Sahabat Intim Blog Ini

Wednesday, March 4, 2009

LAPORAN POLIS KARIAH MASJID AS-SALAM BUKIT SENTOSA, RAWANG

TEKS PENUH LAPORAN POLIS OLEH GABUNGAN SURAU-SURAU SEKITAR BUKIT BERUNTUNG / BUKIT SENTOSA MENGENAI LIPUTAN YANG DIBUAT SINAR HARIAN TERHADAP MESYUARAT AGUNG KHAS MASJID AS SALAM BUKIT SENTOSA
Merujuk kepada artikel bertajuk “Mesyuarat Masjid As Salam kecoh wujud ‘pengundi hantu’” di dalam akhbar Harian Sinar bertarikh 20 Feb 2009 dan artikel bertajuk “Orang luar ‘rampas masjid’” di dalam akhbar Harian Metro bertarikh 23 Feb 2009, kami mewakili surau-surau sekitar Bukit Beruntung dan Bukit Sentosa dengan ini membantah laporan kedua-dua akhbar tersebut.
Kedua-dua artikel tersebut adalah berkenaan Mesyuarat Agung Pencalonan Ahli Jawatankuasa Masjid As-Salam bagi sessi 2009 – 2012. Sesungguhnya sebagai anak-anak qariah kami merasakan ini adalah merupakan fitnah yang dilemparkan oleh sebahagian Ahli Jawatankuasa Masjid sedia ada, khasnya Timbalan Nazir, En. Yaziz Yunus terhadap kami.
Kami ingin tegaskan bahawa tiada terdapat ‘pengundi hantu’ atau orang luar pada majlis tersebut. Sebaliknya semua pengundi adalah anak qariah surau-surau sekitar Bukit Beruntung dan Bukit Sentosa yang mana secara automatik kami adalah anak qariah Masjid As-Salam. Kami yang telah hadir pada mesyuarat tersebut telah berdaftar dengan surau-surau sebagai anak qariah.
Selain itu kedua-dua artikel tersebut juga telah menjatuhkan kredibiliti Pegawai Penyelaras Masjid dan Surau Hulu Selangor. Kenyataan bahawa berlaku rampasan kuasa pada mesyuarat agung tersebut telah menunjukkan seolah-olah Pegawai Penyelaras Masjid dan Surau Hulu Selangor tidak berkemampuan mengendalikan mesyuarat tersebut.
Ingin kami tegaskan di sini bahawa tiada sebarang rampasan kuasa berlaku pada mesyuarat agung yang dijalankan pada 15 Feb 2009 itu. Sebenarnya cara mesyuarat dijalankan telah dipersetujui bersama oleh semua nazir masjid-masjid sekitar Hulu Selangor bersama Pegawai Penyelaras Masjid dan Surau Hulu Selangor dalam mesyuarat pada 24 Jan 2009.
Selain itu Nazir dan Timbalan Nazir sedia ada juga tidak bersetuju dengan kewujudan senarai-senarai daftar anak-anak qariah yang telah dihantar oleh surau-surau kepada Pejabat Pegawai Penyelaras Masjid dan Surau Hulu Selangor.
Akibat salah faham tersebut, sebahagian AJK sedia ada telah meminta untuk mengadakan mesyuarat tergempar bersama Orang Besar Daerah, Penghulu Mukim Serendah serta Pegawai Penyelaras Masjid dan Surau Hulu Selangor. Hasil dari mesyuarat tersebut mereka bersetuju untuk membatalkan pencalonan yang telah dijalankan pada pagi tersebut dengan beberapa alasan. Antaranya adalah- Pihak AJK sedia ada tidak menerima senarai ahli qariah yang telah dihantar oleh surau-surau- kerana calon-calon tidak diperkenalkan
Mereka juga bersetuju untuk menangguhkan mesyuarat agung pencalonan itu kepada 9 Mac 2009. Pengumuman pembatalan pencalonan dan penangguhan telah dibuat oleh Orang Besar Daerah.
Ahli qariah bersetuju dengan pembatalan pencalonan yang dijalankan pada bagi tersebut dan bersedia mengikut kehendak AJK masjid agar pengenalan calon diadakan. Walau bagaimanapun ahli qariah memohon agar diadakan pungutan suara bagi menentukan samada mesyuarat perlu diteruskan atau pun ditangguhkan. Berdasarkan pungutan suara tersebut, majoriti ahli qariah menyokong agar mesyuarat diteruskan dan pencalonan baru diadakan. Ini dipersetujui oleh Pegawai Penyelaras Masjid dan Surau Hulu Selangor serta AJK masjid sedia ada mengikut tatacara pencalonan. Malahan Timbalan Nazir sedia ada (En. Yaziz Yunus) juga bersetuju dengan cara yang dijalankan kerana beliau turut mencalonkan Nazir Masjid bagi sessi 2009 – 2012.
Keseluruhan proses pencalonan berjalan lancar dengan disaksikan oleh Yang Mulia Dato’ Orang Kaya Maha Bijaya Dato’ Aman Shah b. Hj. Sahar sehingga jam 12.45 tengahari bersama Penghulu Mukim Serendah, Nazir dan AJK masjid sedia ada dan juga pegawai Cawangan Khas, Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Selangor. Setelah Orang Besar Daerah berangkat pulang, pencalonan disaksikan oleh Penghulu Mukim Serendah, Nazir dan AJK masjid sedia ada dan juga pegawai Cawangan Khas, Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Selangor sehingga tamat pencalonan pada jam 2.45 petang. Tiada sebarang insiden yang tidak diingini berlaku.
Oleh itu, kami wakil-wakil dari Surau-surau Sekitar Bukit Beruntung dan Bukit Sentosa dengan ini meminta agar AJK masjid sedia ada yang terlibat dengan laporan kedua-dua media di atas, khasnya Timbalan Nazir iaitu En. Yaziz membuat permohonan maaf secara terbuka kepada semua ahli qariah yang hadir dan juga Pegawai Penyelaras Masjid dan Surau Hulu Selangor.
Kami juga meminta En. Yaziz menarik balik kenyataan beliau bahawa terdapat pengundi luar dalam mesyuarat agung tersebut kerana semua nama ahli qariah yang terdapat dalam senarai yang disampaikan kepada Pejabat Agama Islam Daerah oleh surau-surau adalah pemastautin di sekitar Bukit Beruntung dan Bukit Sentosa. Tiada seorang pun dalam senarai yang dikemukakan oleh surau-surau merupakan orang luar daripada Bukit Beruntung dan Bukit Sentosa. Senarai-senarai tersebut telah pun disahkan oleh Pengerusi Surau dan Pengerusi Persatuan Penduduk.
Kami juga meminta kedua-dua pihak akhbar (Harian Sinar dan Harian Metro) memohon maaf secara terbuka kepada ahli qariah kerana menyiarkan berita berunsur fitnah.

No comments: