Sahabat Intim Blog Ini

Monday, April 11, 2011

BN SUDAH TERLAMBAT !

Seperti apa yang telah dikatakan oleh blog ini dan banyak blog yang lain serta pandangan dari banyak pihak, Taib Mahmud ini lebih banyak membawa masalah kepada BN dari membawa kebaikan dalam pilihanraya di bumi kenyalang ini.

PM Najib terpaksa berkerja keras untuk meyakinkan rakyat Sarawak yang Taib akan bersara tetapi sampai kehari dan saat ini Najib selaku Pengerusi BN kebangsaan tidak dapat memberikan tarikh yang muktamad bila Taib akan bersara dan meninggalkan politik Sarawak.

Lebih malang lagi Najib tidak lagi memberi tahu rakyat siapa yang akan menggantikan Taib. PR telah siang-siang lagi memberi tahu siapa yang akan menjadi Ketua Menteri jika PR memenangi hati rakyat dan mendapat mandat dari mereka. Setidak tidaknya rakyat sudah tahu siapa yang akan menjadi KM jika barisan pembangkang memenangi pilihanraya ini.

Situasi yang tersepit seperti ini tidak sepatutnya berlaku jika kepimpinan BN dapat merasakan apa yang berdenyut di dalam nadi rakyat kerana terlalu lemah untuk membuat keputusan yang drastik untuk meredakan perasaan marah rakyat terhadap Taib. Kelalaian pimpinan BN menyelesaikan isu ini menyebabkan keadaan begitu genting bagi BN dan jika berlaku penolakan rakyat jangan dipersalahkan rakyat.

Sentimen yang kuat dengan BN memang nyata, tetapi oleh kerana Taib masih berkeliaran dalam BN maka rakyat sudah hilang sabar kerana rakyat telah memberikan signal sebegitu lama kepada BN supaya Taib mesti bersara. Tetapi malangnya BN masih lagi meletakkan Taib sebagai calun dan ini merupakan ‘spoiler’ yang amat ketara kepada BN yang pada pandangan setengah pihak sedang berada seperti telor di hujung tanduk.

Kalau benar seperti yang dikatakan oleh PM Najib yang BN ada pelan peralihan kuasa belioau mesti menghebahkan kepada rakyat siapa yang akan menggantikan Taib dan bila peralihan itu akan berlaku. Kedua-dua isu ini adalah isu yang sangat penting kerana jika rakyat percaya dengan janji Najib itu, tetapi apabila sampai masanya orang yang akan menggantikan Taib itu serupa dengan sikap dan perangai Taib maka rakyat akan mengalami kekecewaan lagi.

Rakyat Sarawak ingin tahu siapa dia yang akan menggantikan Taib kerana ini isu penting. Jika beliau digantikan dengan orang yang tidak diyakini oleh rakyat maka rakyat akan terpaksa menunggu lima tahun lagi untuk menggantikannya. Sampai bila rakyat hendak diperdaya dengan janji yang tidak jelas ini.

Isu masa pun penting. Rakyat nak tahu bila kerana ini adalah isu penting. Rakyat tidak mahu pemimpin berjanji seperti menanti hari kiamat. Kita tidak tahu bila hari kiamat. Tiada siapa yang boleh memberi tahu sesiapa bila hari akan kiamat. Jelas kedua-dua isu ini merupakan isu yang di sebut-sebut oleh mereka dari Sarawak yang saya kenali.

Kalau Najib benar-benar telah ada calun penggantinya, nama pemimpin itu mesti diumumkan sekarang (sebelum hari mengundi) bagi rakyat membuat penilaian.

Jika kita serius untuk memanangi pilihanraya ini dengan senang kedua-dua isu ini wajar diselesaikan sekarang. Sepatutnya Taib tidak di turunkan lagi sebagai calun. Jika Taib tidak diturunkan sebagai calun keadaan yang kita hadapi ini tidak akan seberat sekarang.

Seperti juga rakyat di mana-mana negara, kesabaran mereka ada hadnya. Jika sudah melampaui batas sempadan kesabaran itu maka kita tidak boleh menyalahkan sesiapa lagi terutamanya pihak parti pembangkang. Kita selalu menyalahkan parti pembangkang kerana kesalahan kita sendiri. Kita tidak pernah bersalah tetapi rakyat membenci kita.

Sambutan yang diberikan terhadap perjumpaan dan rally politik di antara BN dan PR malam tadi di Bandaraya Kuching menampakkan dengan jelas betapa jauhnya perbezaan di antara sambutan kedua-dua belah pihak. Rakyat berduyun-duyun memenuhi ceramah besar-besaran PR sedangkan ceramah umum yang dihadziri oleh PM Najib tidak mendapat sambutan. Semuanya adalah kerana penolakkan rakyat terhadap Taib.

Rakyat tidak mahu lagi mereka di jadikan seperti dahan bengkok, untuk kera-kera meniti membaham buah-buah yang lebat itu. Rakyat tidak mahu lagi di perlakukan seperti kerbau di sawah; di paksa membajak tetapi hasil padinya di makan oleh tikus-tikus gemuk yang lapar di kepuk padi. Secara beransur-ansur rakyat sudah tahu yang negara ini mereka yang punya, bukan kepunyaan pemimpin-pemimpin.

Rakyat sudah mual dengan sikap kepimpinan yang menggunakan media untuk memperkecilkan pihak lain sedangkan isu yang besar tentang mereka begitu jelas dilihat oleh rakyat segenap lapisan.

PM Najib nampaknya tidak ada masa yang mencukupi untuk memberitahu rakyat perancangan beliau untuk Sarawak kerana masa beliau ditumpukan untuk mempertahankan Taib yang sudah tidak lagi disukai oleh rakyat negeri itu.Itulah sebabnya banyak negara menjadi kacau bilau kerana pimpinan yang sudah tidak diterima masih lagi bergayut kepada kuasa.

Pengakhir kata, Najib hanya mempunyai beberapa hari sahaja lagi untuk menyelesaikan masalah ini. Najib perlu melakukan tidakkan yang berkesan. Kita berharap Najib akan mengambil keputusan muktamad kerana selalunya Najib amat popular dengan sikapnya yang selalu berubah-ubah dan tidak muktamad.

Keadaan BN begitu kritikal, kalau tidak masakan PM berkubang selama enamhari untuk mendekati terus rakyat yang sudah hilang keyakinan terhadap Taib.

Memanglah, betapa berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul, berat lagi bahu yang memikul. Dalam hal Sarawak ini kesalahan datang dari kita sendiri. Jangan sekali-kali menyalahkan orang lain. Ingat, negeri Sarawak itu rakyat Sarawak yang punya, bukannya Najib atau Taib Mahmud.

Jangan di nafikan hak rakyat Sarawak untuk memilih siapa yang mereka mahu. Kita tidak boleh terus-terusan memenangi pilihanraya kerana ‘intrigue’ politik, tetapi mesti memenangi jiwa rakyat dengan ‘merit’ yang ada kepada pemimpin-pemimpin kita.

Kita perlu akui Taib tidak lulus dalam ujian NKRA politik yang dilaungkan oleh Najib. Kalau Najib luluskan juga Taib dalam NKRA itu maka elok diketepikan sahaja ‘acronym-acronym’ yang begitu banyak yang dianjurkan oleh PM Najib kita.

Seperkara yang wajar diakui; BN Sarawak sudah hilang hidayahnya. Jika hidayahnya masih ada masakan Taib masih lagi mengetuai BN negeri itu?
Posted by Aspan Alias

No comments: