Sahabat Intim Blog Ini

Monday, May 17, 2010

3 FAKTOR BN KALAH KATA BLOGGER UMNO

Inilah 3 FAKTOR UTAMA BN kalah di Sibu

Kekalahan BN di Sibu adalah sesuatu yang sudah diduga. Barisan Pemuda BN telah bekerja bersungguh-sungguh bagi memastikan sokongan penduduk di kawasan melayu dan bumiputra kekal di bawah naungan BN.

Pada pemerhatian Rajahmas, sepanjang 3 hari kempen pada hari-hari terakhir, DAP kelihatan bersungguh-sungguh untuk meraih sokongan melayu malah sanggup datang berkempen ke perkampungan Melayu dan beberapa rumah panjang Iban. Inilah semangat yang sepatutnya ada pada SUPP.

Di bandar Sibu begitu ramai penyokong muda DAP mengibarkan bendera parti pada kenderaan masing-masing. Jelas ia menunjukkan sokongan kepada kepimpinan pakatan yang telah berjaya membakar semangat 'jom ubah' ke dalam diri mereka, satu slogan yang benar-benar telah mengubah pendirian penduduk Sibu dalam politik. Sebaliknya tidak pernah sekalipun terlintas kenderaan yang mengibarkan bendera SUPP sepertimana DAP. Hanya lambang BN. Di mana kekuatan SUPP sebagai parti komponen yang bertanding? Seolah-olah masyarakat cina di Sibu malu untuk mengibarkan bendera parti yang disokong mereka.

Tidak dinafikan SUPP turut sama bekerja tetapi tidak bersungguh-sungguh seperti DAP. Malah PAS dan PKR yang tidak bertanding sekalipun tidak segan untuk berkempen secara besar-besaran, melebihi komitmen parti yang bertanding.


Lim Guan Eng sendiri turun padang menjadi peraih undi di pusat pembuangan undi di Rajang Park.

Masihkah ada suara yang mempertikaikan bagaimana DAP boleh menang?

Faktor kekalahan BN
1. Banjir

Ramai yang sedar keadaan air-pasang besar yang berlaku pada hari pengundian dijalankan. Amat malang bagi BN, Isu banjir yang dimainkan DAP benar-benar tepat pada waktunya ketika rakyat keluar untuk membuang undi.


Sumber daripada blog rakan, menyatakan beberapa pusat pengundian terpaksa ditutup kerana kawasan dinaiki air. Tanya pada diri kita, apa tanggapan para pengundi? Tidakkah mereka terfikir apa yang ditimbulkan pihak DAP itu benar belaka? Isu banjir adalah sesuatu yang tidak dihuraikan oleh BN dengan jelas semasa berkempen, lebih malang ia menjejaskan hari pengundian ketika berlakunya air-pasang besar itu.

Peratusan yang keluar mengundi pada waktu itu ialah 70% iaitu 37,919 orang. Kawasan yang terjejas teruk oleh air pasang merupakan punca mengapa ramai yang tidak datang menunaikan tanggungjawab pada hari itu. Dengan majoriti cuma 398 yang memihak DAP seandainya kejadian air-pasang besar tidak berlaku ketika itu, berapakah peratusan undi yang BN mampu dapat daripada perkampungan yang terjejas?

2. SUPP bermasalah - adanya unsur sabotaj

Mungkin sudah tiba waktunya untuk SUPP melakukan perubahan dalam parti dengan lebih serius sebelum menerima nasib yang sama seperti MCA. SUPP sebelum ini mengalami masalah ketidaksepakatan yang teruk lebih-lebih lagi isu pembentukan cabang Dudong yang merosakkan kekuatan sokongan cina kepada parti itu.

Sebelum krisis Dudong, tidak ramai yang tahu akan tindakan kumpulan Foochow dalam pakatan SUPP cuba untuk menggulingkan Presiden parti itu, Tan Sri Goerge Chan berikutan rasa tidak puas hati terhadap janji beliau yang tidak ditunaikan terhadap Lau Hieng Ding. Rujuk SUPP malaysian mirror

Hal sama seperti MCA, penyokong yang memprotes kepimpinan parti tidak dinafikan wujud dalam SUPP sendiri. Bilangan ahli SUPP yang ada tidak menjamin undi diberikan kepada BN. Sememangnya kekalahan BN adalah seperti dirancang. Maka tidak hairanlah, tiada kempen SUPP dibuat dengan bersungguh-sungguh untuk memenangkan BN.

Beberapa pemimpin tinggi Pakatan Rakyat turun padang sebagai peraih undi. Di sesetengah kawasan, tiada ahli daripada SUPP yang turut ke tempat pembuangan undi untuk meraih undi. Di mana silapnya?

3. Isu Allah

Agama adalah isu sensitif bagi penduduk Malaysia. Beberapa kali kita mendengar rungutan penganut kristian apabila pihak pembangkang dengan bijak memainkan sentimen agama dalam kempen mereka. DAP sengaja mencabar Calon SUPP, Robert Lau berkenaan kontroversi 'isu Allah' di gereja, sekaligus mendakwa beliau tidak memiliki 'legitimacy' untuk mewakili majoriti Sibu Kristian jika dia mengelak untuk berbincang mengenai masalah ini.

Umum mengetahui Sibu mempunyai 53% pengundi yang beragama kristian dan katolik. Angka yang besar bagi satu populasi yang menentukan undi menyebelahi di pihak mana.

Isu bermula pada 2007 selepas menteri kabinet melarang penggunaan perkataan arab tertentu serta menolak pembaharuan permit penyiaran kepada akhbar Katolik berbahasa melayu serta penggunaan nama 'Allah', The Herald Catholic.

Hal ini mendorong pihak gereja untuk mencabar keputusan kerajaan pada 31 Disember yang lalu. Akhirnya Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa The Herald mempunyai hak berperlembagaan untuk menggunakan perkataan "Allah", pengecualian untuk penggunaannya hanya di Sabah dan Sarawak yang mempunyai majoriti penganut agama tersebut.

Walaupun dengan jaminan Datuk Seri Nazri Aziz bahawa masyarakat Kristian di Sabah dan Sarawak tidak termaktub dalam larangan penggunaan kata "Allah" oleh non-Muslim, sebahagian besar penduduk di semenanjung tanah air mempertikaikan keputusan itu. Inilah isu yang dimainkan DAP ketika berkempen di dalam gereja.

Apabila ketua-ketua agama turut sama menyatakan bantahan serta menyatakan sokongan kepada isu yang dibentangkan DAP, maka sudah tentulah ia memberikan kesan yang sangat mendalam kepada penganut atau pengikutnya apatah lagi bila dibincangkan di dalam gereja. Bagaimana kita boleh yakin mereka tidak menghiraukan kontroversi 'isu Allah' apabila dipolitikkan pembangkang ketika upacara agama sedang berlansung?



Tidak harus kita pandang ringan kekalahan pilihanraya Parlimen Sibu sedangkan kita akan menghadapi sesuatu yang lebih besar iaitu Pilihanraya Negeri pada Julai nanti. Pada masa sekarang amatlah tidak praktikal untuk memperingatkan rakyat dengan segala macam kemudahan dan pembangunan yang telah diberikan kerajaan.

Rakyat Sibu tidak mahu pelan pembangunan sahaja menjadi agenda utama dalam kempen BN (sesuatu yang pasti ada dalam mana-mana pilihanraya pun), tetapi apa yang dimahukan ialah pemimpin yang berjiwa seperti mereka dan tidak mempunyai ideologi politik kronisme mahupun nepotisme. Peluang perniagaan serta peluang pekerjaan di samping pengurusan tebatan banjir yang sedang berlansung diharap mampu untuk kembalikan sokongan rakyat di Sibu.

Kekalahan BN ini sebenarnya bukanlah kerana kekuatan PR atau pengaruh mereka tersemat dalam hati rakyat Sarawak. Tetapi lebih kepada hukuman untuk SUPP sebagai undi protes. Rakyat tahu PR sudah pasti tidak akan dapat menyelesaikan masalah banjir melainkan mereka menguasai kerajaan Persekutuan sebenarnya, bukan kerajaan negeri.

No comments: