Sahabat Intim Blog Ini

Sunday, April 3, 2011

PAKATAN RAKYAT SELANGOR SUSUN WARGA FELDA

TAN SRI KHALID - PELAN TERSUSUN UNTUK WARGA FELDA MENJELANG 2025
KUALA KUBU BHARU - Pembangunan yang kian rancak memungkinkan warga peneroka di tanah rancangan Felda termasuk Orang Asli akan kehilangan hak di atas tanah dan usaha mereka selama ini.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, berdasarkan kajian dilakukan, lebih 90 peratus dari kawasan tanah di Selangor bakal menjadi kawasan bandar menjelang 2025 sekali gus boleh meminggirkan hak warga peneroka dan Orang Asli sekiranya tiada perancangan teliti dilakukan. “Sebab itu, Selangor perlu memikirkan pelan rancangan pembangunan lebih tersusun khusus warga di tanah rancangan Felda dan Orang Asli. “Kerana kita dapati wujud masalah membabitkan warga Felda dan Orang Asli sehingga hasil usaha mereka selama tidak diperoleh sewajarnya dan ini mendorong Kerajaan Negeri terpaksa memperbetulkan dan melaksanakan usaha baru agar mereka tidak tertindas dan ketinggalan,” katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen Warga Felda dan Orang Asal 2011 di sini, semalam. Hadir sama, Pengerusi Task Force Felda Negeri Selangor, Shamsul Iskandar Mohd Akim, Ahli Exco Kerajaan Negeri, Dr Xavier Jayakumar dan Elizebeth Wong Turut hadir, Pegawai Daerah Hulu Selangor, Nor Hisham Ahmad Dahlan dan Yang Dipertua Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS), Tukiman Nail.
Khalid berkata, banyak contoh usaha dilakukan pemaju di tanah-tanah rancangan Felda namun, semuanya tidak mendatangkan hasil kepada mereka yang wajar menerimanya. Beliau mengambil contoh bekas tanah rancangan Felda Sungai Buaya di sini yang menjadi bukti usaha kosong kerajaan terdahulu yang akhirnya hanya menindas rakyat. “Bukan saja peneroka kehilangan tanah malah pendapatan pun tidak ada. Ini bukan perkara aneh tapi sudah jadi kebiasaan. “Janji-janji pemilikan rumah dengan pulangan melebihi RM750,000 juga tidak berlaku dan yang tinggal hanya janji,” katanya. Menurut beliau, nasib serupa turut dialami Orang Asli yang dijanjikan kediaman banglo atau rumah dua tingkat, bagaimanapun semuanya palsu. Beliau berkata, contoh tersebut perlu difikirkan bersama dan dibangkitkan sebagai perbincangan dalam konvensyen berkenaan. Sementara itu, Khalid berharap konvensyen yang julung kali diadakan itu menjadi medan perbincangan terbaik dalam memikirkan bentuk perancangan pembangunan sesuai untuk warga Felda dan Orang Asli. Menurutnya, sekiranya pengurusan tanah dan hasil pengeluaran Felda dilakukan dengan sempurna pendapatan warga Felda boleh ditingkatkan.
POSTED BY MYSAS AT 4/03/2011 10:34:00 PM
0 COMMENTS:

No comments: