Wanita maut ditikam, suspek cuba bunuh diri
ALOR SETAR, 4 Mac: Seorang wanita maut selepas ditikam dengan pisau, manakala suspeknya pula cuba membunuh diri dalam satu kejadian di lorong belakang Taman Kristal di kawasan perindustrian Mergong, di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Abdul Ghafar Rajab berkata dalam kejadian pukul 10 malam tadi, kedua-dua wanita yang juga rakan sekerja di sebuah kedai alat tulis di sini, telah berselisih faham sebelum berlaku pertengkaran besar di antara mereka.
Katanya mangsa, Suhana Mohd Sharif, 26, dipercayai ditikam sebanyak tujuh kali, manakala suspek berusia 33 tahun telah bertindak menikam diri serta mengelar pergelangan tangannya selepas mencederakan mangsa.
“Ada tujuh kesan tikaman di bahagian depan badan serta tangan si mati, manakala suspek mempunyai beberapa kesan tikaman di dada serta kesan kelar di pergelangan tangan kirinya dan dia kini berada dalam keadaan kritikal di unit rawatan rapi Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).
“Ketika ditemui saksi, mangsa dan suspek berada dalam keadaan parah sebelum dikejarkan ke HSB, namun Suhana disahkan meninggal dunia pada pukul 11.35 malam tadi di hospital,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Abdul Ghafar berkata polis menemui sebuah kereta jenis Perodua Viva yang didaftarkan atas nama Suhana dan sebilah pisau yang mempunyai kesan darah di tempat kejadian.
“Menurut saksi kejadian, kedua-dua wanita berada di luar kereta berkenaan dalam keadaan parah dan polis percaya pergaduhan bermula dari dalam kereta kerana ada kesan darah di bahagian tempat duduk pemandu serta penumpang hadapan.
“Ketika memeriksa kereta terbabit, polis juga menemui beberapa keping gambar mangsa dengan suspek dan polis percaya mereka mempunyai hubungan yang sangat rapat, namun motif pembunuhan masih belum diketahui,” katanya.
Menurut Abdul Ghafar, polis kini sedang menunggu keputusan bedah siasat mangsa yang berasal dari Lorong Kenanga dekat sini, manakala suspek yang berasal dari Seberang Nyonya di sini, masih tidak sedarkan diri dan belum ada sebarang kenyataan telah direkodkan.
Katanya polis akan turut mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) milik bangunan berhampiran bagi membantu siasatan.
-Bernama-
2 comments:
Adakah kemungkinan mereka ada hubungan yang tidak sepatutnya. Dan motifnya kemungkinan cemburu?
Ade yang bunuh cari ini. Ade juga yang cari bomoh. Semuanya akibat menurutkan nafsu syaitan.
Post a Comment