Sekurang-kurangnya 1,000 Orang Asli(OA) dijangka berhimpun di Putrajaya hari ini untuk menyerahkan memorandum bantahan kepada perdana menteri berhubung dasar pemberimilikan tanah.
Perhimpunan tersebut anjuran bersama Persatuan Orang Asli Semenanjug Malaysia (POASM) dan juga Jaringan Kampung Orang Asli Perak.
Seorang koordinator POASM, Jenita Engi berkata, ia sebagai menyuarakan bantahan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung kandungan dasar berkenaan memandangkan rundingan dengan JHEOA awal bulan ini, gagal membuahkan hasil.
Dasar tanah tersebut disasarkan untuk dibentangkan di Parlimen selewat-lewatnya Jun ini sebagai cadangan pindaan Akta 134 Kanun Tanah Negara.
"Dalam konvensyen bersama JHEOA (Jabatan Hal Ehwal Orang Asli) di Cheras baru-baru ini, mereka gagal jelaskan mengenai isu-isu tanah dalam dasar ini sebab itu kita hendak bantah," katanya Jenita ketika dihubungi petang ini.
Jelasnya lagi, dasar berkenaan juga tidak memihak kepada Orang Asli dan tidak mewakili kemahuan golongan itu.
"Dasar itu menyatakan tanah seluas enam hingga lapan ekar sahaja diberikan kepada ketua isi rumah. Kita mahu semua tanah yang dbuka oleh nenek moyang kami sebelum ini diberikan milik kepada kami, bukan enam atau lapan ekar sahaja," katanya lagi.
Tambahnya, masyarakat itu juga ingin menuntut sekatan dalam dasar tersebut dimansuhkan bagi membolehkan mereka diberikan hak untuk memperdagangkan tanah berkenaan.
No comments:
Post a Comment