Sahabat Intim Blog Ini

Sunday, March 22, 2009

PR TERUSKKAN KECEMERLANGAN TADBIR SELANGOR

SHAH ALAM, 22 Mac - Dato’ Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyifatkan sambutan satu tahun pentadbiran kerajaan baharu merupakan titik tolak kepada kemampuan dan keupayaan Pakatan Rakyat (PR) mentadbir urus negeri Selangor.Menurutnya, pencapaian satu tahun itu dilihat amat penting dan bermakna kerana rakyat Selangor sentiasa memerhati dan menilai sejauh mana prestasi PR menerusi program dan rancangan dalam Merakyatkan Ekonomi Selangor (Mes).“Kita kerajaan PR dengan tulus ikhlasnya mengucapkan jutaan terima kasih kepada rakyat Selangor kerana memberi mandat, kepercayaan dan tanggungjawab kepada kita untuk merancang dan melaksanakan pelbagai kegiatan pembangunan dan ekonomi negeri bagi faedah rakyat,” katanya dalam ucaptama bersempena malam kemuncak Sambutan Satu Tahun Pentadbiran Kerajaan Baharu di Stadium Malawati malam tadi.Hadir sama, Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Selangor dan juga Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ramli Mahmud.Menurutnya, apa yang jelas kerajaan baharu yang dipimpin PR berusaha membangun dan memewahkan rakyat Selangor tanpa ada perbezaan kaum, agama, fahaman politik atau kedudukan dalam masyarakat.Kata Abdul Khalid, sejak PR mentadbir urus negeri Selangor semua rakyat dari peringkat bayi dari usia kanak-kanak sekolah, pelajar institusi pengajian tinggi hingga ke peringkat warga emas termasuk orang asli, golongan fakir dan miskin, orang kurang upaya dan ibu tunggal telah diberi bantuan dan perlindungan menerusi program yang dijalankan kerajaan negeri.“Alhamdulillah, menerusi Mes fasa pertama semua lapisan rakyat Selangor yang layak telah diberi bantuan kewangan, bantuan kebendaan dan peralatan untuk pembelajaran, perniagaan dan khairat kematian,” katanya menambah satu lagi agenda ekonomi iaitu Pakej Rangsangan Ekonomi diperkenalkan tahun ini bagi merancakkan industri dan ekonomi Selangor.Abdul Khalid berkata kerajaan negeri sudahpun mengumumkan lima pakej rangsangan ekonomi berjumlah RM50 bilion bagi merancakkan ekonomi di Selangor dengan menyediakan ratusan ribu peluang pekerjaan.“Kita percaya inisiatif ini dapat memberikan peluang sewajarnya kepada Industri Kecil dan Sederhana iaitu sektor yang paling teruk terjejas akibat kegawatan sekarang,”katanya.Menurutnya bagi memastikan pakej itu berjaya, kerajaan negeri memerlukan kerjasama dengan kerajaan Persekutuan serta sektor swasta dari dalam dan luar negara.Tambahnya, selain pakej itu kerajaan negeri juga akan meneruskan fasa kedua Mes dengan menambah beberapa program kebajikan lain.“Dalam fasa kedua ini bantuan dan manfaat bakal diterima oleh golongan belia, usahawan dan kakitangan kerajaan negeri,” ujarnyaDalam masa yang sama katanya, kerajaan negeri juga sedang mengusahakan konsep ‘Kediaman Untuk Semua’ di mana setiap rakyat bakal mempunyai kediaman menurut kemampuan masing-masing dalam tempoh yang bersesuaian. - MURIZA ABDUL HAMI

No comments: