Sahabat Intim Blog Ini

Wednesday, February 22, 2012

HUTANG NEGARA DAH BANYAK, WANG KWSP PUN DILANYAK

Kerajaan Barisan Nasional diseru jangan mengambil duit daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk membiayai projek di bawah inisiatifnya kerana ia boleh mengancam pencaruman 11 juta rakyat Malaysia di masa tua mereka.
Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin baru-baru ini berkata sebanyak RM1.5 bilion telah diambil daripada KWSP untuk membiayai Skim Pembiayaan Khas Penjualan Program Perumahan Rakyat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (PPR-MTEN) dan Perumahan Awam DBKL.
Menurut Nong Chik, skim perumahan yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan membolehkan mereka yang gagal mendapat pinjaman daripada bank, kerasa bersara atau tidak berpendapatan tetap, tapi berkelayakan untuk membeli rumah untuk memiliki sebuah rumah milik mereka sendiri.
Nong Chik berkata melalui skim itu, mereka yang layak dapat membeli rumah jenis pangsapuri dengan harga antara RM25,000 dan RM35,000.
"Mereka hanya perlu membayar balik (pembiayaan itu) antara RM150 dan RM300 sebulan selama 25 tahun," katanya.
Dalam satu kenyataan hari ini, ahli parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua berkata walaupun beliau menyokong inisiatif kerajaan untuk menyediakan rumah kos rendah dan mampu milik, tapi langkah kerajaan untuk menggunakan duit KWSP sememangnya tidak boleh dipersetujui.
Objektif KWSP, kata Pua ialah untuk melindungi titik peluh pendapatan 11 juta rakyat Malaysia dengan memaksimakan pulangan dengan pelaburan yang paling kurang risiko untuk memberikan jaminan pendapatan selepas ahli-ahlinya bersara.
“KWSP bukan pemimjam yang terakhir untuk golongan miskin ataupun ia adalah sebuah organisasi kebajikan awam. Dengan menggunakan RM1.5 bilion duit para pekerja Malaysia untuk dipinjamkan kepada pembeli-pembeli yang tidak lulus mendapat pinjaman daripada bank hanyalah membahayakan caruman mereka dan ini adalah satu jenis salahguna kuasa kerajaan,” tegas Pua.
Jika perkara ini dibolehkan kali ini, Pua membayangkan lebih banyak projek inisiatif BN untuk tujuan politik akan dibenarkan menggunakan duit EPF atas nama kebajikan.
“Ini adalah satu selekoh berbahaya yang mengancam simpanan hari tua ahli KWSP,” kata Pua, sambil menegaskan kerajaan harus mencari dana untuk programnya sendiri dan bukannya melalui KWSP.

No comments: