Sahabat Intim Blog Ini

Wednesday, December 28, 2011

WAHAI JAMIL KHIR , INGAT KATA BEKAS MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN

PETALING JAYA: PKR hari ini mendesak supaya Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Jamil Khir Baharom sendiri tampil memberi penjelasan berhubung isu penyalahgunaan wang zakat sebanyak RM63,650 bagi membiayai kos guaman dalam menghadapi kes permohonan qazaf Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Jamil Khir sendiri mesti tampil memberi penjelasan dan bukan menyorok (bersembunyi) di belakang pegawai kerajaan bagi menjawab isu ini,” kata Pengarah Komunikasi parti itu, Nik Nazmi Nik Ahmad dalam satu kenyataan media hari ini.

Nik Nazmi memberitahu bahawa beliau menerima jawapan berhubung isu ini daripada Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Muhamad Yamin Ismail semalam yang menjelaskan bahawa kos guaman itu diambil dari geran kerajaan.

Beliau (Yamin) juga menyalahkan Anwar dan pihak-pihak tertentu yang ‘menyalahgunakan’ proses mahkamah terhadap penjawat awam yang menyebabkan dana dan wang rakyat terpaksa digunakan bagi melayan proses mahkamah.

Menurut Nik Nazmi, pada Jun 2011 juga Jamil Khir menafikan penggunaan wang zakat untuk membayar kos guaman ini.

Kata beliau, malangnya Yamin tidak menyebut tentang ‘pendahuluan’ RM63,650 daripada wang zakat yang telah disahkan oleh Ketua Audit Negara pada November 2011.

“Yamin juga harus sedar bahawa apabila seseorang itu dizalimi, beliau mempunyai hak yang diiktiraf di dalam syarak dan sistem Perlembagaan kita untuk mempertahankan dirinya,” jelas beliau.

Dosa besar

Pada Jun lalu, bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Md Hashim Yahya telah menegaskan sebarang salahguna wang zakat yang disalurkan selain daripada asnaf yang lapan adalah kesalahan dan dosa besar.

Semalam FMT melaporkan isu penyalahgunaan wang zakat sebanyak RM63,650 oleh MAIWP untuk membiayai kos guaman menghadapi kes permohonan qazaf Anwar.

Laporan Ketua Audit Negara November lalu mengesahkan Jamil Khir; Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk

Che Mat Che Ali dan Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan, Shamsuddin Hussain menggunakan RM63,650 daripada wang zakat untuk membiayai kos guaman menghadapi kes permohonan qazaf Anwar.

Datuk Mat Zain Ibrahim, bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur pula dalam surat terbukanya kepada Ketua Polis Negara semalam mempertikai kenapa wujud kes dwi-standard berhubung penyalahgunaan wang zakat.

Beliau merujuk kepada kes Redzuan Mohd Said, bekas Imam di Kulaijaya, Johor, yang didapati menyelewengkan RM19,510 kutipan zakat antara Ogos dan September tahun ini. Redzuan yang kemudiannya memulangkan wang tersebut telah dihukum empat tahun penjara dan tiga sebatan atas kesalahannya.

No comments: