Penemuan risalah dan buku diharamkan penerbitannya dalam serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke atas ibu pejabat sebuah syarikat yang diasaskan Asaari Muhammad, Selasa lalu, membuktikan wujud cubaan menghidupkan kembali Al-Arqam.
Pengarah JAIS, Datuk Mohammed Khusrin Munawi, berkata pihaknya menemui pelbagai risalah dan buku tulisan Asaari atau Abuya itu ketika menyerbu syarikat berkenaan di Bandar Country Homes, Rawang, dipercayai untuk diedarkan kepada ahlinya.
Sehubungan itu, katanya, JAIS sedang menjalankan siasatan lanjut dan memantau aktiviti pengikut bekas pemimpin Al-Arqam berkenaan sebelum mengambil tindakan lanjut termasuk menahan mereka yang didapati terbabit dalam cubaan menghidupkan kembali gerakan itu.
“Berdasarkan serbuan (Selasa lalu), kita dapati kemungkinan wujud cubaan menghidupkan kembali kumpulan Al-Arqam kerana buku dan risalah tulisan Abuya yang sudah diharamkan sebelum ini masih disimpan pengikutnya.
“Kita percaya buku dan risalah terbabit termasuk yang ditulis oleh Hatijah Aam (isteri kedua Asaari) masih diedarkan kepada ahlinya untuk tujuan menghidupkan kembali kumpulan itu,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Mohammed Khusrin berkata, tindakan menyerbu syarikat yang diasaskan Asaari bagi mengelak cubaan menghidupkan kembali perjuangan kumpulan yang diharamkan pada 1994 itu berulang.
Katanya, JAIS masih menjalankan siasatan lanjut bagi mendapatkan bukti lebih kukuh berhubung usaha menghidupkan semula Al-Arqam dan jika didapati benar, pihaknya tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas menahan individu terbabit.
Beliau berkata, pihaknya akan terus melakukan serbuan ke atas syarikat yang diasaskan Abuya jika maklumat risikan dan siasatan yang dijalankan menemui bukti mereka terbabit dalam penyelewengan yang menimbulkan kekeliruan di kalangan umat Islam di negara ini.
Berita Harian semalam melaporkan, JAIS menyerbu Ibu Pejabat Global Ikhwan Sdn Bhd di Bandar Country Homes, Rawang, dan merampas pelbagai produk keluaran syarikat itu seperti buku zikir agung yang dipercayai berkaitan ajaran Aurad Muhammadiah.
Dicatat oleh Musafirlalu
No comments:
Post a Comment