Bali, kata pereka lanskap yang dipertanggungjawab membuat pengubah-suaian itu, Nasir Ismail, di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini.
Jumlah itu, katanya pada hari ketiga perbicaraan rasuah Khir dibuat dalam bayaran ansuran sebanyak lima kali dan dibayar dengan tunai.
Nasir berkata beliau menerima bayarannya sebanyak RM500,000 dalam bentuk tunai daripada Pengarah Syarikat Ditamas Sdn Bhd Datuk Shamsuddin Hayroni dan Khir, yang ketika itu adalah menteri besar Selangor di kediaman rasminya.
"Saya terima bayaran pendahuluan sebanyak RM250,000 pada Mac 2006 dan kemudian saya ke pejabat pemegang harta (kini insolvensi) untuk uruskan pasport ke Bali untuk membeli barang.
"Pembayaran seterusnya saya terima kira-kira RM500,000... setiap kali pembayaran di mana empat atau lima kali pembayaran diserahkan oleh Pengarah Ditamas Sdn Bhd Shamsuddin Hayroni manakala tujuh atau lapan kali pembayaran diserahkan oleh Dr Khir Toyo sendiri," katanya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Masri Mohd Daud.
No comments:
Post a Comment