Sahabat Intim Blog Ini

Saturday, November 15, 2008

CARA TERBAIK ATASI SETINGGAN

Dun Selangor: PBT perbanyakkan 'Council Home' atasi masalah setinggan
SHAH ALAM, 24 Okt - Operasi perobohan penempatan setinggan hanya akan diteruskan selepas perbincangan bersama setinggan oleh setiap wakil rakyat bagi mengelak berlaku salah faham serta untuk memastkan operasi berjalan lancar.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Pembangunan Bandar dan Setinggan, Iskandar Abd Samad menegaskan, dalam usaha menyelesaikan masalah setinggan tindakan penguatkuasaan akan dilaksanakan di bawah peruntukan Seksyen 425 Kanun Tanah Negara.
Menurut beliau, ia tidak lagi menggunakan peruntukan di bawah Akta Darurat 1969 bagi membolehkan tempoh notis yang dikeluarkan kepada setinggan mencukupi untuk membolehkan mereka membuat persiapan berpindah.
Katanya, kaedah perpindahan akan dilakukan secara berhemah tanpa melibatkan kekerasan bagi mengelak timbul salah faham di kalangan penduduk terlibat selain memudahkan kerja-kerja perpindahan.
"Cara BN dan Pakatan Rakyat memindahkan penduduk setinggan keluar dari penempatan mereka amat berlainan," katanya ketika sesi penggulungan, sidang Dun lalu.
Selain itu beliau menerangkan, kerajaan Negeri sedang mengkaji mekanisma khusus untuk membantu mana-mana setinggan yang gagal mendapatkan pinjaman bank untuk membeli rumah kos rendah.
Dalam masalah itu beliau mencadangkan supaya PBT memperbanyakkan unit 'Council Home' di kawasan masing-masing bagi membantu keluarga setinggan untuk layak membeli rumah.
"Pada masa ini kerajaan Negeri masih mengekalkan dasar yang diamalkan oleh BN iaitu rumah kos rendah untuk setinggan RM35,000 seunit di mana subsidi RM7,000 akan ditanggung oleh tuan tanah atau PBT," jelasnya.
Beliau berkata, satu jawatankuasa khas iaitu jawatankuasa Peneroka Bandar dan Perbandaraan dianggotai ahli NGO bagi mengadakan rundingan dengan para peneroka untuk memudahkan dan mempercepatkan persetujuan.
Merujuk kes peneroka Bandar Bukit Botak yang telah dibangkitkan dua kali dalam sidang Dun, katanya kerajaan Pakatan Rakyat tidak akan menzalimi sesiapa tetapi penyelesaian terbaik akan diusahakan.
Berhubung projek tergendala beliau berkata, di Kuala Selangor terdapat dua projek yang sudah dihantar notis untuk dirampas tanah di atas kesalahan tidak membayar cukai tanah dan melanggar syarat guna tanah.
Tindakan itu untuk memberi amaran kepada pemaju lain dan memberi ruang kepada pihak yang berminat untuk meneruskan projek tersebut, tegas beliau.
Dalam penggulungan itu, beliau setuju dengan cadangan Shaari Sungib (PAS-Hulu Klang) supaya PKNS menjadi peneraju utama dalam pembinaan rumah kos rendah dan sederhana.
"Sebagai kerajaan yang prihatin, kami mengakui bahawa reka bentuk rumahkos rendah sekarang adalah ketinggalan zaman, sama ada dari segi reka bentuk itu sendiri atau keluasannya," katanya.
Bagi mengatasi masalah tersebut, sejumlah peruntukan telah diberikan kepada Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor (LPHS) untuk mengkaji semula reka bentuk yang sedia ada dan menghasilkan satu reka bentuk yang lebih relevan dan lebih selesa kepada rakyat, katanya.

No comments: