Mahkamah sudah gagal, rakyat mesti proaktif selamatkan Malaysia dari petualang
kuasa - Prof Dr Abdul Aziz Bari
Rakyat perlu mengambil bahagian yang aktif untuk mempastikan ada perubahan
yang besar di dalam negara. Ini kerana sebahagian besar institusi penting
telah menjadi alat politik dan ini menyebabkan pentadbiran tempang dan
keadilan tidak wujud.
Demikian ditegaskan Profesor Dr Abdul Aziz Bari ketika diminta memberi komen
tentang rasuah pilihan raya yang mula kelihatan dalam Pilihan Raya Negeri
(PRN) Sarawak.
Ketua KeADILan Sarawak, Baru Bian, Khamis lalu mendakwa wang tunai mula
ditabur di beberapa buah rumah panjang di negeri itu. Sebelum ini, TI
International, sebuah NGO antarabangsa menyatakan janji pilihan raya adalah
rasuah politik. Kenyataan itu membuat Dato Seri Nazri Aziz, Menteri di Jabatan
Perdana Menteri naik angin.
Khamis lalu, Timbalan Pengerusi SPR, Dato' Wan Ahmad Wan Omar berkata, masalah
itu adalah bidang kuasa SPRM. Sebelum itu SPRM enggan memberi jawapan ketika
ditanya tentang siasatan ke atas Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Taib Mahmud.
"Itulah yang telah dan akan kita lihat selagi tidak ada perubahan di
Putrajaya. Dan kita tidak boleh berbuat apa-apa kerana mahkamah juga tidak
berfungsi sebagaimana sepatutnya", jelas Aziz. Pakar Perlembagaan itu berkata
sepatutnya mahkamah adalah benteng terakhir dalam mempastikan kesalahan dan
kelembapan di dalam sistem dapat ditangani.
"Tetapi kita sudah lihat bagaimana mahkamah menangani isu-isu seperti itu",
ujarnya sambil berkata TI International adalah betul bila mereka kata SPR
gagal menjamin pilihan raya yang adil. Kita sudah lihat bagaimana mereka
enggan menggunakan dakwat kekal meskipun jutaan ringgit wang rakyat telah
digunakan untuk membelinya. Kemudian SPR sibuk menyekat parti politik tertentu
mengibar bendera hanya kerana mereka tidak bertanding. Saya aneh dari mana
mereka dapat kuasa ini? SPR juga sibuk meminta Pakatan Rakyat didaftarkan
tetapi kita tahu Pendaftar Pertubuhan tidak berbuat apa-apa meskipun
permohonan telah dikemukakan", tambahnya.
Profesor undang-undang itu berkata tidak ada undang-undang yang memestikan
bahawa ada bilangan minimum parti sebelum pendaftaran boleh diluluskan. Beliau
menegaskan, undang-undang atau peraturan seperti ini bertentangan dengan
Perlembagaan. Tetapi hanya mahkamah boleh membuat perisytiharan itu.
Ini samalah dengan pelbagai peraturan dan kerenah oleh pihak polis dalam
pemberian permit untuk berhimpun, ujarnya.
Dalam laporannya Suruhanjaya DiRaja mengenai pasukan polis yang dipengerusikan
oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Dzaiddin Abdullah mencadangkan supaya kuasa
polis meluluskan permit perhimpunan awam dibatalkan. Ini kerana, Suruhanjaya
itu mendapati pihak polis menyalahgunakan kuasa tersebut.
Dicatat oleh Tarmizi Mohd Jam di Rabu, April 06, 2011
No comments:
Post a Comment